Jauh perjalanan, luas pandangan. Pelbagai perkara baharu dapat dipelajari sekiranya anda seorang pengembara. Yelah, lain padang lain belalang, lain orang lain perangainya.
Pelbagai budaya masyarakat setempat dapat dipelajari. Tak perlu mengembara jauh-jauh, negara tetangga pun sudah memadai.
Dapat dilihat selepas berakhirnya zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat serangan COVID-19 pada tahun 2020 hingga 2021, rakyat Malaysia dilihat semakin rancak bercuti ke luar negara terutamanya ke Thailand.
Walaupun keadaan ekonomi yang semakin getir, ia tidak menghalang mereka untuk bercuti. Thailand bukan sahaja menjadi pilihan masyarakat seluruh dunia tetapi juga orang Malaysia.
Orang Malaysia suka bercuti ke Thailand kerana mendakwa kos bercuti ke sana lebih murah berbanding bercuti di negara sendiri seperti Pulau Langkawi.
Pelbagai pilihan makanan yang lazat dan murah menyebabkan ramai rakyat Malaysia lebih memilih untuk bercuti ke Thailand. Masing-masing seronok berkongsi pengalaman bercuti di sana.
Namun, perkongsian seorang pengguna TikTok sangat menarik perhatian.
Dia yang
merupakan ejen pelancongan persendirian berkongsi satu pengalaman menarik dan
lucu. Tidak pasti ketika itu dia sendiri atau sedang membawa rombongan pergi
makan ke sebuah restoran di Sungai Kolok, Thailand.
Ceritanya, ketika mahu memilih makanan, tiba-tiba dia terkejut saat melihat nama menu yang terpampang di dinding restoran tersebut. Menu tersebut ditulis dalam bahasa Thailand dan juga bahasa Melayu.
Sudah pastinya nama menu yang menggunakan nama bekas menteri Malaysia itu mengejutkan pelancong dari Malaysia. Pasti ramai mengenali insan yang banyak berjasa kepada negara itu.
“Tak kisahlah
nama siapa pun asalkan bukan lelaki,” tulisnya ringkas.
Menu yang menggunakan nama bekas menteri Malaysia ini sebenarnya ada nama khasnya.
Makanan ini berasal dari China ketika Dinasti Ming. Ia diperbuat dari telur itik atau ayam dan dipanggil century egg atau telur abad. Di Malaysia, makanan ini popular dalam kalangan kaum Cina.
Tidak diketahui
kenapa pemilik restoran menamakan menu tersebut dengan nama bekas menteri
Malaysia. Adakah ia sebagai gimik atau nama tersebut secara kebetulan sama
dengan nama bekas menteri kita.
Perkongsian ini mengundang pelbagai reaksi netizen. Ada antara netizen yang menyarankan agar restoran tersebut menggunakan nama betul untuk menu tersebut.
“Patut die letak jer century egg masak kerabu,” cadangnya. Manakala ramai juga tertanya-tanya kenapa ia dinamakan sedemikian.
Semoga kejadian ini tidak terjadi di negara kita. Sama-samalah kita menjaga sensitiviti setiap kaum yang ada.
Ada banyak lagi cara lain yang lebih sopan dan beradab untuk menarik perhatian pelanggan. - KitaReporters