Insan & Komuniti 05 Nov, 2020

Tolong kami! Adik Iqram Hashim perlukan rawatan, pembedahan!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

IBU mana yang tidak berasa belas kasihan dan meruntun kesedihan melihat penderitaan yang ditanggung oleh anaknya yang dilahirkan daripada rahimnya sendiri. Sebagai ibu, kasih sayang terhadap anaknya tidak berbelah-bahagi malahan sedaya upaya untuk memelihara serta menjaga kebajikan anak masing-masing khususnya ketika ditimpa penyakit atau musibah tertentu. : KitaReporters


Pintu gerbang masuk ke perumahan Felda Jengka 23 (Tonkin), Temerloh, Pahang. - Kredit foto: tukulbesi.blogspot.com


Lagi cerita-cerita berkaitan Tolong Kami:

https://kitareporters.com/search?search=tolong+kami


Begitulah senario kehidupan dihidapi Suraya Abdul Manan yang tinggal di Felda Jengka 23 (Tonkin), Temerloh apabila anaknya, Iqram Hashim yang berusia 11 tahun menanggung penderitaan kulit terbakar

"Setiap hari saya memikirkan nasib anak ini pada masa akan datang dan sentiasa tergenang air mata apabila melihat kesengsaraan Iqram menjalani kehidupan berbeza dengan insan lain yang sangat bernasib baik.

"Hal ini kerana Iqram mengalami penderitaan kulit terbakar dan menanggung kesakitan sehingga ini kerana bahagian anggota peha, tangan, dada, menjadi tegang. Kedua-dua belah tangan pula tidak boleh diluruskan dengan sempurna," katanya di Felda Jengka 23, Temerloh pada 2 November 2020.


Suraya Abdul Rahman (kanan) bersama anaknya, Iqram Hashim yang tinggal di Felda Jengka 23 (Tonkin), Temerloh. - Kredit foto: Salehudin Mat Rasad


Suraya yang berstatus ibu tunggal selepas kepulangan suaminya ke rahmatullah beberapa bulan lepas kini menumpang tinggal di rumah ayahya di Felda tersebut.

Ceritanya bagaimana musibah yang menimpa Iqram sehingga mengalami kecederaan serius pada bahagian kulit anggota badan, Suraya menambah, kejadian itu berlaku pada 26 November 2011, kira-kira pada pukul 4 petang ketika dia membakar sampah di belakang rumahnya di Felda Kumai, daerah Bera.

"Tanpa diduga kejadian ini berlaku dalam sekelip mata apabila timbunan sampah yang dibakar dipercayai mengandungi bekas kosong penyembur nyamuk tiba-tiba meletup. 

"Dengan tidak semena-mena, Iqram yang ketika itu berusia dua tahun berada dalam jarak dalam satu meter terus disambar api," katanya.

Suraya berkata, dia tergamam seketika melihat anaknya yang memakai baju-T gambar kartun diperbuat daripada campuran getah yang mudah disambar api menjerit kesakitan meraung meminta tolong. Dia dengan bantuan jiran menggunakan air paip memadamkan api yang menjilat baju pada badan Iqram.

Katanya, kecederaan serius akibat kulit terbakar di bahagian beberapa anggota badan Iqram menyebabkan dia dirawat selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Beginilah keadaan anak saya hari ini, telinganya terbentuk seperti anting-anting, mulut menjadi kecil termasuk kulit pada bahagian anggota peha, tangan, dada, menjadi tegang. Kedua-dua belah tangannya tidak boleh diluruskan dengan sempurna malahan Iqram menderita kesakitan pada bahagian kulit sehingga ini," katanya.

Keadaan anggota badan Iqram Hashim akibat melecur terbakar paling teruk di bahagian tangan dan telinga berbentuk 'anting-anting' selepas kejadian pada 26 November 2011 lalu.


Lantaran untuk mengubati menerusi pembedahan bahagian kulit anggota badan anaknya, Suraya memberitahu dia perlu menyediakan wang sebanyak RM20,000 untuk kos rawatan dan pembedahan Iqram.

Katanya, pembedahan kulit perlu dilakukan segera sebelum Iqram berusia 13 tahun memandangkan anak itu kerap menanggung kesakitan selain  mengelakkan perasaan rendah diri apabila meningkat usia remaja.

"Bagaimana saya hendak mendapatkan wang sejumlah ini sedangkan saya tidak bekerja malahan makan minum menumpang bersama di rumah ayah selepas suami meninggal dunia.

"Saya amat berharap kerajaan dan para dermawan dapat membantu membiayai pembedahan anak ini memandangkan tidak mampu menyediakan kos pembedahan sambil berharap keadaan kesakitan kulit Iqram pulih semula bagi keselesaannya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain termasuk pelajarannya," rayu Suraya.

Sementara itu, Iqram murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 23, Temerloh yang bercita-cita ingin menjadi seorang doktor pakar amat berharap ada pihak tertentu yang memberikan bantuan kewangan bagi menjalani pembedahannya.

"Pak cik, tolonglah saya berubat (pembedahan) segera. Tengok telinga saya seperti anting-anting dan mulut saya menjadi kecil akibat terbakar. Tangan saya juga tidak boleh diluruskan susah untuk saya belajar dan bermain dengan kawan," luah Iqram kepada KitaReporters. 

Iqram berkata, dia reda dengan ujian Allah sejak usia dua tahun menderita sehingga rutin hariannya sedikit berbeza dengan kanak-kanak lain sambil berharap mendapat bantuan segera untuk pembedahan kerana ibunya tidak berwang lantaran kehidupan bertambah susah selepas ayahnya meninggal dunia.

Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah bolehlah menyumbangkan dana dengan menghubungi Suraya Abdul Manan menerusi talian 011- 8845209 atau terus ke akaun Maybank (Suraya) bernombor 156141643641. - KitaReporters

"Pak cik, tolonglah saya berubat (pembedahan) segera," rayu Iqram Hashim

1
0
4
0
1
You will be interested