Insan & Komuniti 12 Sep, 2024

Sembang-Sembang| Jangan pandang rendah diri kita! Kena percaya dan rasa bangga dengan diri sendiri!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Tidak semua perkara yang kita rancang akan menjadi. Ada masanya kita akan rasa kecewa dan hilang semangat. Pada masa itu, kita akan mencari pelbagai cara  untuk memulihkan semangat yang susah hilang. 
Salah satunya ialah sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan oleh kawan atau saudara mara. Kata-kata mereka ini sangat mujarab apabila digunakan dengan betul untuk mengumpul semula kekuatan diri bagi meneruskan kehidupan. 
Semua orang pernah gagal, pernah kecewa dan pernah kehilangan orang tersayang. 
Ingat.. Semuanya bermula dari diri kita sendiri. Pun begitu, hanya  fikiran dan mindset kita boleh membantu membina semula keyakinan diri, sekali gus melawan semangat yang sudah hilang supaya tidak terus berputus asa. 


Lebih baik kita berhenti bercakap dan memulakan sesuatu yang berfaedah untuk hidup kita. Jangan mengeluh. Jangan putus asa dan jangan salahkan keadaan.
Menjadi lumrah, orang yang gagal akan nampak kesusahan pada setiap peluang, manakala orang yang yakin akan nampak peluang dalam setiap kesusahan. 
Jangan biarkan apa yang berlaku semalam menghantui hidup kita hari ini. Kerana sudah tertulis yang perjalanan hidup ini sangat mencabar. 
Kehidupan bukanlah berkisar tentang kekalahan atau kegagalan semata-mata  tetapi tentang apa usaha untuk bangkit semula. 
Manusia tidak dicipta oleh keadaan. Sebaliknya manusia yang mencipta keadaan dengan perjalanan hidup mereka sendiri dengan izin dan aturan daripada Allah. 
Begitu juga dengan masa  yang tidak menunggu kita dan akan terus berlalu, yang penting  apa yang kita lakukan dengan masa yang ada. Cuba fikir. Masa tidak menunggu kita lagi. Kita yang perlu mengejar masa. 


Realitinya. Hidup kita hak kita. Orang tak boleh campur. Ia merupakan perkara yang kita sendiri pilih untuk diri kita. 

Memandang rendah terhadap diri sendiri tidak membawa anda ke mana-mana sebaliknya. Berbanggalah dengan apa yang kita miliki. Syukur dengan nikmat Allah. Gunakan anugerah Allah ke jalan yang dia redai. 

Bangkitlah.. lalui hari-hari hari mendatang dengan positif kerana kejayaan kita bergantung kepada usaha kita. Rehat bila penat, bukan rehat bila berasa selesa.  
Dalam apa juga keadaan, pastikan kita mesti selalu nampak hebat. Bukan menunjuk-nunjuk tapi untuk meyakinkan yang kita juga boleh jadi hebat seperti orang lain. 
John Lennon berkata, ketika kamu melakukan sesuatu yang indah dan tidak ada yang memerhati, jangan sedih kerana setiap pagi matahari adalah sangat indah untuk dilihat ketika sebilangan besar penonton (manusia) masih lagi tidur. 
Begitu juga dengan kehidupan kita. Sesetengah orang sekadar bermimpi tetapi tidak ramai yang bangun pagi untuk menjadikan mimpi itu satu realiti. 
Tuhan tidak berjanji siapa berusaha akan hidup mewah. Tetapi siapa yang bertawakal kepada-Nya pasti dicukupkan keperluannya. Insya-Allah. - KitaReporters

14
10
0
13
0
You will be interested