Insan & Komuniti 27 Jul, 2025

Kami peduli! Ambil keberkatan bulan Muharam! Persatuan Bekas Kakitangan KTM bantu ahli dan asnaf!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Mengambil keberkatan bulan Muharam, Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) mengambil peluang untuk melakukan amalan kebaikan dengan meningkatkan aktiviti bersedekah bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan.

Bagi menyempurnakan hasrat itu, Team Tenaga Penggerak persatuan itu menganjurkan program Ahli PBKKTM dan Khidmat Masyarakat dengan mengadakan majlis mengacau bubur asyura untuk diagihkan kepada keluarga dalam kalangan bekas kakitangan KTM, asnaf dan miskin di tiga tempat iaitu Kampung Ana, Padang Mandul dan Tok Oh di Tumpat, Kelantan.

Sebagai tanda keprihatinan serta sokongan tidak berbelah bagi di samping kesanggupan untuk turun padang menjayakan program itu ia mendapat suntikan semangat yang diketuai Yang Dipertua (YDP) PBKKTM, Dato’ Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek; Naib YDP, Abdul Razak Mohd Yusof dan Penasihat PBKKTM, Dato’ Dr Sukarno Wagiman yang hadir bersama isteri masing-masing.

Majlis yang dirasmikan Dr Abdul Radzak itu berlangsung di madrasah angkat persatuan itu, iaitu Madrasah Haji Abdul Karim di Kampung Ana dengan disertai ramai penduduk kampung serta ahli untuk bergotong-royong memasak empat kawah bubur asyura pada 22 Julai 2025.


Dr Abdul Radzak bertanya khabar seorang penerima food bank selepas menyerahkan sumbangan hasil derma dan infak pelbagai pihak.


Berucap pada majlis itu, Dr Abdul Radzak, berkata program berkenaan yang dirancangkan beberapa minggu khusus untuk menyantuni ahli persatuan dalam kalangan asnaf serta penduduk kampung kategori miskin tegar di jajahan Tumpat sebagai kerja amal kebajikan berterusan persatuan. 

Menurutnya, kejayaan majlis mengacau bubur asyura itu kemungkinan akan dijadikan aktiviti tradisi tahunan persatuan terutama selepas kejayaan melaksanakan program menyantuni mangsa bencana alam khususnya banjir beberapa tahun lalu yang memberi banyak manfaat kepada mangsa termasuk dalam kalangan ahli.

“Bagi program ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakannya terutama penderma, penginfak dan mereka yang mengeluarkan zakat untuk diagihkan kepada keluarga asnaf dan miskin,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah; Timbalan Yang Dipertua Persatuan Orang Kota Bharu, Dato' Dr Profesor Abd Aziz; serta wakil PBKKTM Pasir Mas, Mej (B) Kamaruzaman Loman bersama isterinya Fauziah dan Thalmiah yang diiringi suaminya.


Seorang wakil keluarga asnaf menerima sumbangan wang disampaikan Dr Abdul Radzak.


Sementara itu, Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman, berkata di samping agihan bubur asyura, turut diadakan penyerahan pakaian terpakai seperti baju lelaki, wanita, tudung, pampers pakai buang dewasa dan kanak-kanak kepada keluarga asnaf serta miskin di tiga kampung berkenaan.

Tambahnya, di samping itu turut dihulurkan bantuan food bank dan wang tunai kepada 30 ahli persatuan termasuk dalam kalangan ibu tunggal, pesara KTMB, asnaf, orang kurang upaya, uzur dan asnaf tegar manakala sempena majlis berkenaan madrasah angkat terbabit dihadiahkan tulisan khat serta gelas di samping cawan.

“Kejayaan program ini juga secara tidak langsung menunjukkan PBKKTM sentiasa memberi perhatian dan peka terhadap masalah ahli termasuk dalam kalangan pesara kerana mereka akan sentiasa diambil peduli apabila permasalahan dihadapi sampai ke pengetahuan persatuan,” katanya. - KitaReporters


PBKKTM turut menyampaikan cenderamata berupa tulisan khat kepada madrasah angkat.


Dr Abdul Radzak (duduk di tengah) merakam kenangan bersama ahli PBKKTM selepas program majlis mengacau bubur asyura di Madrasah Haji Abdul Karim, Kampung Ana, Tumpat, Kelantan. 

11
17
0
15
0
You will be interested