Insan & Komuniti 19 Oct, 2020

Perginya Mohd Shah Norbit! Kapten, abang, jurulatih, kawan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

WIRA silam bola sepak Malaysia dan Selangor 70-an, Allahyarham Mohd. Shah Alias Mohd. Norbit mampu mendukung tiga peranan sekali gus iaitu sebagai kapten, abang mahupun jurulatih ketika beraksi di dalam padang. Semoga Allah melindungi dan mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham yang meninggal dunia hari ini, Isnin 19 Oktober 2020. : KitaReporters


MOHD. Shah Alias Mohd. Norbit (kanan) ketika masih sihat pada Julai 2020 diziarahi Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Yakeb. - Kredit foto: Yakeb. 


Lagi cerita-cerita berkaitan legenda:

https://kitareporters.com/tag/legenda


Ciri-ciri karisma tinggi yang sukar ditemui pada seseorang pemain ini, masih segar dalam ingatan Azlan Johar yang pernah sepasukan dengannya dalam Kelab Sultan Sulaiman (KSS) sehingga mereka menjulang Piala FAM pada 1982. 

“Dialah abang, kapten dan jurulatih dalam perlawanan akhir Piala FAM itu. Dengan tunjuk ajar dan nasihatnya, saya juga berjaya jaringkan dua gol yang menewaskan Majlis Amanah Rakyat (Mara) 2-0. 

“Saya seperti kehilangan abang yang saya ziarahi (tengah hari ini, 19 Oktober 2020) di rumahnya (Taman Desa Keramat, Ampang, Ulu Kelang, Selangor),” kata Azlan, juga bekas pemain Selangor dan Harimau Malaysia era 80-an hingga 90-an.    

Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang ini, 19 Oktober 2020 selepas berkeadaan tenat akibat serangan angin ahmar (strok) sejak sebulan lalu. 

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 69 tahun dengan meninggalkan seorang balu, Aini Muhamed, 66, dan tiga anak, Mohd. Nazri, Mohd. Nizam dan Mohd. Nizwan serta enam cucu.

AZLAN Johar (kiri) bersama seorang lagi legenda Selangor 90-an, Azman Adnan ketika menjadi pengulas TV undangan siaran langsung Piala Malaysia. - Kredit foto: FB Azlan.


“Kali pertama saya jejak kaki ke KSS pada 1979 hingga 1986, saya mengenalinya sebagai pemain yang sangat mahir. Kadangkala kami pemain muda termalu dengan kesungguhan dan tenaga yang ditunjukkan di padang oleh seorang pemain senior sepertinya. 

“Apa yang saya nikmati kemudiannya sebagai seorang pemain, banyak datangnya daripada nasihat dan tunjuk ajarnya. Dia juga tidak pernah bersikap iri hati dengan kejayaan atau kehebatan pemain lain,” kata Azlan, pengulas pakar bola sepak TV selain penyerang skuad pelapis Harimau Malaysia dari 1983 hingga 1987, Selangor, Terengganu dan Angkatan Tentera. 

Selain memimpin KSS menjuarai pertandingan antara kelab amatur Malaysia itu, Mohd. Shah Alias turut pernah mewakili skuad negara menentang kelab gergasi Divisyen Satu England, Arsenal dalam perlawanan persahabatan pada 11 dan 13 Mei 1975.


SHAH (depan, kanan) membarisi kesebelasan utama Malaysia menentang Arsenal pada 11 Mei 1975 di Kuala Lumpur. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


MALAYSIA berjersi putih menentang Arsenal (depan dari kiri), Shukor Saleh, Choon Wah, Isa, Harun dan Shah. Belakang (dari kiri), Namat, R. Arumugam, Santokh, Chin Aun, Mokhtar dan Vincent Thambyrajah. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


Skuad pimpinan Datuk Namat Abdullah selain dibarisi Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Aun, Harun Jusoh, Allahyarham Isa Bakar dan mendiang Wong Choon Wah menewaskan Arsenal 2-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. 

Allahyarham turut membarisi kesebelasan utama Malaysia yang diikat 1-1 oleh The Gunners kendalian mendiang Bertie Mee dan diperkuatkan tiga bintang England seperti Brian Kidd, John Radford dan Peter Storey selepas jaringan Isa di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

DARI kiri trio bola sepak Norbit bersaudara, Zulkifli, Jamaluddin dan Shah. - Kredit foto: Dunia Sukan Utusan.


Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 25 November 1951, Mohd. Shah Alias juga pernah membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan SEAP Bangkok dan muncul naib juara Pestabola Merdeka 1975 selepas dikalahkan Thailand 2-1 dan Korea Selatan 1-0.

Bersama Selangor, beliau yang mampu bermain di posisi perantara mahupun sayap, memenangi Piala Malaysia lima kali (1971, 1972, 1973, 1975 dan 1976) selain mencatat 65 penampilan dan menjaringkan 12 gol.

Allahyarham juga pernah menjadi penolong jurulatih Selangor kepada Datuk Khaidir Buyong sehingga 2000 sebelum melatih Melaka dari 2001 hingga 2003, skuad wanita Malaysia (2006-2008), Angkatan Tentera dan SPA mulai 2013.

Allahyarham menurut anak keduanya, Mohd. Nizam, juga menghidapi pelbagai penyakit kritikal lain seperti kencing manis dan darah tinggi selain diserang angin ahmar sejak sebulan lalu.

Abang Allahyarham, Mohd. Zulkifli juga merupakan legenda bola sepak Selangor dan Malaysia yang pernah muncul naib juara Kejohanan Kelab Juara Asia 1967 dan juara Pestabola Merdeka 1968 selain saudara muda mereka, Mohd. Jamaluddin Akhir, bekas perantara Selangor era 80-an. 

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sempat menziarahinya kira-kira pukul 2 petang dan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarganya. - KitaReporters


MOHD. Nizam Mohd. Shah Alias (kiri) menerima sumbangan daripada Noorul Ariffin pada 19 Oktober 2020. Di tengah ialah Aini Muhamed. - Kredit foto Yakeb. 


BEKAS rakan sepasukan Selangor, Khalid Ali (kiri) dan Hanafiah Ali (kanan) ketika bersama Noorul Ariffin menziarahi Shah pada Julai 2020. - Kredit foto Yakeb. 

5
1
7
0
0
You will be interested