Sebut sahaja pokok teratai, pasti ramai yang tahu terutama kaum Cina. Tumbuhan akuatik ini mempunyai kuntuman bunga yang cantik mempesona terutama apabila ia mengembang.
Tumbuhan dengan nama saintifik, Nymphaeaceae, juga dikenali sebagai lotus. Menariknya, daripada daun, akar, bunga dan biji teratai, semuanya memiliki khasiat tersendiri.
Dalam kalangan orang Melayu, mungkin ramai tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan.

Oleh kerana penulis tinggal berdekatan Tasik Chini yang terletak di daerah Pekan, Pahang, penulis sudah mengenali pokok teratai sejak kecil lagi. Ya, Tasik Chini bukan sahaja dikenali dengan kisah legenda Naga Tasik Chini, tetapi juga terkenal dengan keindahan bunga teratai.
Ketika musim teratai, Tasik Chini akan kelihatan berwarna merah jambu dek kerana bunga teratai yang kembang.
Ketika kecil, penulis sering ke Tasik Chini memetik buah teratai untuk dimakan. Rasanya seperti kacang. Manakala daunnya pula dibuat topi untuk melindungi kepala daripada terik mentari.
Tapi penulis percaya ramai yang tidak tahu terutama kaum Melayu bahawa akar teratai juga boleh dimakan.

Namun disebabkan drama bersiri berjudul Seribu Tahun, ramai mula tahu dan ingin tahu tentang keistimewaan pokok akuatik tersebut.
Drama yang diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin ini dibintangi Emma Maembong, Azhan Rani, Noorkhiriah dan Mikael Noah. Siri ini memulakan tayangan perdana di Slot DramaVaganza, Astro Ria pada 5 Mac 2025. Ia mempunyai sebanyak 24 episod.
Dalam episod 20, Puteri Imaan Suhana lakonan Emma Maembong yang sedang hamil mengidam untuk makan akar teratai.
Hal tersebut diceritakan kepada Nor lakonan Nookhiriah yang juga madunya dalam drama tersebut. Nor adalah isteri pertama kepada Shukri lakonan Azhan Rani. Dalam drama ini, Nor adalah Orang Kurang Upaya (OKU).
Sebaik sahaja mendengar keinginan madunya itu, Nor bergegas ke sebuah tasik untuk mencari akar teratai. Malangnya ketika pencarian tersebut, Nor lemas dan meninggal dunia.

Impak cerita yang meruntun perasaan ramai itu membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai akar teratai. Ramai netizen mengakui bahawa mereka baru tahu akar teratai boleh dimakan.
Seorang pengguna TikTok dan juga penonton setia drama tersebut bernama Fitrah Syah, berkongsi video dia sedang menikmati hidangan daripada akar teratai yang viral tersebut.
“Akar teratai ke ni? Apa-apapun, ini kali pertama cuba dan punca daripada cerita Seribu Tahun. Imaanlah nak sangat makan. Sampai saya pun nak makan,” tulisnya.

Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai. Rata-rata mereka juga adalah penonton setia drama ini. Malah, video yang dikongsi itu mendapat sebanyak 271.3 ribu tontonan.
Pelbagai pengalaman dikongsi oleh netizen. Ada yang pernah makan dan tahu tentang akar teratai. Ada juga yang baru kali pertama mendengar dan melihatnya. Ada juga yang kata tak sedap dan sebaliknya.

“Saya pernah
cuba dulu sebab selalu tengok rancangan memasak orang Cina. Bagi saya tak
sedap. Mungkin tak kena resipi. Rasa sedap itukan subjektif. Mungkin bagi orang
lain boleh,” tulis salah seorang netizen.
Manakala seorang lagi pengguna TikTok dan penonton setia drama Seribu Tahun berkongsi resipi berasaskan akar teratai. Dia yang menggunakan nama Watie Shah, menjelaskan tindakannya berkongsi resipi adalah gara-gara drama tersebut.
Watch on TikTok
Rata-rata
pengikutnya mengucapkan terima kasih kerana sudi berkongsi resipi. Ramai yang
ingin tahu bagaimana rasa akar teratai. Menurut Watie, akar teratai rasa
seperti sengkuang.
“Macam sengkuang. Walaupun dah masak tapi tetap rangup tahu,” jelasnya. - KitaReporters
