Insan & Komuniti 24 Mar, 2025

Lidah Pengarang| Bey soba bey! Kes pukul, tampar! Isu penjual petai! Bulan puasa! Silalah berhemah!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

TANGKAP layar video yang tular menunjukkan Mohd Noor Saad membuang petainya sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan berniaga oleh dua anggota penguatkuasa MPPD.


Beberapa kes yang berlaku sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini mengganggu minda penulis.

Ketika masyarakat masih hangat membicarakan kejadian pengerusi surau memukul seorang remaja yang didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya, tercetus pula kisah seorang warga emas menampar seorang remaja bukan Islam yang makan di khalayak ramai di sebuah pasar raya.

Dan terbaharu, tular menerusi media sosial kes seorang lelaki yang melempar petainya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) melarangnya berniaga di situ. Kejadian berlaku di Port Dickson.

Kita sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku dalam ketiga-tiga kes. Apakah kronologinya sehingga membawa kepada kejadian itu.


SEORANG remaja mengalami retak tulang hidung selepas dipukul lelaki yang merupakan pengerusi sebuah surau.


Ketika penulis menghasilkan tulisan ini, tidak pasti apakah perkembangan terkini kes pertama yang berlaku di Saujana Impian, Kajang. Lelaki terbabit direman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian itu, remaja berkenaan mengalami retak tulang hidung selepas dipukul seorang lelaki dan menurut polis, siasatan awal mendapati ia berpunca daripada perselisihan di jalan raya.

Kes ini mendapat perhatian, tular menerusi medaia sosial serta mendapat liputan meluas kerana ia membabitkan seorang pengerusi surau. Statusnya itu meletakkan dirinya sebagai pesalah pada mata orang ramai apatah lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.

Ramai yang mempertikaikan bagaimana seorang yang berstatus sedemikian boleh bertindak mencederakan seorang remaja sehingga ada yang memperlekeh individu itu.

Sekali lagi, kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian. Apa puncanya menyebabkan pengerusi surau berkenaan bertindak sedemikian rupa.

Tapi, melihat rakaman video yang tular, ia memang menghantui fikiran penulis. Walaupun cuba berhusnuzon tapi tidak dapat tidak, sedikit sebanyak penulis turut bersimpati dengan remaja itu yang kelihatan tidak melawan.


PEMUDA bukan Islam dipukul seorang warga emas kerana makan di tempat awam pada bulan Ramadan.


Dalam kes kedua yang berlaku di selatan tanah air, warga emas berkenaan, Abdul Razak Ismail sudah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan mengaku tidak bersalah serta akan dibicarakan.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 21, kerana pemuda itu makanan di khalayak ramai.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot L1 14 dan 15, Tingkat 1, sebuah pusat beli belah, di Tampoi, di Johor Bahru, kira-kira jam 6.15 petang, 16 Mac, 2025 lalu.

Terdahulu, mangsa menerusi aplikasi X mendakwa warga emas itu bertanyakan kepadanya sama ada dia seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.

“Selepas tanya kalau saya Islam atau bukan Islam dan marah kenapa makan pada masa puasa ni, walaupun saya bukan Islam dan tidak mengganggunya. Dia tampar saya beberapa kali pula,” katanya remaja berkenaan.

Apabila kes ini dibicarakan kelak kita akan tahu cerita sebenar di sebalik kejadian itu dan hakim akan memutuskan sama ada Abdul Razak bersalah atau tidak. 


ABDUL RAZAK ISMAIL


Sementara kes pakcik peniaga petai, Mohd Noor Saad, mencampakkan petai jualannya di depan dua anggota penguat kuasa MPPD turut dibicarakan 'di mahkamah awam' menerusi pelbagai pelantar media sosial.

Boleh dikatakan 'hakim-hakim' yang membicarakan kes itu menerusi media sosial sebulat suara menjatuhkan hukuman bersalah ke atas kedua-dua anggota penguat kuasa berkenaan.

Mereka menganggap tindakan dua penguatkuasa berkenaan sebagai tidak patut dan keterlaluan apatah lagi selepas mendengar keluhan pakcik itu.

"Nak cari makan di negara sendiri pun susah. Habis tak boleh berniaga nk buat apa, menyamun, jual dadah?" luah pakcik penjual petai itu.

Penulis tidak dapat menahan air mata melihat drama itu apabila membayangkan kalaulah pakcik si penjual petai itu ayah atau suadara mara penulis. Ikhlas, penulis amat bersimpati dengan beliau.

Tapi, bukan niat penulis mahu membela beliau atau menjatuhkan hukuman bersalah ke atas kedua-dua penguat kuasa itu. Namun sebagai manusia yang punya perasaan, penulis tidak dapat mengelak untuk berasa sedih dengan apa berlaku.


MOHD Noor  (dua dari kiri) dikunjungi ADUN Sri Tanjung G Rajasekaran (kiri) dan Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid.


Kes itu sudah "diselesaikan" dengan harmoni selepas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sri Tanjung, Dr Rajasekaran Gunasekaran bersama Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd Hamid serta beberapa orang pegawai MPPD bertandang ke rumah Mohd Noor pada 21 Mac, 2025 lalu.

Dalam ketiga-tiga kes ini, penulis melihat ia boleh dielakkan jika dua lelaki yang terbabit kes pukul tu dapat meningkatkan sedikit tahap kesabaran mereka dan bertindak dengan cara lebih berhemah dan berhikmah.

Tidak dinafikan, walaupun syaitan dibelenggu sepanjang bulan puasa tapi sebenarnya iman kitalah yang menentukan tindak-tanduk kita. Dalam keadaan tertentu, kita hilang kawalan kendiri sehingga melakukan tindakan di luar batasan.

Kes itu turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang berkata, adalah penting untuk umat Islam mengamalkan prinsip tabayun iaitu menyelidik sebelum bertindak dalam menjaga keharmonian masyarakat.

Menurutnya, Islam mengajar umatnya untuk bersikap sabar, berakhlak mulia dan menghormati hak setiap individu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum.


DR MOHD NAIM MOKHTAR


“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook.

Dalam kes penjual petai pula, ketika kita mahu menguatkuasakan undang-undang, tidak salah jika kita mengambil pendekatan berhemah dan menggunakan budi bicara dalam menangani isu penjual atau penjaja jalanan ini.

Kita tidak pasti apakah si penjual petai itu sudah pernah dilarang berniaga di situ sebelum ini. Jika ya, tindakan dua pegawai itu adalah betul, cuma caranya kelihatan tidak manis.

Sebaliknya, jika itu teguran yang pertama, maka mungkin ada cara lebih molek untuk diambil tindakan.



Dalam isu ini, netizen tidak boleh disalahkan seratus peratus apabila ‘menghukum’ kedua-dua anggota penguatkuasa itu kerana mereka kerap dihidangkan dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang ada ketikanya kelihatan ‘memilih bulu’ dalam melakukan penguatkuasaan.

Ya, kita tidak boleh pukul borong bahawa semua penguat kuasa begitu tapi pepatah Melayu ada menyebut ‘seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semuanya’.

Kesimpulan daripada ketiga-tiga kes itu, berhikmahlah dalam apa saja tindakan dan perbuatan kita kerana itulah diajar oleh agama kita. Apatah lagi dalam bulan Ramadan! - KitaReporters

13
15
0
12
0
You will be interested