
Dalam masyarakat hari ini, terdapat ramai jiran dan penduduk setempat yang berdepan cabaran dan masalah menjaga ahli keluarga sakit dan terlantar.
Mereka juga bukan dari golongan yang mampu. Namun mereka malu untuk meminta bantuan, apatah lagi mendapatkan jururawat persendirian kerana kosnya terlalu tinggi.
Ahli keluarga terpaksa keluar bekerja untuk mencari nafkah keluarga. Dalam masa yang sama pesakit memerlukan penjagaan dan pengurusan yang baik. Jika dibiarkan, bimbang keadaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan pesakit dan penjaga.
Penulis terfikir alangkah baiknya jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan negeri dan wakil-wakil penduduk, seperti Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), mewujudkan Khidmat Sukarelawan Komuniti (KSK) untuk membantu mereka khususnya pesakit terlantar dan warga emas yang memerlukan pertolongan di kawasan setempat.
Antara bentuk bantuan yang boleh ditawarkan ialah:
✅ Membantu memandikan dan menguruskan kebersihan pesakit terlantar, gunting rambut , potong kuku
✅ Melakukan latihan fisioterapi asas dan senaman ringan untuk pesakit
✅ Membantu memindahkan pesakit ke kerusi roda atau katil
✅ Mencuci dan merawat luka-luka ringan di rumah
✅ Memberi sokongan moral dan kaunseling asas kepada penjaga
Program ini boleh berjaya jika :
✅ Sukarelawan diberi latihan asas (contoh: angkat pesakit dengan betul, cuci luka, berkomunikasi dengan baik).
✅ Ada koordinasi rapat dengan pusat kesihatan dan kerajaan tempatan, serta kementerian tertentu
✅ Ada pengiktirafan dan sokongan berterusan untuk sukarelawan agar mereka rasa dihargai.

Dalam masalah yang sama di luar negara, konsep ini sudah lama dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab komuniti untuk menjaga warga emas dan mereka yang terlantar di rumah.
Di Jepun mereka mempunyai program “Community-Based Integrated Care System” (atau Sistem Penjagaan Bersepadu Berasaskan Masyarakat/Komuniti di mana sukarelawan komuniti dan pekerja sosial dilatih untuk membantu penjagaan warga emas dan pesakit kronik di rumah. Malah, sukarelawan setempat turut bekerjasama dengan pusat jagaan harian untuk mengurangkan beban keluarga.
Sukarelawan berkenaan dilatih untuk membantu tugas harian seperti memandikan, angkat pesakit, dan teman mereka berbual. Sukarelawan juga bekerjasama rapat dengan pusat kesihatan dan pusat jagaan harian. Tujuannya untuk pastikan warga emas dan pesakit berasa disokong dan tidak kesunyian.
Di Singapura pula ada program Neighbourhood Care Groups (Kumpulan Penjagaan Kejiranan) di mana komuniti setempat dilatih dan diberi sokongan untuk bantu jiran mereka yang memerlukan. Mereka wujudkan kumpulan penjaga sukarela untuk bantu mandikan dan pastikan pesakit terlantar di rumah sentiasa bersih.
Dalam program ini ada penyelia khas untuk memantau supaya mereka ikut prosedur penjagaan asas dan keselamatan pesakit.
Sementara itu, di United Kingdom (UK) di bawah NHS (National Health Service), terdapat program “Home Help Volunteers” (Sukarelawan Bantu Rumah) dan “Community Support Workers” (Pekerja Bantu Komuniti) pada peringkat daerah.
Sukarelawan dilatih untuk membantu tugas-tugas asas penjagaan di rumah, seperti memandikan, memberi makan, dan menemani pesakit. Pengkhususan diberi untuk membantu pesakit kronik dan warga emas di rumah.
Sukarelawan melawat rumah pesakit sebanyak 2 atau 3 kali seminggu untuk membantu menukar pakaian, membersihkan luka dan teman mereka. Mereka juga diberi latihan asas pertolongan cemas dan penjagaan kebersihan diri.
Program ni banyak bantu ringankan tugas penjaga dan mengeratkan hubungan komuniti.
Di Australia, terdapat “Community Visitors Scheme” (CVS) atau Skim Pelawat Komuniti di mana sukarelawan dilatih dan diberi latihan asas penjagaan untuk melawat dan membantu pesakit terlantar dan warga emas di rumah mereka. Ia membantu mengurangkan perasaan terpinggir dan memberi sokongan kepada mereka.
Mereka wujudkan program khas ini untuk atasi kesunyian warga emas dan pesakit terlantar di komuniti. Sukarelawan ini dilatih untuk melawat, berbual dan membantu tugas ringan pesakit seperti mengurut atau menukar cadar.
Dalam skim CVS ini ada latihan asas komunikasi dan penjagaan asas supaya sukarelawan lebih yakin. Program ni juga diiktiraf kerajaan tempatan dan diberi sijil kepada sukarelawan.

Program Community-Based Integrated Care System” atau Sistem Penjagaan Bersepadu Berasaskan Masyarakat di Jepun
Semua program ini terbukti berjaya kerana wujudnya latihan asas untuk sukarelawan dan sokongan pihak berkuasa tempatan. Selain itu, mereka juga mengadakan kerjasama dengan NGO dan pusat latihan penjagaan untuk memastikan sukarelawan cukup bersedia dan berkeyakinan.
Sehubungan itu bagi pihak negeri dan komuniti, kita boleh cuba menerapkan program-program seumpama ini bagi menjadi panduan kepada membentuk Khidmat Sukarelawan Komuniti (KSK) dengan:
1. Mengadakan latihan ringkas kepada sukarelawan tempatan melibatkan jururawat bertauliah atau fasilitator fisioterapi.
2. Menyediakan peralatan asas seperti kerusi roda, tilam angin, dan kit rawatan luka untuk kegunaan program sukarela ini.
3. Membentuk jawatankuasa khas pada peringkat Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), AJK Masjid dan Surau untuk memantau dan menyelaras bantuan agar lebih sistematik dan berkesan.
4. Menyediakan saluran komunikasi (contohnya grup WhatsApp komuniti) supaya mereka yang memerlukan bantuan cepat dikenal pasti.
Usaha ini bukan sahaja akan mempererat semangat kejiranan dan saling tolong-menolong, malah mampu mengelakkan mereka yang memerlukan, rasa terpinggir dan malu meminta bantuan.

Dengan adanya sokongan daripada kerajaan negeri dan pemimpin setempat, penulis yakin kita Khidmat Sukarelawan Komuniti ini mampu mencipta komuniti penyayang dan lebih inklusif dan terangkum untuk semua, sebagaimana yang menjadi harapan sebuah negara Malaysia Madani.
Selain itu, kita dapat mengembalikan semangat kejiranan dan rasa keprihatinan terhadap jiran dan penduduk setempat yang mulai pudar kerana masyarakat sudah kurang berinteraksi dan sudah tidak ambil peduli mengenai jiran setempat.
Ramai yang menjadi antisosial kerana tuntutan kehidupan masa kini. Semoga pelbagai program komuniti setempat dapat memanusiakan kembali manusia. - KitaReporters