Insan & Komuniti 15 Jan, 2024

Catatan Akademik| Kenali budaya tikam belakang! Mengapa ia berlaku! Panduan untuk elak ia berlaku!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh SALMIWATI OTHMAN & 

AHMAD SAUFFIYAN HASAN (UPSI) 


Istilah ‘kawan makan kawan’ cukup sinonim dengan budaya perbuatan tingkah laku tikam belakang yang berlaku dalam masyarakat kita. 

Dalam dunia pekerjaan, budaya ‘tikam belakang’ ini tidak dapat dihindari memandangkan kita saban hari akan bersosialisasi bersama manusia lain dalam pelbagai peringkat jawatan, umur, jantina,tahap pendidikan, agama serta berlainan status sosial. 

Jika kita salah memilih teman serta tidak meletakkan batasan antara rakan sejawat serta ketua jabatan, maka, perbuatan tikam belakang ini boleh berlaku kepada kita. 

Di hadapan anda, dia sentiasa tersenyum, bertutur dengan nada baik dan suka membantu namun bak kata perpatah “rambut sama hitam tapi hati lain-lain”.



Mengapa ia berlaku?

Dalam dunia serba mencabar akibat tekanan ekonomi serta sara hidup yang tinggi menyebabkan pasaran pekerjaan menjadi mengecil dan peluang pekerjaan menjadi rumit. 

Ganjaran dalam organisasi sering kali menjadi tajuk penyelidikan oleh para sarjana yang menginginkan agar organisasi tersebut menyediakan peluang peningkatan kerjaya yang seluas-luasnya kepada warga kerja seperti imbuhan contohnya bonus, latihan ke luar negara, kenaikan pangkat, pemberian anugerah, peluang memegang jawatan kepimpinan akademik di universiti ,geran atau biasiswa yang mana imbuhan tersebut boleh meningkatkan status pekerja tersebut. 

Selain imbuhan, insiden tikam belakang dilakukan pelakunya untuk meraih perhatian lebih daripada atasannya serta ingin berada dalam lingkungan yang selamat dan selesa untuk kepentingan diri sendiri. 

Penyelidikan oleh Patty Malone dan rakannya bertajuk “Backstabbing in Organizations: Employees’ Perceptions of Incidents, Motives, and Communicative Responses” mendedahkan ramai responden beliau menyatakan bahawa mereka telah mengalami tikam belakang berkali-kali sehingga mereka sukar untuk memutuskan insiden yang ingin dipilih dalam penyelidikan tersebut.

Insiden tikam belakang yang aktif dan paling kerap dilaporkan adalah bercakap di belakang, mensabotaj, berbohong, mungkir janji apabila ganjaran yang dibahagikan tidak sama rata antara organisasi dan individu sebagai pelaku serta menyorokkan  maklumat. 

Jika diteliti dapatan penyelidikan tersebut, ia jelas menggambarkan bahawa tikam belakang adalah dilakukan oleh pelaku yang mempunyai tujuan serta disengajakan. 

Selain itu, pelaku yang melakukan tikam belakang ini adalah kerana berasa kurang senang serta iri hati terhadap pencapaian rakan sejawatnya kerana berasaskan kedudukannya akan terancam.



Kesan Tikam Belakang 

Sesungguhnya perilaku tikam belakang ini adalah ditegah dalam Islam dan juga agama lain kerana ia memberi kesan yang buruk kepada organisasi. 

Antara kesan akibat tikam belakang adalah wujudnya syak wasangka, bertelingkahan yang berpanjangan, mewujudkan perasaan dendam serta matlamat organisasi sukar dicapai kerana tiada kepercayaan. 

Dari sudut emosi pula, tikam belakang ini akan memberi kesan yang buruk kepada pelaku serta mangsa kerana ia melibatkan gangguan kepada kesihatan mental serta motivasi pekerja tersebut.

Tip elak daripada kena tikam belakang

Kementerian Kesihatan Malaysia ada mengeluarkan poster khas berkaitan tip berhadapan dengan tikam belakang ‘backstab’ seperti cuba elakkan diri daripada individu yang berpontesi ‘backstab’ anda, elakkan terlalu menonjol, jaga dokumen dan fail penting, jaga dan pelihara idea hebat anda dan beberapa lagi. 

Walau bagaimanapun, antara tip yang penulis ingin berkongsi adalah perlu mengamalkan surah-surah pelindung daripada Al-Quran ketika kita berada di tempat kerja, jangan terlalu percaya rakan sekerja anda, tidak berkongsi cerita peribadi dan terlalu mesra dengan rakan sekerja dan sentiasa mempunyai batasan dalam pergaulan di tempat kerja dan sentiasa mencatat atau log aktiviti kerja anda dalam dokumen atau talian bimbit. 

Kesimpulan

Kesedaran dan pegangan agama yang kuat menjadi tunjang kehidupan yang harmoni. Sama ada di pejabat atau di mana sahaja, berbuat baik dan sikap bantu membantu sesama insan adalah asas kepada kehidupan bermasyarakat. 

Di mana pun sudut kehidupan kita, situasi budaya tikam belakang berpotensi untuk wujud, sama ada kita yang menjadi mangsa atau kita yang menyaksikan senario tersebut berlaku. 

Oleh yang demikian, kita sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam memastikan budaya ini tidak berterusan. 

Jika kita seorang ketua organisasi, kita mempunyai peranan penting dalam memastikan keharmonian sesebuah organisasi tersebut terpelihara dan dengan kuasa yang kita ada, kita seharusnya menggunakannya untuk tujuan membina budaya komunikasi organisasi yang positif dan saling bekerjasama. 


Salmiwati Othman ialah ahli PenDaPaT (Masyarakat Malaysia untuk Dasar Pendidikan Tinggi & Jabatan Penyelidikan) dan bekas mahasiswi Majlis Wanita Pulau Pinang 2021, manakala Dr Ahmad Sauffiyan Hasan ialah seorang penganalisis perangsaraf media dan informasi dan kini bertugas sebagai pensyarah di UPSI.  Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis-penulis.



5
17
0
9
0
You will be interested