
Majlis Penyerahan Sumbangan Peranti Tablet Zakat MAINPP Kepada Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang dengan kos keseluruhan sebanyak RM6,511,300 berlangsung di Hotel Olive Tree Penang, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 11 April 2025.
Melalui Divisyen Projek Khas Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu, sebanyak 8,740 unit peranti tablet dapat diserahkan kepada 263 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pihak pengurusan zakat MAINPP tampil memainkan peranan penting dengan menyumbang peranti tablet kepada sekolah-sekolah di seluruh negeri itu selari dengan dasar pendidikan digital yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Banyak perubahan bakal dinikmati pelajar sekolah rendah dan menengah dengan adanya sumbangan peranti tablet itu," katanya.

Dr. Mohamad Abdul Hamid (tiga dari kiri) menyerah replika cek kepada Mohamad Zawawi Ahmad yang berlangsung di sebuah hotel di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 11 April 2025.
Menurutnya, projek diadakan itu bakal membawa makna amat besar dalam usaha memperkukuh pembelajaran digital di Pulau Pinang dan juga selari dengan MAINPP dengan aspirasi Penang 2030 ke arah Pulau Pinang Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara menjelang tahun 2030.
"Usaha dilakukan ini membuktikan bahawa transformasi negeri tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur fizikal, tetapi juga kepada pembangunan minda dan sahsiah rakyat. Kita sedar bahawa dunia kini bergerak pantas ke arah digital," katanya lagi.
Justeru, kefahaman terhadap teknologi serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengannya amat penting, terutama dalam sektor pendidikan.
"Kita mahu pelajar-pelajar kita bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu bersaing secara global," tambahnya lagi.
Mohamad yang juga merangkap Yang Dipertua MAINPP berkata, usaha dilakukan ini dilihat sebagai pemangkin kepada usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran digital di sekolah-sekolah, terutama dalam kalangan pelajar Muslim, agar mereka tidak terus tercicir dalam arus transformasi pendidikan moden.
Namun begitu, kejayaan pendidikan digital tidak terletak pada peranti semata-mata. Keperluan kepada infrastruktur yang lengkap seperti smart classroom (kelas bijak), hybrid classroom (kelas hibrid) dan prasarana digital lain.
Peranti ini bakal digunakan sebagai akses kepada buku teks digital oleh murid-murid sekolah rendah di negeri ini. Penajaan ini menyasarkan anak-anak daripada keluarga B40 yang tergolong dalam kategori asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

Penajaan tersebut mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2024 yang memutuskan bahawa penggunaan dana zakat daripada Kumpulan Wang Tawaqquf adalah harus untuk tujuan pendidikan seperti ini.
Majlis itu menjadi bukti bahawa MAINPP bukan sahaja menyahut seruan kerajaan untuk memperkasa digitalisasi pendidikan, malah bersedia melangkah lebih jauh dengan memperkenal teknologi baharu seperti Artificial Intelligence (kecerdasan Buatan atau AI), Internet of Things (Internet pelbagai Benda atau IoT), blockchain (blok rantai), augmented reality (realiti terumbuh atau AR), cloud computing (pengkomputeran awan), dan big data analytics (analisis data raya) dalam ekosistem pendidikan Islam.
Pada masa yang sama, program ini turut membawa semangat Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dana zakat dimanfaatkan secara bijak untuk membina masa depan anak-anak dengan nilai ihsan, hormat dan bertanggungjawab.
Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Zawawi Ahmad berkata, agihan Tablet oleh MAINPP sebanyak 8, 740 unit yang bernilai lebih 6.5 juta itu kepada 263 sekolah menengah dan sekolah kebangsaan di negeri Pulau Pinang tu menjadi langkah besar dalam proses merealisasikan proses digitalisasi pendidikan di sekolah. - KitaReporters
Tags:
#Pulau Pinang
#peranti
#sekolah
#pendidikan
#zakat
#sumbangan
#miskin
#asnaf fakir
#wang zakat
#sekolah menengah (SM)
#sekolah rendah (SR)
#pendidikan digital
#komputer tablet
#dana zakat
#Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)
#pembelajaran digital
#Dr Mohamad Abdul Hamid
#dana pendidikan
#sumbangan peranti
#Penang 2030
#cilik teknologi
#transformasi pendidikan
#fisabilillah
#Kumpulan Wang Tawaqquf