Insan & Komuniti 21 Jan, 2023

Syabas Syafiq Mohiadin! Wajar dijadikan ikon anak muda! Bidang kebajikan, pengurusan rumah orang tua!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Tak ramai anak muda yang mahu berkecimpung dalam bidang kebajikan seawal usia 15 tahun, lebih-lebih lagi dalam pengurusan rumah kebajikan warga emas. 

Namun kisah Muhammad Syafiq Mohiadin, 34, yang telah menceburkan diri dalam kebajikan berkenaan sejak 20 tahun lalu, perlu diketengahkan untuk menjadi contoh pada anak-anak muda supaya berbakti pada mereka yang memerlukan bantuan dan ihsan terutama warga emas yang tidak berdaya. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat-pusat jagaan warga emas

Muhammad Syafiq Mohiadin

Kisah Syafiq memang menarik, ketika ramai remaja seusia itu sedang sibuk disekolah dan masih mencari arah tuju dalam pembelajaran peringkat menengah, Muhammad Syafiq telah membabitkan diri dalam dunia kebajikan ini bersama ayah beliau. Banyak perkara dipelajarinya sejak 20 tahun lalu. 

Baginya menceburkan diri dalam bidang kebajikan warga emas banyak menginsafkan dirinya sebagai anak dan sebagai seorang hamba Allah. 

Di rumah kebajikan warga emas, dia mempelajari banyak perkara berkaitan menguruskan jenazah, menghantar penghuni rumah orang tua ke hospital, menjaga kebajikan orang-orang tua yang terbiar dan tidak ada waris serta juga yang dibuang anak-anak sendiri. 

Banyak kisah-kisah sedih disaksikan Syafiq ketika menjadi sukarelawan ini. 


Bersedia memandikan jenazah warga emas


Anak sulung dari 5 adik beradik yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ini telah berkahwin dengan Nur Fatin Fatinah Mohd Raya dan mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Daiyyan Hariz berusia 3 tahun. 

Menurut Syafiq, beliau mula mengenali dunia kerja kebajikan sejak kecil kerana sering mengikuti ayahnya, Mohiadin Bahado yang merupakan seorang Pegawai Kerja Sosial Perubatan di sebuah hospital. Sejak kecil beliau didedahkan dengan kerja-kerja sosial dan kemanusiaan, yang sedikit sebanyak mencorakkan siapa dirinya sekarang. 



Graduan Perhubungan Awam dari Fakukti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM ini, sangat aktif dalam kerjasukarela dan NGO. 

Beliau merupakan sukarelawan Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Rehabilitasi Cheras  an Sukarelawan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang . 

Selain itu beliau juga aktif dalam kerja sukarelawan yang lain seperti Program Misi bantuan banjir di Kelantan (Manik Urai, Kuala Krai & Gua Musang) pada tahun2015 dan sukarelawan bantuan keselamatan bagi kejadian Tanah Runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat pada 2011 yang mengorbankan 16 orang pelajarnya. 

Buat masa ini, beliau adalah Penolong Setiausaha Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia (antara pengasas sejak ditubuhkan), Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia dan Pengerusi Pusat Jagaan Insan di Semenyih yang ditubuhkan pada tahun  2022.


Wakil-wakil dari Rumah Kebajikan Warga Emas.


Bercerita mengenai pembabitannya di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, sebuah rumah kebajikan untuk warga emas yang terletak di Semenyih, Selangor, beliau merupakan antara pengasas kepada penubuhan pusat jagaan tersebut. 

Di pusat itu, Syafiq bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja pencarian dana pusat jagaan berkenaan. Sasaran yang perlu dicari oleh beliau untuk menampung keperluan rumah kebajikan berkenaan ialah antara RM65 ribu sebulan atau RM780 ribu setahun. Beliau merasakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan padanya sebagai satu obligasi kemanusiaan. 

Untuk mencari dana dan memperkenal kewujudan rumah kebajikan berkenaan, Syafiq memulakan platform sosial media bagi pusat jagaan berkenaan dan menyebarluaskan keperluan pusat berkenaan kepada masyarakat di dalam dan di luar negara.  "Tujuannya bagi meningkat kesedaran dan sebagai ikhtibar dan pengajaran keapda orang ramai mengenai kes-kes warga emas yang dibuang anak-anak dan sakit terlantar tanpa pembelaan," katanya. 

Syafiq menguruskan akaun TikTok pusat-pusat berkenaan dan sering menyebarkan maklumat dan kisah-kisah sedih dan pelbagai iktibar dalam akaun Tiktok @pusatjagaanmahmudah



Terlalu banyak pengalaman yang telah dipelajari Syafiq, antara pengalaman beliau ialah menguruskan penghuni yang masuk ke Pusat Jagaan Mahmudah. Kadang mengambil penghuni di hospital yang dirujuk pihak hospital ke rumah kebajikan berkenaan. Syafiq memberitahu sehingga kini seramai 44 orang telah meninggal dunia dan diuruskan oleh pusat jagaan. Syafiq sendiri telah memandikan lebih dari 40 jenazah penghuni pusat jagaan berkenaan. 

Pengalaman paling sedih ialah bila anak-anak penghuni tidak mahu menguruskan jenazah emak atau ayah mereka. Semua mereka serahkan pada rumah kebajikan. 

Menurut Syafiq, menitis air matanya bila melihat sikap anak-anak yang begitu zalim pada kedua-dua ibu bapa sehingga ketka kedua-dua ibu bapa mereka menghembukan nafas. Anak-anak tidak ambil tahu dan mahu rumah kebajikan yang menguruskan jenazah ayah ibu mereka.



Di Pusat Jagaan Insan, Semenyih pula, yang baru ditubuhkan pada 2022, beliau dan beberapa anak muda lain adalah antara penggerak penubuhan pusat jagaan itu. Semua ahli jawatankuasa merupakan golongan belia. 

Ini katanya bagi menerap dan mendidik golongan muda (belia) melakukan kerja-kerja kebajika dan sehingga kini pusat kebajikan itu sudah mempunyai seramai 15 orang penghuni.  

Syafiq memberitahu misi dan perjuangan yang dibawa olehnya ialah untuk memberi kesedaran pada pihak berkuasa agar mewujudkan akta yang boleh melindungi warga emas yang dibuang oleh keluarga atau anak-anak. 

Katanya, seperti mana kanak-kanan ada akta yang melindungi bayi dan jika dibuang, ayah ibu boleh dikenakan tindakan. Begitu juga akta orang tua di mana anak-anak boleh dikenakan hukuman jika mengabaikan ibu bapa mereka.

Menurut Syafiq, bagi warga emas memang tiada akta mahupun tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada anak-anak yang membuang ayah ibu mereka sendiri. 

Selain itu, beliau mengharapkan kerajaan menggazetkan atau megekhaskan tanah perkuburan khusus bagi pusat- pusat jagaan seperti yang dikendalinya.  

"Isu yang timbul adalah tiada tanah kubur berdekatan yang dibenarkan untuk kebumikan penghuni yang meninggal dunia di pusat jagaan dan tiada waris yang menuntut memandangkan tanah kubur yang ada lebih cenderung untuk kariah dan penduduk kawasan sahaja. 

"Harga tanah kubur yang tinggi juga menjadi kesukaran untuk pihak pusat jagaan menguruskan urusan pengebumian penghuni. Sehinggakan kami terpaksa menghantar jauh jenazah penghuni," katanya lagi.



Selain itu beliau juga berhasrat mahu mengumpulkan sukarelawan muda (belia) bagi kerja-kerja kebajikan. Kerja kerja kebajikan sangat memerlukan tenaga muda yang masih kuat dan sangat aktif menjalankan apa juga tugas sukarelawan.  

Sukarelawan ini akan membantu Pusat Jagaan Mahmudah dan apa-apa aktiviti kebajikan yang dikira dapat membantu orang yang memerlukan. 

Jika ada yang berminat boleh hubungi 017-3786804. Pihaknya juga bersedia untuk memberi taklimat/talk/seminar berkaitan penjagaan warga emas yang diabaikan oleh waris. 

Bagi Syafiq kepuasan kerja kebajikan ialah apabila  warga emas atau "ayah ibu"  yang diselamatkan dan diberi tempat tinggal dapat menghabiskan sisa- sisa hidup dengan penjagaan yang baik, mendapat ilmu dan pengajian agama, selain dapat menguruskan jenazah penghuni dengan cara islam yang sempurna.  

Beliau juga berasa puas apabila ada warga emas yang terbiar ini  mendapat makan, tempat tinggal dan penjagaan kesihatan yang baik dan teratur. - KitaReporters



24
15
0
13
0
You will be interested