Di celah rimba tropika Johor, ada sebatang jalan raya yang kelihatan biasa pada pandangan mata manusia. Tetapi bagi penghuni hutan – gajah, tapir, harimau bintang malah harimau Malaya – jalan itu adalah garisan berbahaya yang perlu diseberangi dengan penuh cermat.

Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tang Soon (kanan) ketika melakukan lawatan ke tapak lintasan di Jalan Kahang Mersing. - Kredit foto: Facebook Ah Soon.

Gambar rajah lintasan hidupan liar yang akan dibina di Jalan Kahang - Mersing di Johor bagi memastikan kemalangan melibatkan haiwan-haiwan liar di kawasan tersebut dapat dielakkan. - Kredit foto : Facebook Ah Soon.
Setiap kali kenderaan meluncur laju di jalan yang menghubungkan Kluang- Kahang–Mersing, ancaman kepada nyawa haiwan liar ini menjadi nyata.
Beberapa rakaman video yang pernah tular sudah menceritakan segalanya. Gajah beriringan di tengah-tengah jalan, tapir berlari tergesa-gesa melintasi jalan, malah harimau dirakam melintas sendirian dalam keheningan malam.
Ia bukan sekadar pemandangan eksotik, tetapi amaran bahawa pertembungan antara manusia dan alam semakin meruncing.
Menyedari hakikat itu, kerajaan Johor mengambil langkah berani.
Sebuah projek lintasan hidupan liar bakal dibina di jalan tersebut, sekali gus menjadi yang pertama di Malaysia dan dijangka siap pada Februari 2028.

Salah seekor harimau belang yang mati dilanggar kenderaan ketika melintas jalan.- Kredit foto: TVSProjek bernilai RM66 juta itu bukan sekadar struktur konkrit. Ia akan berbentuk jejambat setinggi lapan meter sepanjang 200 meter, merentangi jalan raya yang sebelum ini sering menjadi “garisan maut” buat haiwan liar.
Jalan sepanjang 1.2 kilometer di kawasan itu juga akan dinaik taraf untuk keselamatan pengguna.
Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tang Soon menjelaskan, projek ini dilaksanakan di kawasan sempadan Hutan Simpan Labis ke Mersing dan Hutan Simpan Panti di Kota Tinggi.
Kawasan itu menjadi sebahagian daripada Central Forest Spine (CFS), rangkaian hutan penting yang menjadi laluan semula jadi hidupan liar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.
“Habitat ini meliputi kira-kira 31,000 hektar. Ia rumah kepada spesies utama seperti harimau Malaya, harimau bintang, tapir dan gajah.
"Beberapa rakaman jelas menunjukkan haiwan-haiwan ini melintas jalan tersebut, dan risiko pertembungan sangat tinggi,” katanya dalam satu hantaran dalam Facebook pada 5 September 2025 lalu.
Seekor anak gajah mati dilanggar lori dalam satu kejadian disebabkan tiada kawasan sesuai untuk hidupan liar bergerak dihabitat mereka yang dipisahkan jalanraya. - Kredit foto: Malaysia Gazette. Uniknya, pihak berkuasa bukan hanya membina jejambat, tetapi juga merancang menanam tumbuhan khas di bawah struktur itu. Tumbuhan ini akan bertindak sebagai penanda, ‘memandu’ haiwan liar menggunakan lintasan yang selamat untuk menyeberang. Kaedah seumpama ini sudah lama dipraktikkan di beberapa negara maju, terbukti mengurangkan kadar kemalangan melibatkan haiwan liar.
Ling menegaskan, projek ini bertujuan dua matlamat – menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan pada masa sama, melindungi populasi haiwan liar daripada terus terancam.
“Hidupan liar adalah komponen penting dalam ekosistem. Kerajaan negeri komited untuk melindungi mereka demi kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang,” tegasnya.

Tapir antara hidupan liar yang sering menjadi mangsa kemalangan selain Harimau dan anak gajah. - Kredit foto: News Service Station
Lintasan ini bakal menjadi penanda aras baharu dalam usaha konservasi di Malaysia. Ia juga simbol kesungguhan Johor mencari titik tengah antara pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar.
Lebih penting, projek ini membuka jalan kepada lebih banyak inisiatif pemuliharaan ekologi di negeri itu. Kerajaan Johor melalui kerjasama agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan terus melaksanakan projek-projek yang memastikan keseimbangan antara manusia dan alam tidak lagi hanya tinggal di atas kertas.
Di balik cerita konkrit, besi dan jutaan ringgit ini, tersimpan harapan yang lebih besar: bahawa suatu hari nanti, anak cucu kita masih berpeluang melihat harimau Malaya berlari bebas di hutan, bukannya hanya pada lambang jersi atau papan iklan. -Kitareporters

Selain mengancam hidupan liar seperti Harimau Belang, kejadian kemalangan melibatkan haiwan liar turut meragut nyawa pengguna jalanraya. - Kredit foto: Siakap Keli.