Insan & Komuniti 24 Sep, 2020

Bengkel Kemahiran! Jana ekonomi, pupuk toleransi antara kaum

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
DALAM kehidupan masa kini pelbagai ilmu bermanfaat untuk kegunaan harian boleh diperolehi dengan mempelajari secara mudah sama ada percuma atau melalui kaedah berbayar. Bagaimana pun ia bergantung kepada inisiatif seseorang untuk mendapatkannya. : KitaReporters

Para peserta 'Bengkel Kemahiran Asas Membuat Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai' diberi penerangan oleh dua orang jurutunjuk mengenai teknik dan bahan campuran yang digunakan untuk proses pembuatan bahan berkenaan. -Kredit foto-foto: Mazni Said,Team Selangor dan Ariati Salleh.


Lagi cerita-cerita berkaitan wanita:

https://kitareporters.com/search?search=wanita


Mutakhir ini berbagai-bagai badan atau organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan bengkel-bengkel mahupun kelas kemahiran asas terutama bagi jangka masa singkat khusus bagi kaum wanita serta beliawan secara percuma. Malahan ada yang ditaja oleh pihak-pihak tertentu.

Tujuannya antara lain sebagai usaha membekalkan ilmu pengetahuan asas mengenai sesuatu bidang kemahiran kepada kumpulan sasar terutama dalam kategori B40 bagi meningkatkan tahap ekonomi keluarga.
Di kawasan Seri Kembangan, Selangor, Pertubuhan Wanita Berdaya (PWB) di bawah kendalian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang banyak mengatur program menganjurkan bengkel-bengkel kemahiran asas secara percuma kepada penduduk setempat sama ada dengan kerjasama badan-badan lain seperti Jawatankuasa Penduduk (JKP) peringkat zon, Persatuan Penduduk, Perkumpulan Wanita, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ahli Jawatankuasa Masjid atau Surau, pertubuhan sukarela di samping secara persendirian.

Dua peserta bengkel terdiri dengan dibantu oleh salah seorang jurutunjuk mempraktikkan proses membuat sabun daripada bahan minyak masak terpakai di Taman Seri Serdang, Seri Kembangan, Selangor.


Matlamat penganjuran untuk membolehkan individu yang berminat terutama kalangan wanita tidak kira suri rumah, beliawan dan wanita dewasa menimba ilmu pengetahuan berbagai bidang kemahiran termasuk kraf, jahitan, masakan, pembuatan kuih muih, roti serta kek, perhiasan manik dan sebagainya.
Hasil daripada pendedahan ilmu-ilmu berkenaan secara tidak langsung boleh memberi inspirasi kepada mereka yang terlibat menjana ekonomi dalam konteks membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan yang membelenggu  kehidupan harian.
Malahan dalam keadaan ekonomi begitu gawat sekarang berikutan gejala pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk negara kita Malaysia, ilmu yang diperolehi melalui program latihan asas kemahiran jangka pendek ini jika dipraktikkan secara positif mampu mengurangkan beban ekonomi keluarga khususnya mereka yang berada dalam kelompok kategori B40.

Dua peserta tekun melakukan aktiviti praktikal proses membuat sabun daripada bahan minyak masak terpakai di Bengkel Kemahiran Asas anjuran bersama oleh PWB Seri Serdang, IKRAM Cawangan Serdang, JKP Zon 20 MPSJ dan Team Selangor.

Dalam menjayakan hasrat ini, PWB Seri Serdang dengan kerjasama beberapa oranisasi NGO lain telah dan sedang mengatur beberapa program menganjurkan bengkel kemahiran asas, sekali pun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka berakhir 31 Disember 2020 depan.
Terkini PWB Seri Serdang dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Cawangan Serdang, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 20 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Team Selangor menganjurkan 'Bengkel Kemahiran Asas Membuat Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai'.
Program yang berlangsung pada Sabtu 19 September 2020 lalu di Rumah Pangsa Ikan, Taman Seri Serdang, Seri Kembangan mendapat sambutan menggalakkan dan luar biasa daripada komuniti setempat.
Malahan dengan adanya bengkel berkenaan secara tidak langsung memberi pengetahuan berguna kepada para peserta di mana barangan terbuang seperti minyak masak terpakai sewajarnya dimanfaatkan pada masa akan datang sebagai bahan kegunaan harian dan mampu mengurangkan belanja dapur keluarga.
Lebih membanggakan penyertaan mereka yang terlibat dengan program banyak mengetengahkan ilmu-ilmu bermanfaat terdiri daripada kaum wanita berbilang kaum dan ia dianggap mengkagumkan kerana mereka mempraktikan sikap toleransi, semangat kerjasama dan bersatu padu dalam menjayakan kerja-kerja praktikal menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai seperti yang dibimbing oleh jururunjuk pada bengkel kali ini.

Gandingan warga Malaysia terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Cina yang menghadiri Bengkel Kemahiran Membuat Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai berjaya menghasilkan produk mampu menjana ekonomi keluarga jika diusahakan dengan praktikal.
Inisiatif badan NGO berkenaan suatu yang positif selain mengeratkan hubungan warga komuniti setempat juga lebih membanggakan ia antara ciri ke arah mewujudkan perpaduan erat penduduk berbilang kaum.
Tujuan mereka menyertai program tersebut tidak lain semata-mata menimba ilmu kemahiran yang mampu membuka jalan untuk meningkatkan tahap ekonomi keluarga jika dipraktikan selain menyebarkannya kepada warga komuniti di kawasan mereka tinggal.
Penyelaras PWB Seri Serdang, Mazni Said berterima kasih kepada mereka yang terlibat menjayakan bengkel kali ini dan berharap dapat dimanfaatkan untuk kebaikkan bersama.

Sebahagian peserta yang menghadiri Bengkel Kemahiran Asas Membuat Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai untuk sesi 2020 yang terdiri berbilang kaum di Taman Seri Serdang, Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terhadap program anjuran PWB di sekitar kawasan Seri Serdang akhir-akhir ini memberikan inspirasi dan semangat untuk ahli jawatankuasanya berkongsi ilmu bagi dicurahkan kepada mereka yang berminat dan memerlukan.

"Diharapkan setiap ilmu yang dipelajari melalui bengkel atau program anjuran PWB bersama NGO lain dapat dipraktikan sama ada untuk tujuan menambah pendapatan ekonomi mahupun disebarkan kepada rakan setempat," ujarnya.

Penyelaras Pusat Wanita Berdaya (PWB) Seri Serdang, Mazni Said (empat daripada kanan) bersama peserta Bengkel Kemahiran Asas Membuat Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai menunjukan produk yang dihasilkan pada akhir bengkel berkenaan.

Sementara itu, sebuah badan NGO yang aktif menjalankan aktiviti kemasyarakatan, Pertubuhan Amal Lestari Indah yang berpusat di Taman Seri Indah, Lestari Perdana turut menganjurkan program berbentuk kemahiran asas kepada ahli-ahlinya dan penduduk setempat pada Sabtu 19 September 2020. 

Program kemahiran asas yang diadakan kali ini merupakan 'Bengkel Membuat Beg dan Alas Kaki Daripada Baju-T Terpakai' dengan penyertaan seramai 20 orang ahli dan penduduk setempat di balai raya taman berkenaan.

Ahli Jawatankuasa pertubuhan berkenaan, Ariati Saleh menjelaskan, mereka yang dihantar menghadiri bengkel atau program anjuran badan-badan tertentu termasuk PWB Seri Serdang memberi tunjuk ajar mengenai ilmu kemahiran berkaitan bidang kraf cara-cara membuat beg dan alas kaki daripada baju-T terpakai berkenaan.
Katanya, dengan konsep yang dipraktikkan ini secara tidak langsung dapat menyebarluaskan ilmu yang dipelajari kepada ahli-ahli komuniti setempat khususnya dalam kalangan kaum wanita dan anak-anak ahli.
Selain itu, ujarnya, bagi ahli pertubuhan atau penduduk setempat yang berminat boleh menjadikan ilmu yang dipelajari dengan lebih praktikal sebagai sumber bagi menjana ekonomi keluarga, di samping memanfaatkan baju-T terpakai daripada dibuang begitu sahaja. - KitaReporters
Sebahagian ahli Pertubuhan Amal Lestari Indah, Taman Seri Indah, Lestari Perdana, Bandar Putra Permai menjalani latihan praktikal membuat beg melalui Bengkel Kemahiran Asas Membuat Beg Daripada Baju-T Terpakai di balai raya taman berkenaan.

Sebahagian peserta Bengkel Kemahiran Asas Membuat Beg dan Alas Kaki Daripada Baju-T Terpakai menunjukkan hasil kerja beg masing-masing.

Ahli Pertubuhan Amal Lestari Indah dan beberapa orang penduduk di Taman Seri Indah memenuhi masa lapang pada hari cuti tidak kira hujung minggu atau cuti umum dengan menghadiri program bermanfaat.

Salah seorang jurutunjuk (empat daripada kiri) memperlihatkan cara dan teknik bagaimana kaedah untuk membuat beg daripada baju-T terpakai pada Bengkel Kemahiran Asas Cara Membuat Beg dan Alas Kaki daripada bahan terpakai termasuk baju-T.

0
0
0
0
0
You will be interested