Mohiadin Bahado di depan pintu utama PJNH yang memberi peluang kepadanya meneruskan kerja kebajikan dan amal jariah.
DILAHIRKAN dalam keluarga yang susah serta miskin, sanggup berkorban pula usia dan waktu untuk membela mereka yang ditimpa nasib malang, tidak pernah menjadi bebanan atau rungutan kepada penerima Anugerah Ikon Pesara, Jabatan Perkhidmatan Awam (Kategori Sosial dan Pembangunan Komuniti) pada 2019.
Mungkin itulah yag ditakdirkan dalam kitaran hidup Mohiadin Bahado, yang berkhidmat dengan jabatan kerajaan dari jawatan paling bawah sebelum berganjak ke tahap yang lebih baik seterusnya bersara pilihan daripada jawatan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Hospital Ampang, Selangor pada 2017.
Mohiadin di pangkuan ibunya ketika menetap di Beranang, Selangor.
Disebabkan
kemiskinan keluarga menuntut beliau menapak dalam alam pekerjaan bermula pada
1975 sebagai buruh di ladang kelapa sawit, dua tahun selepas itu menjadi
penebar roti canai di kampung kelahirannya Beranang, Selangor.
Setahun
berikutnya berjaya diterima sebagai pelayan pejabat seterusnya memegang jawatan
pembantu penerangan bermula 1986, manakala berpindah ke jawatan PKSP pada 1995
sebelum bersara enam tahun lalu sebagai Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan
Hospital Ampang.
Mohiadin yang kini berusia 64, berkata ranjau perjalanan hidupnya amat perit kerana ibu dan bapa beliau dalam kalangan asnaf miskin menyebabkan dia gigih berusaha untuk berjaya dalam pelajaran bermula peringkat tamat tingkatan tiga sekolah menengah seterusnya belajar secara persendirian sehingga akhirnya mampu memegang segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Sains Malaysia pada 1993.
Mohiadin mengacarakan majlis ketika memegang jawatan sebagai pembantu penerangan.
Menurutnya, sejarah pengajian itu dalam mencari perubahan kehidupan keluarga merupakan satu motivasi yang kuat terutama mempengaruhi anak-anak dia untuk tekun belajar serta menimba ilmu setinggi mana pun tanpa menoleh ke belakang.
Tambahnya,
dia sentiasa memberi galakan kepada lima anaknya untuk gigih berusaha dan
jangan bimbang kepada kegagalan akhirnya menjadi kenyataan apabila tiga anak
beliau pemegang ijazah dari universiti tempatan, manakala dua lagi lulusan universiti
luar negara.
Mohiadin berkata, kegigihan beliau menuntut ilmu selama 19 tahun bagi mengukir kejayaan pada masa depan dengan bertungkus lumus belajar secara persendirian dan pendidikan jarak jauh (PJJ) bagi meraih segulung ijazah menjadi cerita motivasi dalam ceramah umum apabila dijemput pihak berkenaan.
Mohiadin menerima Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) daripada Tengku Mahkota Pahang.
Jelas
beliau, selama 31 tahun bertugas di jabatan kerajaan sebagai Pembantu
Penerangan di Jabatan Penerangan Pahang dan Selangor serta memegang jawatan
PKSP mendedahkan dia kepada pelbagai masalah komuniti masyarakat yang
memerlukan penyelesaian terbaik.
Menurutnya,
ketika memikul tugas PKSP dengan dibantu beberapa rakan setugas terpaksa
menyelesaikan masalah mencari waris atau penempatan warga emas yang discaj dari
hospital untuk meneruskan kelangsungan hidup apabila ada sesetengah mereka
sudah uzur.
Ketika bertugas sebagai PKSP, Mohiadin turut mengenali serta berkawan rapat dengan sukarelawan yang menyumbang tenaga sukarela membantu pihak hospital dalam menyantuni pesakit membuka hati beliau untuk mengusahakan pusat jagaan khusus bagi menempatkan warga emas terdampar tiada waris atau disisihkan ahli keluarga.
Mohiadin sentiasa mengambil berat nasib warga emas yang menumpang teduh di PJNH.
Bagi
Mohiadin bersesuaian dengan minat serta rasa bertanggungjawab melakukan kerja
kebajikan di samping membuat amal jariah sebagaimana tuntutan agama supaya
membantu insan lain dalam kesusahan mengerakkan hati beliau bagi mengasaskan
pembukaan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Beranang, Selangor, 17 tahun
lalu.
Bagi
sukarelawan yang sebahagian besar mereka dalam kalangan kakitangan kerajaan dan
swasta sudah bersara mereka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan membantu
mencari dana termasuk untuk PJNH menampung kos operasi supaya usaha yang
dilakukan Mohiadin itu tidak sia-sia.
Berikutan ramai warga emas terutama yang beragama Islam memerlukan pembelaan serta dirujuk pelbagai pihak khususnya dari hospital beliau terbabit secara langsung dalam pembukaan Pusat Jagaan Al-Fikrah (PJAF) di Kajang, Selangor pada 2013 serta Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) 2016 dan Pusat Jagaan Insan (PJI) setahun lalu, di Semenyih, Selangor.
Mohiadin (dua dari kiri) sentiasa turun padang menyantuni sukarelawan yang terbabit dalam program komuniti.
Mohiadin berkata, atas faktor kesihatan selepas bersara dia hanya menumpukan perhatian kepada PJNH apabila dilantik sebagai pengerusi dan penasihat di PJMM serta PJI dalam meneruskan kerja sukarela membantu warga emas yang memerlukan perhatian serta pembelaan.
Menurutnya,
dia berasa bersyukur apabila kerja amal jariah itu sentiasa mendapat kerjasama
daripada sukarelawan pelbagai penubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diibaratkan
mereka itu sebagai wira tidak didendang.
Tambah beliau, di samping menumpukan perhatian kepada pengurusan pusat jagaan dia turut terbabit secara langsung dalam membantu meringankan bebanan keluarga miskin, asnaf, anak yatim serta mengikuti misi bantuan bencana alam yang menimpa penduduk di seluruh negara seperti banjir bersama-sama sukarelawan pusat jagaan berkenaan.
Tidak mengenal erti penat, Mohiadin sentiasa sudi membantu dalam misi bencana alam bersama sukarelawan pusat jagaan.
Di atas
semangat dan kejujuran beliau melaksanakan tugas untuk masyarakat Mohiadin
menerima pelbagai anugerah ketika berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan
termasuk Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Pingat Setia Ahmad Shah
Pahang (SAP).
“Atas
galakan keluarga dan rakan-rakan serta
kasih sayang sesama insan dengan berpegang kepada falsafah hidup iaitu
berusaha, berdoa dan bertawakal saya akan terus menyantuni warga emas yang
diibaratkan sebagai ibu, bapa, kakak serta abang sendiri.
“Saya juga
sudah kering air mata apabila mendengar pelbagai kisah sedih perjalanan hidup
warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan daripada mereka tiada waris hidup
sebatang kara, disisihkan oleh ahli keluarga termasuk anak sendiri selain
ditinggalkan di tepi jalan dan sebagainya.
“Saya dengan dibantu rakan Aidah Jaamat menulis dan menerbitkan buku cerpen bertajuk Terkulai Di Senja Hari yang menghimpunkan kisah benar warga emas di pusat jagaan serta dijual sebagai usaha mencari dana menampung kos operasi,” ujar beliau. - KitaReporters
Mohiadin bersalaman dengan Al-Sultan Abdullah selepas menerima Pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) daripada Tengku Mahkota Pahang.