Minuman sirap bandung dan teh tarik antara menjadi tumpuan hadirin dan anak-anak yatim yang berbuka puasa.
Dalam kehidupan ini, kita sering diingatkan akan kepentingan membantu mereka yang memerlukan, antaranya anak yatim yang kehilangan kasih sayang ibu bapa. Amalan ini bukan hanya mendatangkan manfaat untuk mereka yang menerima bantuan, tetapi juga membuka pintu kebahagiaan dan keberkatan bagi kita yang memberi.
Firman Allah dalam Surah Al-Insan (76:8) bermaksud: “Dan mereka memberikan makanan yang disukai orang miskin, anak yatim, dan orang yang ditawan.”Dalam Islam, beramal untuk anak yatim dianggap sebagai amalan paling mulia. Allah menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang bersusah payah membantu anak yatim.Malah, Rasulullah SAW bersabda, “Aku dan penjaga anak yatim akan bersama-sama di syurga seperti ini,” sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah yang terpisah.
Anak yatim sering menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kehilangan kasih sayang dan keperluan asas. Tidak sama seperti anak-anak yang lain punya ibu ayah di sisi. Membantu mereka memenuhi keperluan harian seperti pendidikan, pemakanan, dan perubatan adalah langkah penting memastikan mereka mempunyai peluang yang setara dalam kehidupan.Menyedari hakikat itu, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor meraikan 60 anak-anak terdiri daripada golongan asnaf seramai 25 orang dan 35 anak-anak yatim dari sekitar Sungai Ramal Dalam, Desa Putra, Petaling Jaya dan Hulu Langat.
Biro Penggerak Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Ustazah Norhayati Sulaiman, bersyukur program berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama semua ahli termasuk beberapa penaja yang memberi sumbangan bagi memeriahkan acara tahunan itu."Kami mengadakan iftar bersama anak-anak yatim dan asnaf setiap tahun, seminggu sebelum Aidilfitri dan ini kali ketiga acara ini diadakan, memang meriah dan seronok dapat melakukan program ini, sambil menikmati buka puasa, kami menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang.
"Saya bersyukur kerana banyak menerima sumbangan daripada pelbagai pihak dan majlis sebegini sudah tentu dapat memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak ini terutama menjelang Syawal yang bakal tiba," katanya.
Ustazah Norhayati Sulaiman
Sempena iftar bersama anak-anak yatim dan asnaf, pertubuhan itu turut memberi sumbangan kotak rezeki yang mengandungi barangan mentah seperti beras, telur, ayam sejuk beku, tepung, minyak masak dan gula kepada ibu atau bapa yang hadir.
Selain itu, pertubuhan itu turut memberi sumbangan penaja seperti minuman isotonik Revive dari syarikat Etika (M) Sdn Bhd, ais krim selain duit raya yang disumbangkan sebuah stesen minyak.
Ia ternyata memberi kegembiraan berganda kepada anak-anak yatim dan asnaf terbabit.
Kemeriahan dapat dirasakan anak-anak yatim dan asnaf apabila mereka disajikan dengan hidangan yang enak selain mendapat duit raya
"Majlis berbuka puasa ini sekurang-kurangnya dapat memberi peluang anak-anak ini berasa dikasihi, sekali gus membuktikan mereka tidak disisihkan. Program ini sekali gus mengeratkan hubungan antara ahli persatuan, penerima termasuk ibu dan ayah mereka selain masyarakat luar.
"Saya mewakili pertubuhan Misi Amal berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak memberi senyuman kepada mereka pada bulan mulia ini."Insya-Allah, acara berbuka puasa ini akan teruskan program seperti ini pada masa depan dan dijadikan program tahunan sempena Ramadan sebagai tanda penghargaan kepada golongan yang memerlukan dan masyarakat sekitar," kata Ustazah Norhayati ketika ditemui selepas menyampaikan duit raya kepada anak yatim pada majlis berbuka puasa itu.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Tina Wardi (kiri) menyampaikan kotak rezeki, minuman isotonik dan duit raya kepada keluarga anak-anak yatim.
Minggu sebelum ini, kata Ustazah Norhayati, pertubuhan itu mengadakan gotong royong program memasak dan mengagih-agihkan bubur lambuk kepada penduduk yang memerlukan di kawasan terpilih, antaranya Stesen Shell Jalan Reko bagi membolehkan pemiliknya memberi 120 pek bubur lambuk secara percuma kepada pelanggan yang datang mengisi minyak di tempatnya.
Lokasi lain ialah pengagihan 130 pek bubur lambuk dan kuih muih kepada golongan asnaf di Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan ketiga di Rumah Sahabat, Sungai Tekali sebanyak 150 pek selain sumbangan bahan mentah seperti beras, minyak masak, telur, kuih muih, ayam sejuk beku, ikan dan sayur-sayuran yang ditanam sendiri oleh ahli-ahli Misi Amal di Bandar Baru, Bangi, Selangor.Anak-anak yatim dan ibu mereka yang menerima sumbangan kotak rezeki dan duit raya bergambar kenangan bersama Ustazah Norhayati (belakang dua dari kanan).
"Saya berharap acara iftar yang diadakan ini dapat menggembirakan anak-anak yatim dan asnaf, tiada keseronokan kami selain melihat mereka tersenyum, ketawa dan mengucapkan terima kasih atas apa yang kami lakukan. Semoga mereka akan menjadi anak-anak yang soleh, berjaya dunia akhirat.
"Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memeriah dan melancarkan iftar bersama anak-anak yatim dan asnaf terutama orang perseorangan, stesen minyak Shell dan Etika Sdn Bhd, syarikat pengeluar minuman halal yang sentiasa memberi sokongan kepada pertubuhan ini untuk aktiviti-aktiviti kebajikan yang dilakukan," kata Ustazah Norhayati lagi.Muhammad Mueiz Fahmi Faizzul Helmi (kiri) dan adiknya Muhammad Mirza Aqil
Sementara itu, seorang anak yatim, Muhammad Mueiz Fahmi Faizzul Helmi, 14, berkata dia dan keluarganya seronok dapat hadir program berbuka puasa itu kerana selain mendapat makan nasi ayam dan makanan lain yang enak. Mereka juga mendapat kotak rezeki dan sumbangan duit raya.
Mueiz yang bercita-cita menjadi guru agama kematian ayahnya ketika dia berusia 13 tahun akibat penyakit kencing manis. Ketika meninggal dunia, ayahnya berusia 34 tahun dan menjadi ustaz dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Putrajaya."Terima kasih kepada Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor dan penaja yang sudi menjemput dan meraikan kami, saya merasa amat dihargai kerana mereka melayan kami dengan baik," katanya.
Nur Afifah Najahah
Adik dan kembarnya, Muhammad Mirza Aqil dan Nur Afifah Najahah, 12, masih di tadika ketika ayah mereka meninggal dunia dan mengakui amat merindui ayahnya terutama setiap kali kehadiran Ramadan dan Aidilfitri.
"Ibu ambil alih tugas ayah, bekerja di sebuah syarikat penghantar barangan di Semenyih. Saya dan adik beradik lain sudah mendapat baju raya baru.
"Memang seronok tapi jika ada ayah di sisi pasti lebih seronok. Moga roh ayah ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya sambil mengangkat tangan berdoa.
Sebahagian ahli jawatankuasa Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor yang bertungkus lumus menjayakan program iftar bersama anak-anak yatim dan asnaf.
Dalam perkembangan yang sama, orang ramai boleh mengikuti aktiviti pertubuhan itu melalui FB, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor atau datang sendiri ke ibu pejabatnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk melihat aktiviti perkebunan yang dilakukan ahli-ahli bagi menambah dana pertubuhan itu.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, bernombor 562263560241 (Maybank). - KitaReporters