UNDANGAN dari Istana Iskandariah menjadi momen paling manis bagi pengamal media tempatan dan antarabangsa untuk berkenalan dan beramah mesra dengan baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda yang berkenaan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pengamal media sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 27 Mei 2023.
Menaiki dua bas dan lebih enam biji kenderaan mewah dengan diiringi kereta peronda dan polis trafik, peserta dibawa berarak dari Hotel Casuarina di Meru sehingga ke Bandar Diraja Kuala Kangsar. Paling indah bila makanan yang popular di Perak disuakan kepada orang media itu.
Ahli-ahli Jawatankuasa PERTAMA bergambar bersama Sultan Nazrin
Jurufoto turut mahu bergambar dengan baginda Sultan.
Barisan stall yang menyediakan sajian Nasi Kandar Vangge, ayam Vangge, kambing Vangge, kari bendi, kuetiu goreng Ipoh, Taufu fah yang berpisa gula daun pandan selembut baldu, nasi minyak, nasi putih, rendang tok, dalca ayam dan acar rampai.
Ada juga gerai makanan ringan lain seperti papadom yang diubah macam roti canai bergulung dimakan bersama cicahan chutney hijau. Nasi beriani, tempe cili kering, tauhu goreng sos Thai, sayur campur, dalca sayur dan acar buah yang sangat enak dimakan begitu saja.
Paling istimewa bila ada kopi Starbuck turut menyediakan kopi dengan perasa Coffee Frappucinno with whipped cream & Coffee Frappucinno with Strawberry Cookies Crumble, sirap bandung, teh lemon, teh tarik dan kopi. Kuih-muih tempatan (pulut hitam dengan kelapa sangat lazat) dan buah-buahan.
Papadom yang bergulung dimakan dengan cicahan chetney dan acar buah.
Puri dengan kuah kari
Tauhu fah yang terkenal di Ipoh.
Nasi beriani, papadom dan kuah cicahan.
Tengah hari pada 27 Mei 2023, pengamal media itu mengambil bahagian dalam acara bowling. Riuh rendah mereka membaling bola itu sehingga ada yang lebam di jari. Hadiahnya juga menarik iaitu gula dan beras. Ada cabutan bertuah mengiringi hadiah termasuk baucar beli-belah.
Selain itu, ada juga peserta yang mengambil bahagian dalam acara mengejar harta karun. Ini adalah sebahagian aktiviti selingan dengan seminar yang 'berat' yang memberi fokus kepada faktor - Masa depan media tradisional (akhbar) dan Journalism In The Digital Age dan penubuhan Majlis Media Malaysia.
Pada Jumaat 26 Mei 2023 lalu, tiga pengamal media dari latar kewartawanan diperkenan oleh Sultan Nazrin untuk diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid bertajuk 'Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam'.
Peserta acara bowling.
HAWANA 2023 yang mengangkat tema 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi' dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan pelaksanaannya dikendalikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) disertai lebih 1,000 pengamal media seluruh negara, Indonesia dan beberapa lagi negara Asia.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sejak 2018 sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Pengamal media Indonesia yang tertarik dengan team PERTAMA bergambar, terus mereka mempelawa kami bergabung bergambar depan Istana Iskandariah Kuala Kangsar.
Majlis santapan diraja itu turut disertai Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd Kamaruddin Mape.
Turut hadir, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim serta Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan. - KitaReporters
Sambutan HAWANA 2023 dimulakan dengan pertandingan mencari harta karun “Media Hunt HAWANA 2023” dari Kuala Lumpur ke Ipoh. - Foto Bernama