Insan & Komuniti 02 Feb, 2026

Terima kasih! RM2j untuk pembangunan, pemerkasaan silat! Sokongan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pertubuhan Lima Generasi Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM2 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai sokongan strategik kepada pembangunan dan pemerkasaan seni mempertahankan diri negara. 



Peruntukan ini mencerminkan kepercayaan dan komitmen berterusan kerajaan dalam mengangkat seni mempertahan diri sebagai warisan bangsa yang bernilai tinggi, bukan sahaja dari sudut kebudayaan dan sukan, malah sebagai elemen pembinaan jati diri serta benteng pertahanan ketiga negara. 

Sebagai penerima amanah, Pertubuhan Lima Generasi Malaysia akan memastikan peruntukan ini dimanfaatkan secara berfokus dan berimpak tinggi merangkumi pembangunan atlet dan jurulatih, penambahbaikan kemudahan latihan, penganjuran kejohanan, serta usaha memperluas promosi seni mempertahan diri tempatan ke peringkat nasional dan antarabangsa. 


Abdullah Ghani Kassim


Pengasas dan Presiden Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, Datuk Abdullah Ghani Kassim, menyatakan bahawa peruntukan ini menjadi pemangkin penting bagi membolehkan pelaksanaan program pembangunan dilakukan secara lebih tersusun dan profesional. 

Menurut beliau, dana tersebut akan digunakan untuk menaik taraf prasarana latihan, menyediakan peralatan asas, memperluas kapasiti gelanggang serta memperkukuh laluan pembangunan atlet agar sasaran melahirkan pesilat dan atlet tempur bertaraf dunia dapat direalisasikan secara berperingkat.



Majlis Apresiasi Pendekar Negara yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan pada 31 Januari 2026 malam merupakan manifestasi awal kepada pelaksanaan inisiatif ini. 

Majlis berkenaan adalah penganjuran sulung Pertubuhan Lima Generasi Malaysia, tercetus daripada Himpunan Pendekar sempena sambutan Hari Malaysia tahun lalu (2025) dan direalisasikan melalui sokongan dana khas Perdana Menteri. 

Pertubuhan ini turut menyambut baik penegasan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, berhubung usaha kerajaan untuk memperluas pengenalan seni persilatan dalam sistem pendidikan negara, termasuk menjadikan silat sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. 

Langkah ini dilihat selari dengan matlamat jangka panjang untuk membina generasi muda yang berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan bangsa. 



Sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan besar penggiat seni mempertahan diri negara, Majlis Apresiasi Pendekar Negara menyaksikan penyampaian enam kategori anugerah utama. 

Bagi Anugerah Pertubuhan Silat Terpilih, enam pertubuhan menerima insentif RM70,000 setiap satu bagi tujuan pembangunan silat, iaitu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong, Pertubuhan Silat Pusaka Hanafi, Sendo Martial Art (Gayong Cikgu Sazali), Awang Daud Martial Art, Gayong Makrifat (Panglima Aduka) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fattani Antarabangsa (Dr Aziwahija Yeop). 

Anugerah Jasa Silat dianugerahkan kepada lima tokoh yang telah mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa serta melahirkan juara silat bertaraf dunia, iaitu Profesor Dr (Hc) Abd Ghapar @ Jebat Datuk Dr Raja Abd Majid, Tuan Guru Muhammad Wahab, Tuan Guru Ruzaidi (Wak Didi), Tuan Guru Shamsunputra Datuk Dr Raja Abd Majid dan Cikgu Al Jufferi Jamari. 

Setiap penerima menerima insentif RM10,000.



Bagi kategori Anugerah Ikon Tempur Anak Muda, tiga atlet Muay Thai negara -- Johan Ghazali (Jojo Ghazali), Aliff Rakib dan Rifdean Masdoor -- menerima insentif RM10,000 setiap seorang atas kejayaan mereka pada peringkat antarabangsa. 

Anugerah Emas Sukan SEA pula diberikan kepada enam atlet negara yang menyumbang pingat emas kepada Malaysia, melibatkan atlet silat iaitu Ummi Mashitah Hassan, Muhammad Izzul Irfan Marzuki dan Nursyafiqah Hamzah, serta atlet Muay Thai Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, Wassof Rumijam dan Angie Yan Jia Chi. 

Setiap atlet menerima insentif RM5,000. 

Pengiktirafan kepada barisan jurulatih disampaikan menerusi Penghargaan Jurulatih Silat Negara kepada Mohd Fauzi Khalid, Siti Rahmah Nasir dan Nor Hamizah Abu Bakar, masing-masing menerima insentif RM5,000 atas komitmen dan pengorbanan mereka membangunkan atlet negara. 



Bagi memperluas jangkauan seni persilatan dalam kalangan generasi muda, Anugerah Duta Silat turut dianugerahkan kepada Eman Manan, Ebby Yus dan Beto Kusyairi yang berperanan besar mempopularkan silat melalui medium seni dan budaya. Setiap penerima menerima insentif RM10,000. 

Majlis Apresiasi Pendekar Negara ini menandakan fasa pertama pelaksanaan inisiatif penghargaan dan pembangunan seni mempertahan diri negara, dengan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia komited untuk terus bekerjasama rapat bersama kerajaan serta semua pemegang taruh demi memastikan kesinambungan warisan dan kecemerlangan seni tempur tanah air. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
10
0
12
0
You will be interested