RUMAH agam berkonsepkan Bollywood memang menjadi impian Subadron Aziz dan Salwa abdul Rahman.
Baru-baru ini penulis dan isteri dipelawa oleh bekas pemain bola sepak, Datuk Subadron Aziz dan isterinya, penyanyi, Datin Salwa Abdul Rahman makan tengah hari di rumah mereka di Taman Seri Gombak. Mereka baru sahaja beberapa bulan mendiami rumah itu dan kami berasa bertuah kerana menjadi antara tetamu kepada pasangan itu.
Tenyata hidangan menu utama asam pedas tenggiri dan ayam masak lemak cili padi hasil air tangan Salwa cukup membuka selera malah melihat ruang makannya saja sudah membuatkan perut terasa kenyang.
Selesai makan, Subadron dan Salwa membawa kami meninjau di dalam dan sekitar. Rumah agam tiga tingkat yg terletak di pinggir kota itu sangat mengagumkan, bukan saja ia tersergam, malah reka bentuk dan hiasan dalamannya sangat elegan.
PENULIS dan isteri dihidangkan asam pedas tenggiri dan ayam masak lemak cili api hasil air tangan Salwa.
Melangkah masuk saja, penulis seolah-olah sedang berada di dalam sebuah rumah yang sering ditonton dlm filem-filem Hindustan. Menurut Subadron, memang menjadi impian Salwa mahu memiliki rumah ala Bollywood.
Bersantai di balkoni sambil menikmati persekitaran air sungai mengalir dan pemandangan yang cantik serta dibuai hembusan bayu memang mengasyikkan. Mahligai itu turut dilengkapi kolam renang, gelanggang badminton, gimnasium, taman mini, dewan, surau dan studio.
Agak menarik, banglo itu bersambung pula dengan Wisma Akademi Bola Sepak Subadron (SFA) yang turut dilengkapi galeri untuk menyimpan khazanah bola sepak membabitkan bekas pemain itu, ruang pejabat dan asrama pelatih-pelatih akademi.
Dek kerana terlalu teruja, tak sedar kami berada hampir lima jam di situ. Sungguh penulis kagum dengan apa yang tersergam di depan mata.
Pada ketika ramai ahli sukan hidup biasa-biasa malah ada yang berdepan kesukaran dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara, Subadron adalah sebaliknya.
Tapi, penulis tidak terperanjat kerana Subadron yang penulis kenal sejak muda, memang seorang pemain bola sepak yang berdisplin dan mempunyai wawasan. Bolehlah penulis anggap beliau sebagai pemain yang 'ada otak'.
BERSANTAI di balkoni sambil menghirup udara segar dan menikmati persekitaran sungai yang mengalir.
Menurut Subadron, sejak zaman bergelar pemain, beliau sudah memikirkan masa depannya untuk menghadapi persaraan. Justeru beliau mengambil pendekatan 'sediakan payung sebelum hujan'.
"Bad sekolah tak tinggi," katanya jujur. "Apatah lagi keluarga Bad bukan orang senang. Jadi, Bad perlu lakukan sesuatu untuk masa depan.
"Bad sedar, hayat karier sebagai pemain bola tak lama. Gaji pemain pada zaman tu tak tinggi, bukan macam budak-budak sekarang.
"Jadi, semasa masih aktif Bad dah buat persediaan. Selain menyimpan, Bad masuk tender Dewan Bandaraya (Kuala Lumpur) untuk kontrak angkut sampah, alhamdulillah dapat dan kekal sampai sekarang.
"Kemudian, Bad babitkan pula dalam bisnes hartanah. Hasil pendapatan dan simpanan Bad labur dgn membeli rumah dan tanah, kemudian selepas beberapa tahun jual.
SUBADRON mendedahkan rahsia kejayaan hidupnya.
"Rumah dan bangunan akademi ini adalah hasil titik peluh Bad berpuluh-puluh tahun, bukan dapat dalam sekelip mata. Nak binanya pun ambil masa tujuh tahun sebab bina secara berperingkat-peringkat.
"Ini hadiah untuk Salwa. Kami hanya mahu menikmati hidup dengan tenang selepas berpuluh-puluh tahun bekerja keras.
"Bad juga menganggap apa yang Bad perolehi ini adalah rezeki yang berkat daripada Allah kerana sepanjang bermain bola sama ada untuk Kuala Lumpur atau negara, Bad main bersungguh-sungguh dan jujur," kata Subadron.
Hakikatnya, ketika bola sepak Malaysia dilanda rasuah pada 1990-an yang menyaksikan ramai pemain terbabit, Subadron adalah antara pemain yang tidak terpalit dengan gejala itu dan beliau yakin, hikmahnya adalah apa yang dinikmati sekarang.
“Bad kecewa bila dapat tahu ramai kawan terbabit rasuah. Terasa diri dikhianati dan ditikam dari belakang. Bad bermain bersungguh-sungguh tapi ada rakan sepasukan jual game. Sampai sekarang Bad masih rasa marah dan kecewa,” luahnya.
“Bad bersyukur kerana tidak turut terbabit. Mungkin atas sebab itu, Allah beri rezeki sebagaimana yang Bad nikmati sekarang.
"Bagi Bad, keberkatan itu penting. Allah permudahkan setiap urusan kami termasuk semasa mengerjakan ibadah haji baru-baru ini,” katanya.
SUBADRON dan Salwa menunaikan ibadah haji pada tahun ini (2023).
Subadron dan Salwa adalah antara tetamu Allah yang menyempurnakan ibadah haji pada tahun ini (2023), sesuatu yang dianggap Subadron sebagai pencapaian terbaik kehidupannya selain kejayaan dalam bola sepak.
"Ini pertama kali Bad jejak kaki ke Tanah Suci. Salwa dah empat kali tunaikan umrah sebelum ini. Bad sangat berdebar tapi alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami sepanjang di sana," katanya.
Sepanjang kariernya, Subadron menikmati kejayaan menjuarai Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 1987, 1988 dan 1989. Pada peringkat antarabangsa pula, beliau membantu skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA 1989.
Selepas bersara, beliau menubuhkan Akademi Bola Sepak Subadron (SFA) yang membimbing bakat muda bola sepak dengan tujuan melahirkan lebih ramai pemain yang hebat dan berdisiplin.
SUBADRON dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.
Segala pengorbanannya dalam bola sepak dihargai apabila beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2023.
"Penganugerahan ini adalah satu pengiktirafan yang tidak pernah diimpikan tapi Bad menerimanya dengan rasa syukur. Ia adalah satu penghargaan kepada pemain bola sepak secara keseluruhannya terutama mereka yang bermain dengan jujur dan bermati-matian baik untuk negeri mahu pun negara," ujar Subadron.
Namun, Subadron masih mempunyai satu impian ingin disempurnakan yang dianggap sebagai kemuncak kepada kehidupannya iaitu membina sebuah stadium mini di tanah miliknya di Taman Seri Gombak.
Stadium yang akan menyediakan dua buah padang serta kelengkapan lain akan dibina di atas sebidang tanah seluas empat ekar dan dijangka akan menelan belanja sebanyak RM10 juta.
WISMA SFA menempatkan pejabat, galeri dan asrama pemain akademi.
“Bad sudah menyerahkan kertas cadangan kepada pihak tertentu untuk membiayai pembinaan stadium itu tapi setakat ini belum menerima maklum balas. Begitu pun Bad belum berputus asa, insya-Allah impian ini akan dapat dicapai.
“Stadium itu kelak bukan setakat akan menjadi kebanggaan Bad tapi akan berfungsi memberi kemudahan kepada penduduk sekitar serta melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat terutama di daerah Gombak.
“Ia adalah impian terakhir Bad yang akan menjadi kemuncak kepada karier Bad sebagai pemain bola sepak dan juga kehidupan. Ia bukan sesuatu yang mudah tapi tidak mustahil, Bad sedang berusaha keras ke arah itu,” katanya. - KitaReporters