Insan & Komuniti 10 Jul, 2021

Tolong kami! Bantu Mohd Jafri! Sakit buah pinggang, kencing manis, darah tinggi, sakit tulang!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib yang menyelubungi hidup seorang pemandu van sekolah, Mohd Jafri Abdul Rahaman, 53, apabila menderita sakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi sejak lebih setahun lalu.

Beliau yang tinggal di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor turut dibebani masalah sakit pada tulang pinggul dan kaki yang menyebabkan dirinya sukar untuk berjalan, kini banyak menghabiskan masa dengan terlantar di atas katil.


Lagi cerita-cerita prihatin berkaitan Tolong Kami

Mohd Jafri terpaksa dipegang oleh anaknya Mohamad Noor Ridwan jika mahu duduk untuk memakan ubat dan sebagainya.


Mohd Jafri yang ditemui, berkata demi kelangsungan hidup dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak Covid-19, beliau terpaksa menjual van sekolah yang menjadi sumber pendapatan bagi menyara keluarga, membayar sewa rumah, perbelanjaan pengajian anak dan sebagainya.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi membiayai kos rawatan termasuk dialisis tiga kali seminggu di sebuah klinik swasta, selain dalam tempoh PKP sekarang, perkhidmatan van sekolah untuk mengangkut murid dihentikan berikutan sekolah ditutup.


Selain kerusi roda, Jiran turut menghadiahkan tongkat serba guna untuk membantu Mohd Jafri berdiri.


Beliau berkata, dalam keadaan kesihatan yang sering terganggu dia berasakan tidak selamat untuk meneruskan pekerjaan memandu van sekolah dan lebih baik menjualnya sahaja bagi mengelak daripada terus menanggung kos penyelenggaraan.

“Sebelum ini isteri saya, Rosnah Awang Isa, 50, turut membantu mencari sumber pendapatan keluarga dengan mengambil upah mengasuh anak-anak penduduk sekitar BHTO, bagaimanapun sejak PKP kerja itu ditinggalkan kerana ramai ibu bapa bekerja dari rumah selain bimbang penularan Covid-19.  

“Sekarang ini isteri saya menumpu sepenuh masa kepada kerja membuat kuih-muih untuk dihantar ke gerai yang menjual makanan selain ditempah daripada jiran tetangga dan penduduk di sini,” kata Mohd Jafri. 


Jiran Mohd Jafri, Mohiadin Bahado (kiri) dan Azhar Yop menghulurkan sumbangan.


Sementara itu, Rosnah berkata, dia sentiasa berasa bimbang apabila melihat suaminya itu terpaksa dipapah untuk duduk atau berdiri kerana kekurangan tenaga selain keadaan berat badannya semakin susut daripada 64 kilogram kepada 43 kilogram sekarang, di samping sering berasa sengal pada badan. 

Menurutnya, suami beliau sudah lebih empat kali mendapat rawatan di hospital dan dinasihatkan untuk berehat di rumah di samping mengikuti jadual yang ditetapkan untuk janji temu dengan doktor serta mendapatkan bekalan ubat.

Beliau berkata, dia bersyukur kerana jiran tetangga tidak putus-putus memberikan pelbagai sumbangan termasuklah barangan keperluan harian untuk meringankan bebanan keluarga selain mendapat bantuan bulanan dari pusat zakat.


Wakil pertubuhan bukan kerajaan di BTHO, Zainol Khalid menyampaikan derma bagi meringankan bebanan Mohd Jafri sekeluarga.


“Bagaimanapun bantuan itu belum mencukupi untuk saya menampung kos dialisis yang hampir mencecah RM200 sekali rawatan dan membeli barangan lain seperti pampers (lampin pakai buang).

“Saya berharap pandemik Covid-19 akan cepat berakhir supaya dapat meneruskan semula kerja mengambil upah mengasuh bayi dan kanak-kanak kerana sudah sebati dengan tugas itu,” katanya kini bergantung kepada anak sulung Mohamad Noor Ridwan untuk membantu berniaga kuih-muih.

Kepada mereka  yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rosnah menerusi nombor telefon  013 3752826. Sumbangan juga boleh disalurkan kepada nombor akaun Maybank 162143279599 (Rosnah Awang Isa). - KitaReporters 


Seorang jiran, Amiruddin Othman turut menghulurkan sumbangan ketika menziarahi Mohd Jafri.

29
5
24
3
3
You will be interested