Insan & Komuniti 07 Sep, 2021

Sweetnya ibu dan isteri Liek Hou! Bukan RM1 juta yang dikejar! Tapi pingat emas jadi impian!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Kredit foto: MSN



Ramai rakyat Malaysia yang menonton sesi temu bual Astro dengan keluarga pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou baru-baru ini ekoran kejayaannya memenangi pingat emas Paralimpik 2020 Tokyo ‘jatuh hati’ dengan ibu dan isteri atlet itu.

Bukan sahaja mereka petah serta fasih berbahasa Malaysia malah keikhlasan jelas dapat dilihat dalam setiap tutur bicara mereka dalam menjawab soalan dikemukakan oleh wartawan.

Sepanjang temu bual itu yang berlangsung di rumah keluarga Liek Hou, ibunya, Jap Joe Tjin dan isterinya, Dewi Febriana menjawab soalan dengan spontan, lancar serta tulus.

Joe Tjin terutama telah ‘mencuri hati’ hati penonton dengan sifat keibuannya yang sangat terserlah terutama bila membicarakan mengenai cabaran yang terpaksa ditempuhnya sepanjang membesarkan Liek Hou.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Paralimpik 

Jap Joe Tjin dan Dewi Febriana gembira meraikan kejayaan Liek Hou memenangi emas Paralimpik.


Tidak pernah kita bincang tentang RM1 juta, sebaliknya yang selalu saya pesan adalah berlatih bersungguh-sungguh, tingkatkan skil dan jaga kesihatan."


Agak menarik apabila Joe Tjin berkata beliau menganggap apa yang dilakukannya selama ini bukan sebagai satu cabaran sebaliknya adalah tanggungjawab seorang ibu.

“Kita kan sebagai seorang ibu, orang tua kepada anak, ini kan tugas kita, tanggungjawab kita, tak ada cabaran,” katanya sebagai menjawab pertanyaan wartawan apakah cabaran paling besar dihadapinya dalam mendidik Liek Hou.

Malah, ketika ditanya wartawan mengenai perancangan Liek Hou berhubung hadiah kemenangan berjumlah RM1 juta yang bakal diterimanya di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Joe Tjin menjelaskan mereka tidak pernah membincangkan perkara itu.

“Sebagai ibu, saya tak pernah cakap tentang RM1 juta, nanti difikirnya kita mata duitan. Jadi, tidak pernah kita bincang tentang RM1 juta, sebaliknya yang selalu saya pesan adalah berlatih bersungguh-sungguh, tingkatkan skil dan jaga kesihatan, itu saja,” katanya.


Liek Hou meraikan kejayaannya mengalahkan pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15. - Kredit foto: MSN


Joe Tjin mengaku, sebagai ibu, beliau sangat berbangga dengan kejayaan Liek Hou di Tokyo apatah lagi pemain itu mencipta sejarah sebagai pemenang pingat emas acara badminton yang pertama kali dipertandingkan pada Sukan Paralimpik.

Malah, Joe Tjin juga menganggap dengan kejayaan itu, tugasnya sebagai ibu sudah selesai kerana cita-cita Liek Hou sejak kanak-kanak sudah tercapai.

“Saya seorang ibu tentu bangga anaknya dapat jadi wira. Tugas saya sudah selesai kerana daripada kejuaraan yang pernah dimenanginya, ini adalah yang terbesar,” katanya.


Keluarga Liek Hou menonton aksinya pada final perseorangan lelaki  SU5 badminton Sukan Paralimpik melalui siaran langsung televisyen.


Sementara itu, Dewi pula menganggap segala pengorbanan dilakukannya serta kerja keras Liek Hou sudah berbayar dengan kejayaan itu. 

“Dia selalu memberitahu saya akan berlatih bersungguh-sungguh, setiap hari berlatih, kalau letih pun dia tetap bertahan, tetap kuat demi Paralimpik kerana impiannya untuk memenangi emas.

“Kebetulan kali ini badminton pertama kali dipertandingkan, jadi saya gembira dia mendapat emas yang pertama.

“Dia selalu memberitahu saya umurnya bukan muda lagi, sudah 33 tahun, jadi kadang-kadang dia tertekan kerana saingannya di sini semuanya masih muda-muda, jadi dia benar-benar bekerja keras demi untuk memenangi emas Paralimpik,” ujar Dewi.

Malah, menurut Dewi sebagai isteri, dia perlu memahami, turut berkorban serta sentiasa memberi sokongan kepada Liek Hou walaupun terpaksa berpisah dengan suaminya itu dalam jangka waktu lama.


Dewi dan Joe Tjin sedang ditemu bual oleh wartawan Astro.


“Sudah hampir tiga bulan dia tidak balik, pasti ada perasaan rindu. Tapi, setiap malam atau petang, selepas latihan di gym (gymnasium), Liek Hou akan hubungi saya, malah setiap malam, sebelum tidur, dia pasti video call  (panggilan vieeo) saya, bertanyakan khabar kami.

“Sebagai isteri saya harus kuat dan terus menyokong dia demi impiannya sejak kanak-kanak hingga sekarang,” katanya.

Malah, ketika diusik wartawan apakah perasaannya apabila Liek Hou mengalahkan pemain Indonesia pada perlawanan akhir itu, Dewi yang merupakan rakyat republik itu menyatakan sebagai isteri, sudah tentu dia menyokong suaminya.

“Dia pun sudah benar-benar berusaha bersungguh-sungguh, berlatih bersungguh-sungguh, semua dia lakukan dengan sepenuh hati untuk mencapai emas di Paralimpik, Tokyo,” katanya.


Kredit foto: MSN


Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki kategori SU5 yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi pada Sabtu, 4 September, 2021 itu, Liek Hou menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15.

Menyingkap sedikit soal peribadi, Dewi memberitahu dia mengenali Liek Hou melalui saudaranya yang tinggal di Indonesia dan mengahwini lelaki itu kerana tertarik dengan sikapnya.

“Saya jatuh cinta dengannya kerana Liek Hou seorang yang sentiasa berusaha keras, bertanggungjawab, membuatkan saya percaya bahawa dia lelaki yang mampu menjaga saya dan membawa saya ke jalan yang lebih baik pada masa depan,” ujar Dewi.


Liek Hou dihubungi isterinya, Dewi di Tokyo sebaik sahaja dia memenangi pingat emas Paralimpik 2020.


Temu bual itu turut mengundang sebak penonton apabila, Liek Hou yang dihubungi secara langsung di Tokyo tidak dapat menahan tangisan kegembiraan semasa bercakap dengan ibu dan isterinya.

Dan tangisannya disambut dengan kata-kata penuh kasih sayang daripada ibunya.

“Apa yang kamu impikan sudah tercapai. Nak menangis, menangis sajalah,” kata Joe Tjin kepada Liek Hou, menggambarkan betapa besarnya kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya. 

Memang sweet! – KitaReporter


Liek Hou memeluk jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek selepas kemenangan pada final badminton perseorangan lelaki SU5 Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo. - Kredit foto: MSN

19
13
0
18
0
You will be interested