Insan & Komuniti 20 Sep, 2021

Tiada lagi Mat Noh! Sayap Singapura juara Piala Malaysia! Bintang Sukanku kenangan Rahimah Rahim!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


MOHAMED Noh Hussein mahir menggelecek dari bahagian sayap dan dianggap igauan ngeri benteng lawan dalam Piala Malaysia. - Kredit foto: FB Yakob Hashim


MOHAMED Noh Hussein dan Rahimah Rahim mendirikan rumah tangga pada 9 Disember 1977 - tahun yang sama Singapura menjulang Piala Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur

Malah sembilan bulan sebelum itu, skuad republik bimbingan (mendiang) Choo Seng Quee mengejutkan Malaysia 1-0, pilihan utama Kumpulan 1 Asia Kelayakan Piala Dunia 1977 di Stadium Nasional, Singapura.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak


DUA versi kulit album lagu 'Bintang Sukanku' dendangan Rahimah Rahim. - Kredit foto discogs.com



Sebuah lagu berjudul 'Bintang Sukanku' turut diterbitkan pada 1975 yang didendangkan Rahimah Rahim, penyanyi yang turut popular dengan 'Jika Begini', 'Bebas' dan 'Gadis Dan Bunga'.

Antara bait seni kata Bintang Sukanku:

"Ku melihat kau berlari di padang bola... Tepuk sorak yang bergema memuja-muja... Kau mengejar kau dikejar setiap masa... Tapi lawanmu tewas juga.... Kau sudah menendang dua kosong tak balas... Ku riang... Dan bersorak-sorak kegirangan... Berjuang... Berjuang... Berjuang dalam dunia sukan mu." 


MOHAMED Noh Hussein pernah digelar 'Alan Clarke Singapura' kerana ketampanannya dan darah kacukan Jepun sebelah neneknya. - Kredit foto: Straits Times Singapura 


Sayangnya jodoh pemain sayap bola sepak lincah yang menggelecek dan penyanyi manis ini hanya bertahan hingga 1988. Namun mereka mempunyai seorang anak perempuan, Pearl Nur Hida Mohamed Noh yang kini berusia 43 tahun. 

"Saya dan keluarga dengan sedih hati ingin memberitahu Mohamed Noh Hussein, 67 tahun, telah pulang ke rahmatullah," hantar Rahimah pada laman Facebooknya, 20 September 2021.



BAGAI pinang dibelah dua ketika menaiki pelamin pada 9 Disember 1977. - Kredit foto: Carigold.com


Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam Facebook rasminya, melaporkan: "Mat Noh (julukannya) terkenal kerana jaringan sepakan penaltinya terhadap Malaysia dalam Kelayakan Piala Dunia. 

"Dia menjadi igauan ngeri kepada benteng lawan dari bahagian sayap. Anggota pasukan juara Piala Malaysia 1977," lapor laman itu lagi.

Pemenang Piala Malaysia dua kali termasuk 1980 ini menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 67 tahun di Hospital Besar Sengkang, Singapura, awal pagi 20 September 2021.

Sehari sebelumnya dia dilaporkan oleh beberapa media Singapura, mengalami serangan jantung malah terdahulu sempat berada di rumah Pearl.



MAT Noh (jersi biru) menyudahi sepakan penalti untuk gol tunggal yang menewaskan R. Arumugam (kiri) dalam Kelayakan Piala Dunia 1977. 


Kedua-dua gelaran Piala Malaysia 1977 dan 1980 menjadi milik Singapura itu dengan menewaskan Pulau Pinang 3-2 dan Selangor 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.  

Dalam perlawanan Kumpulan 1 Asia, Kelayakan Piala Dunia 1977 pada  6 Mac 1977 itu, Malaysia diperkasa (Datuk) James Wong, (mendiang Datuk) R. Arumugam, (Datuk) Soh Chin Aun, (Allahyarham) Isa Bakar Abu Bakar dan (Datuk) Jamal Nasir Ismail serta Yip Chee Keong.

Mat Noh yang dikatakan berketurunan Jepun sebelah neneknya, bersara senyap-senyap daripada bola sepak selepas pasukan republik itu gagal mempertahankan Piala Malaysia pada 1981.

Singapura ditewaskan Selangor 4-0 termasuk menerusi dua jaringan (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari dalam perlawanan akhir itu pada 30 Mei 1981, juga di Stadium Merdeka.


MAT Noh menjadi penghias kulit sebuah majalah bola sepak di Singapura. 


Sejak menggantung but bola, Mat Noh juga dikatakan lebih banyak mendalami ilmu agama.

Antara rakan sepasukannya dalam Piala Malaysia itu ialah Edmund Wee, Hasli Ibrahim, Samad Allapitchay, Dollah Kassim, Fandi Ahmad, Quah Kim Song, Hashim Hosni, David Lee dan T. Pathmanathan. - KitaReporters


PASUKAN Singapura pada akhir 1970-an yang turut dianggotai Mohamed Noh Hussein (berdiri, empat dari kiri). - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan 

9
13
1
10
1
You will be interested