Insan & Komuniti 13 Apr, 2023

Hati ibu tewas dek desakan anak! 9 tahun dan ada penyakit kronik! Tetap nak puasa! Terpaksa benarkan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Pagi, itu seperti biasa Norhafizah Zainuddin, 38, mengejutkan keluarganya bangun sahur. Hari tersebut merupakan hari kedua Ramadan. Wanita yang menetap di Kemasek, Kemaman, Terengganu bersama suami, Hasmadi Hanafi dan dua orang anak ini, sebenarnya keberatan untuk mengejutkan kedua-dua anaknya itu.

Bukan tidak mahu melatih anak-anaknya puasa, tetapi memandangkan kedua-duanya menghidapi penyakit kronik sejak lahir lagi, hatinya berbelah bahagi. 

Setiap kali masuk bulan Ramadan, dia sering berperang dengan perasaannya sendiri. Sedih, bangga, sayu dan bimbang silih berganti dan bergelodak dalam jiwanya.


Walaupun mengantuk, Aqila tetap bangun sahur.


Kini anak lelaki sulung sudah berumur 10 tahun. Manakala anak kedua adalah perempuan berusia sembilan tahun. 

Berdepan semangat tinggi yang ada dalam diri anak-anak untuk berpuasa, dia kalah dan akur. Kadang-kadang dia tidak sedar air matanya gugur walaupun dia cuba untuk bertahan dan kelihatan kuat.

Bercerita mengenai anak-anak istimewanya itu, menurut Norhafizah yang bekerja sebagai peniaga makanan di hadapan rumah bersama suami, anak sulung, Mohamad Adif, mempunyai masalah injap jantung sempit (valvular aortic stenosis). 

Manakala anak kedua, Nurul Aqila Maisara menghidap usus pendek serta tiada saraf untuk menyerap makanan (hirschprung disease, short bowel sindrom dan total colonic agangglion).


Wajah ceria Aqila dapat berbuka bersama keluarga.



Justeru, kedua-keduanya tidak digalakkan berpuasa kerana dibimbangi mendatangkan kemudaratan. Namun, semangat tinggi untuk berpuasa disebabkan terpesona dengan keadaan sekeliling apatah lagi ketika berbuka membuatkan mereka tekad menunaikan rukun Islam ketiga itu.

Cerita Norhafizah lagi, walaupun dia cuba memujuk, namun anak-anaknya tetap mahu berpuasa. Tidak mahu anak-anak tertekan kerana dilarang berpuasa, Norhafizah akur dan memantau ketat keadaan anak-anaknya ketika mereka berpuasa.

"Aqila mula nak puasa pada 2 Ramadan. Dia bersemangat berpuasa setelah melihat betapa seleranya abang dia makan waktu berbuka ditambah pula dengan ada macam-macam kuih.

"Dia sanggup bangun sahur semata-mata mahu berpuasa. Padahal saya hanya kejutkan abang dia sahaja tetapi dia terdengar dan terus bangun. 

"Saya sudah jelaskan kepadanya bahawa dia tidak perlu bangun. Nak tidur, tidur je lah sebab Qila tak boleh puasa. Namun dia tetap berkeras mahu bangun. Dia kata nak puasa sama-sama dengan abang dan kawan-kawan di sekolah. Katanya lagi, kawan-kawan sekolah semuanya berpuasa," cerita Norhafizah sebak.


Di sebalik senyuman itu, tersimpan cerita duka adik Aqila.


Dek kerana masalah kesihatan yang dihidapi Aqila, dia hanya mampu berpuasa separuh hari sahaja. Balik dari sekolah, Aqila akan kelihatan penat dan tidak bermaya. Keadaan itu membuatkan Norhafizah bimbang dan tanpa membuang masa menyuruh Aqila berbuka.

"Saya suruh dia berbuka walaupun dia tidak mahu. Katanya nanti tak best makan seorang diri sedangkan orang lain berbuka ramai-ramai. Padahal dalam rumah ada empat orang sahaja.

"Sebenarnya sebelum masuk Ramadan lagi saya sudah pesan awal-awal kepadanya bahawa dia tidak wajib berpuasa. Aqila sakit maka tak wajib berpuasa takut nanti terhidrasi atau kering. Tetapi dia tetap nak puasa juga," ujarnya.

Melihat semangat dan kekuatannya untuk berpuasa, membuatkan Norhafizah terharu dan sedih. Sedangkan anak yang kecil dan sakit itu tahu pengertian serta kenikmatan berpuasa, apatah lagi kita yang dewasa ini. 


Bacaan gula yang rendah boleh menyebabkan hypo dan ia sangat berbahaya.


Keadaan menjadi genting ketika hari keempat berpuasa apabila keadaan Aqila menjadi teruk. Wajahnya pucat dan tidak bermaya. Pengalaman mencemaskan itu menjadi pengajaran buat Norhafizah selaku ibu yang sentiasa memantau keadaan anaknya itu. Malah, kejadian tersebut juga boleh menjadi rujukan buat ibu bapa yang memiliki anak yang menghidapi penyakit sama. 

"Tahap kesihatan dia sebenarnya merosot. Aqila jadi terhidrasi dan kulitnya kering. Malah badannya makin kurus. Pada puasa keempat atau kelima, dia terhidrasi teruk dengan hypo sekali.

"Kejadian berlaku ketika waktu balik sekolah. Dia mengadu pening dan mata berpusing-pusing. Saya lihat muka dia pucat dan bibirnya putih. Pengalaman lalu mengajar saya apabila keadaan jadi macam tu, kena cepat-cepat periksa tekanan darah dan glukos. 

"Hari tu, memang tekanan darah dan glukos dia sangat rendah iaitu 2.7 sahaja. Memang sangat bahaya. Saya cepat-cepat bancuh air glukos bagi dia minum dahulu. Sementara itu, suami saya membuat persediaan untuk pasang perenteral nutrision (PTN) dan drip glucose. 


Ayah Aqila sedang menyiapkan peralatan untuk PTN dan grip glucose.


"Ketika itulah Aqila tertidur. Saat itulah yang paling saya takut. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana rasa cemas dan takut. Sebagai ibu yang mengandung dan melahirkannya, saya takut apa-apa perkara buruk terjadi ke atasnya. Saya takut dia pengsan.

"Alhamdulillah selepas 20 minit pasang PTN serta drip, bacaan glukos telah naik sehingga 8.5. Tekanan darah juga telah kembali normal. Saya kejutkan dia dan elok sahaja dia bangun seperti baru bangun tidur. Saya sangat bersyukur dan lega," luah Norhafizah. 

Menurut doktor yang merawat Aqila, hypo boleh menyebabkan gula tidak sampai ke otak dan akan menyebabkan strok, sawan, koma atau boleh membawa maut. Pesanan doktor ituterngiang-ngiang pada telinga Norhafizah. 


Alhamdulillah, tahap gula Aqila kembali normal.


"Takut memang takut tapi apakan daya anak saya nak berpuasa. Saat membenarkan dia berpuasa, saya sudah bersedia mental dan fizikal untuk terima apa jua akibatnya. Saya luluh saat mendengar rayuannya untuk berpuasa dan bangun sahur. Suara kecilnya itu benar-benar membuatkan saya tewas.

"Saya perlu cari lagi inisiatif atau cara untuk menjelaskan kepada Aqila bahawa ketika ini dia masih tidak boleh berpuasa. Apabila sampai masanya, barulah dia boleh berpuasa. Kalau ikutkan, abangnya juga tidak boleh berpuasa. 

"Apabila dia berpuasa, jantungnya akan sakit apatah lagi ketika berbuka. Menurut doktor, apabila berpuasa, perut akan dipenuhi gas yang menyebabkan perut menjadi kembung. Apabila terjadi seperti itu, dada akan terasa sakit sebab gas atau angin menolak perut dan menyempitkan kawasan jantung," jelasnya.

Semoga Aqila dan abangnya diberi kesembuhan dan kembali berpuasa seperti biasa. Sayu dan dalam masa yang sama bangga melihat keazaman Aqila serta abangnya berpuasa walaupun kesihatan tidak mengizinkan. 

Sedangkan anak kecil yang mempunyai penyakit kronik berusaha untuk berpuasa, bagaimana kita yang dewasa serta sihat walafiat sanggup ponteng puasa? Tepuk dada tanya iman! - KitaReporters


Semoga adik Aqila cepat sembuh dan boleh kembali berpuasa.

17
15
0
9
0
You will be interested