Insan & Komuniti 08 Jan, 2026

Petani tertindas? Terbeban dengan kadar pemotongan mutu padi yang tinggi! Rayu simpati dan bantuan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Kadar pemotongan mutu padi yang tinggi menjadi kerisauan dalam kalangan petani di kawasan Parit Buntar, Perak ketika musim menuai sekarang boleh menjejaskan pendapatan pesawah.

Keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka mengalami kerugian dan sekadar balik modal disebabkan pemotongan mutu padi yang ditetapkan di antara 24 hingga 30 peratus membebankan mereka.


Beberapa petani yang ditemui mahukan kadar pemotongan dikaji semula bagi mengelak ia membebankan petani,

Timbalan Ketua Unit Pesawah Kampung Sungai Kota, Mazlan Harun ketika ditemui berkata kadar pemotongan di antara 24 hingga 30 peratus yang dikenakan oleh pengilang termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memberi impak besar kepada pesawah walaupun padi yang dituai bersih dan bernas.

Beliau berkata, dahulu kerajaan menetapkan kadar pemotongan di antara 19 hingga 23 peratus sahaja.

“Sekarang ini, padi yang bersih dan cantik pun dipotong sehingga 24 peratus.

“Kalau padi yang cantik dipotong tinggi, bagaimana pula dengan padi biasa? Malah ada pesawah yang dipotong lebih 30 peratus,” katanya kepada media selepas perhimpunan aman pesawah di Padang Petanque Kampung Sungai Kota, pada 7 Januari 2025.

Mazlan berkata, berbanding pada tahun lalu (2025), kadar pemotongan minimum 19 peratus membolehkan pesawah memperoleh sedikit keuntungan.

Katanya, pada musim ini (2026), pesawah terkesan kerana hampir semua pesawah boleh dikatakan rugi akibat pemotongan mutu padi yang tinggi itu.

“Harga padi semasa ini RM1,500 bagi satu metrik tan dan jika pemotongan 24 peratus, bermakna 2.4 metrik tan sudah hilang yang akan mengakibatkan kerugian yang besar,” katanya.

Beliau berkata, lebih memburukkan lagi kerana peningkatan kos pengeluaran seperti baja, racun dan upah jentera.

Sehubungan Mazlan berkata, jika kerajaan dan pihak kawal selia padi tidak menurunkan kadar pemotongan tersebut, harga lantai padi atau kadar subsidi perlu dinaikkan dengan keadaan semasa.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd Fazlee Aziz, 34, berkata, jika kerajaan gagal mengawal keadaan ini, pesawah mungkin tidak lagi berminat untuk menanam padi.

“Lebih baik tanam kelapa sawit kerana kos lebih rendah, mudah dijaga, penyakit kurang dan setiap bulan ada hasil,” katanya.

Beliau berharap kerajaan menetapkan kadar pemotongan minimum di antara 19 hingga 23 peratus seperti sebelum ini.

“Pesawah menanggung beban berhutang dengan pembeli padi atau broker bagi menampung kos mengusahakan sawah sejak peringkat menggembur tanah, membeli benih dan sehingga menuai," jelasnya.


Sebahagian petani di Sungai Kota dekat Parit Buntar mengadakan piket secara aman bagi membantah pemotongan mutu padi yang tinggi.


Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki menegaskan beliau akan membawa isu berkenaan ke Parlimen untuk dibahas dan dibincangkan.

Katanya, kerajaan juga digesa mengembalikan bantuan sementara menunggu padi masak bernilai RM600 seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini bagi membantu pesawah. - KitaReporters

16
11
0
11
0
You will be interested