Insan & Komuniti 01 May, 2025

Di luar jangkaan! 10k serbu Rumah Terbuka Aidilfitri PEKAP 2025! Catat sejarah jumlah tetamu teramai!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Kehadiran tetamu yang ramai sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PEKAP 2025 di luar dugaan penganjur.


GAMAT, meriah tapi terpaksa bersesak-sesak apabila kira-kira 10,000 tetamu menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) 2025 di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur.

Ia mencatatkan sejarah baharu penganjuran rumah terbuka Aidilfitri yang pernah dianjurkan oleh PEKAP dengan kehadiran tetamu di luar jangkaan kerana pihak penganjur menjangka jumlahnya di antara 5,000 hingga 6,000 tetamu, namun meningkat dua kali ganda.


Sebahagian tetamu VIP yang hadir sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PEKAP 2025.


Walaupun gembira dengan kehadiran tetamu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail mengakui sedikit ralat kerana tidak dapat menyantuni semua anak Pahang yang bersusah payah hadir.

“Saya mendapati memang ada tidak dapat masuk, yang belum boleh masuk. Kerusi pun penuh jadi memang di luar jangkaan. 

“Jadi, saya minta maaf kerana difahamkan ada makanan yang tidak mencukupi walaupun kita dah buat tambahan. Insya-Allah pada tahun hadapan (2026) saya akan meminta penganjur mencari tempat lain lebih sesuai, yang besar sikit,” katanya. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr Fuziah Salleh; Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah; Timbalan Yang Dipertua PEKAP, Datuk Abdul Razak Idris; dan Naib Yang Dipertuanya, Herman Awang.


Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) bersama Azman Shah Abdullah (kiri), Abdul Razak Idris (dua dari kanan) dan Herman Awang bergambar kenangan bersama sebahagian tetamu.


Wan Rosdy sempat beramah mesra dengan seorang warga emas yang turut hadir di  Rumah Terbuka Aidilfitri PEKAP 2025.


PEKAP merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan khas untuk warga Pahang yang bermastautin di Kuala Lumpur. 

Pada 27 September 1966, secara rasminya pertubuhan itu didaftarkan sebagai sebuah persatuan yang prihatin terhadap kebajikan anak-anak negeri Pahang yang merantau di Ibu Kota.

Kini, penubuhan PEKAP sudah mencecah usia 59 tahun dengan lebih 4,000 ahli.


Tetamu mengambil kesempatan berswafoto bersama Wan Rosdy dan Azman Shah.


Wan Rosdy berkata, Rumah Terbuka Aidilfitri PEKAP 2025 adalah penganjuran kali kedua selepas diadakan buat pertama kali di Titiwangsa pada 2024. 

“Tahun lalu (2024) kita buat di Titiwangsa. Jadi kita menjangkakan kehadiran kali ini lebih ramai, jadi kita ubah sini. Tetapi, nampaknya jangkaan kita tidak sama yang kita sangkakan.

“Kehadirannya sungguh luar biasa. Saya ucapkan terima kasih kepada anak-anak Pahang di perantauan dan inilah semangat kita. Bila kita ada peluang untuk berjumpa, berkumpul bersama, kita ambil kesempatan berjumpa anak-anak Pahang,” katanya.


Wan Rosdy melambai-lambaikan tangan kepada tetamu yang hadir sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) 2025 di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur.

Wan Rosdy melayan sebahagian warga media dalam sidang akhbar di  Rumah Terbuka Aidilfitri PEKAP 2025.


Beliau mengucapkan syabas kepada PEKAP yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan warga Pahang di Kuala Lumpur dan berusia 59 tahun, terus aktif mengadakan majlis sambutan Aidilfitri bagi merapatkan ukhuwah antara ahli-ahlinya.

"Bagi saya, PEKAP bukan sekadar organisasi biasa tetapi satu komuniti yang kuat semangat kekeluargaan. Mereka juga prihatin menjaga kebajikan anak-anak Pahang yang merantau di ibu kota. Semua digerakkan dengan semangat anak Pahang bantu anak Pahang.

"Syabas PEKAP! Semoga terus kukuh sebagai penyambung ukhuwah dan pemangkin kebajikan buat anak-anak Pahang di ibu kota. Terima kasih semua tetamu yang hadir," katanya lagi. - KitaReporters


Barisan AJK PEKAP bergambar kenangan bersama Wan Rosdy.

8
13
0
14
0
You will be interested