Hidup jarang berjalan lurus seperti yang diangankan. Ada masanya manusia dipaksa menghadapi liku kehidupan yang tidak terjangka, menempuh kekurangan dan memikul beban yang diam-diam memamah semangat.
Kerja-kerja menganti atap rumah salah seorang anggota Rela di Felda Ayer Hitam, Johor dijalankan secara gotong royong dalam kalangan anggota Rela.
Dalam celah realiti itu, muncul usaha kecil tetapi bermakna yang mengembalikan rasa teduh kepada mereka yang memerlukan.
Program Teduh Kasih Rela Madani, inisiatif terbaharu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), lahir daripada kesedaran bahawa ada dalam kalangan anggotanya sendiri yang tinggal di rumah uzur dan tidak mampu membiayai kerja pembaikan asas.
Konsep yang dibawa, “Tangan Dihulur Budi Disambut,” bukan sekadar slogan tetapi cerminan semangat gotong royong yang ingin dihidupkan kembali.
Program itu mula digerakkan pada awal November 2025 dan dijadualkan berlangsung selama dua bulan dengan sasaran 50 rumah anggota Rela di seluruh Johor yang dikenal pasti benar-benar memerlukan pembaikan segera.
Selain menjalankan kerja baik pulih rumah yangg uzur, Program Teduh kasih Rela Madani turut membersihkan kawasan sekitar rumah anggota Rela yang terpilih menyertai program tersebut.
Menurut Pengarah Rela Negeri Johor, Khairol Faizal Rosli, pelaksanaan ini diperkukuh dengan peruntukan RM250,000 daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia, dengan setiap rumah menerima bantuan bernilai RM5,000 bagi kerja baik pulih asas.
"Kerja yang dilakukan tidak seragam dan mengikut keperluan mendesak rumah terlibat. Apa pun kerosakannya kami sedaya upaya dengan peruntukan dana dan tenaga kerja yang ada untuk membaikinya sebaik mungkin.
"Banyak rumah kayu milik anggota sudah berdepan masalah struktur seperti atap bocor, siling rapuh, pintu rosak, dan dinding yang sudah lama dimamah usia. Ada juga rumah yang memerlukan cat baharu bagi menggantikan lapisan lama yang merekah," katanya ketika ditemui semasa Program Teduh Kasih Rela Madani di Felda Ayer Hitam, Kluang, pada 29 November 2025 lalu.
Syamsul Badrin Mohsin (berkaca mata) mendengar penjelasan mengenai Program Teduh Kasih Rela Madani yang dijalankan di daerah Kluang ketika hadir menyertai program tersebut di Felda AAyer Hitam, Kluang, Johor.
Program tersebut menjadi cerminan sebenar visi usaha tersebut. Anggota dan pegawai Rela turun padang bergotong royong dengan peralatan masing-masing, ada yang memanjat atap, ada yang mengangkat papan, dan selebihnya membersihkan halaman yang ditinggalkan lama tanpa perhatian.
Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi Rela Malaysia menjadikan program itu lebih bermakna. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Syamsul Badrin Mohsin; Pengarah Bahagian Pembangunan Pasukan, Md. Shah Rizal Zainal; serta Timbalan Pengarah Rela Negeri Johor, Ganesan a/l Selvam turut menyinsing lengan bersama lebih 60 anggota Kluang serta pegawai Rela dari semua daerah di Johor.
Menurut Khairol Faizal, pemilihan rumah tidak dibuat mengikut kuota daerah. Walaupun program melibatkan 10 daerah, ia tidak menetapkan lima rumah setiap daerah secara tetap.
Sebaliknya, keutamaan diberikan kepada kes yang benar-benar mendesak dan memerlukan tindakan cepat.
Pendekatan ini membolehkan bantuan disalurkan lebih tepat sasaran tanpa terikat dengan angka semata-mata. Ia juga membuka ruang untuk Rela memberi tumpuan kepada anggota yang menghadapi cabaran paling mendesak dalam kehidupan seharian.
Syamsul Badrin (kanan sekali) memasang skrew engsel pintu rumah Mohd. Yazid sambil diperhatikan oleh Md. Shah Rizal Zainal (kiri sekali) .
Di tengah kesibukan itu, seorang lelaki bernama Mohd. Yazid Saadon, 51, memerhati dengan mata yang sukar menyembunyikan rasa syukur.
Rumah pusaka peninggalan ibu bapanya yang menjadi tempat berteduh keluarganya selama ini sudah terlalu uzur untuk dibaiki dengan kudrat sendiri.
Bapa kepada tiga anak berusia 19 hingga 23 tahun itu mengakui beliau bergelut dengan kekangan ekonomi untuk menyediakan kos mengganti atap yang bocor serta membaiki pintu dan syiling yang mereput.
Katanya, setiap kali hujan, keluarganya terpaksa menadah baldi dan besen di beberapa sudut rumah. Bunyi titisan air yang berterusan menjadi latar yang memaksa mereka berjaga malam, bimbang air bertakung merosakkan lebih banyak bahagian rumah.
Apabila dimaklumkan bahawa rumahnya terpilih untuk menerima bantuan, Yazid mengambil keputusan mengosongkan kediaman sementara dan menumpang di rumah kakaknya bagi memudahkan kerja baik pulih dilakukan tanpa gangguan.
Kerja-kerja membuka atap zink yang sudah reput untuk diganti dengan zink yang baharu .
Di halaman rumahnya, anggota Rela bergilir memaku papan, mengecat dinding, menyusun atap dan membersihkan bahagian yang sudah lama dibiarkan. Setiap gerakan mereka seperti menyulam semula harapan yang retak pada rumah usang itu.
Kerja pembaikan dijangka mengambil masa dua hari, namun bagi Yazid dan keluarganya, tempoh itu cukup untuk membayangkan kehidupan baharu yang lebih selesa dan bebas daripada kerisauan setiap kali awan mendung muncul.
“Melihat mereka bekerja tanpa mengira penat, saya rasa sebak dan bangga,” katanya yang tidak menyangka barisan kepimpinan Rela sendiri sudi turun padang bersama anggota.
Tanpa mengira usia, anggota Rela siap sedia menghulurkan bantuan secara sukarela dalam apa juga situasi.
Baginya, bantuan itu bukan sekadar pembaikan rumah tetapi simbol perhatian dan sokongan terhadap anggota yang selama ini berkhidmat dalam serba keterbatasan.
Apabila rumah itu siap kelak, Yazid berharap hanya satu perkara, dapat kembali duduk di ruang tamu tanpa bimbang titisan dari atap, dan menikmati kembali kehangatan rumah yang pernah menjadi nadi keluarga kecilnya.
Program Teduh Kasih Rela Madani mungkin tidak mengangkat bangunan besar atau merasmikan projek megah.
Namun pada skala yang kecil dan senyap ini, ia membina sesuatu yang tidak mampu dibeli dengan peruntukan semata-mata, iaitu nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan. - KitaReporters
Sebahagiam warga Rela yang menjayakan Program Teduh Kasih Rela Madani di Felda Ayer Hitam, Johor bergambar bergambar kenangan.