
Zaman berubah. Banyak perkara yang dulunya sangat dijaga rapi seperti adab, perbuatan, bahasa yang kurang elok, rahsia suami isteri kini, sudah menjadi perkara biasa dan dianggap normal terutama dalam media sosial juga perbualan harian.
Dunia sekarang semuanya di hujung jari. Apa-apa saja boleh dikongsi, ditonton dan disebar dalam sekelip mata dengan kehebatan media sosial dan teknologi moden.
Dulu, kisah suami isteri disimpan rapi. Hal dalam kelambu tak dicerita pada orang. Apatah lagi disebarkan dalam bentuk video untuk tontonan umum dalam TikTok, reel Facebook dan YouTube.
Perbuatan bermesra antara suami dan isteri di dalam kereta atau di tempat awam turut dikongsi untuk tontonan umum. Begitu juga kemesraan kekasih dan golongan songsang turut menjadi content (kandungan) yang mendapat tontonan yang ramai.
Sedih, sebab ramai dah tak peduli pada adab dan rasa malu. Musykil memikirkan ke mana hilangnya rasa malu dalam masyarakat kita hari ini?
Imam Syafie pernah berkata: "Barangsiapa yang tersingkap malunya, maka tersingkaplah aibnya."

Ini sangat benar sebab sekarang, ramai orang berlumba-lumba nak jadi “content creator” sampai lupa batas dan tidak lagi mengambil kira rasa malu dan kurang adab. Benda yang sepatutnya jadi rahsia, telah jadi bahan tontonan umum.
Macam-macam content berlambak ada dalam media sosial. Ada juga buat video ajar “cara berjimak”, ceramah terbuka hal-hal intim, seolah-olah tiada lagi nilai adab dan malu.
Yang lebih menyedihkan, ada juga segelintir yang bergelar doktor, pakar dan influencer (pempengaruh), yang sepatutnya jadi contoh, tumpang sama ‘naik’ dengan topik-topik murahan demi view, like dan populariti. Kata mereka ini pengetahuan, ini ilmu tak perlu malu.
Perlu diingat media sosial bukanlah ruang untuk org dewasa sahaja. Kanak-kanak juga ada yang terlepas menonton content seperti itu. Mereka belajar daripada apa yang mereka lihat. Jadi bila anak-anak kecil terdedah pada kandungan yang tidak sesuai, siapa yang patut dipersalah?
Penulis adalah orang lama atau old school, mungkin cara pemikiran penulis nampak kolot dan tidak up-to-date pada sesetengah orang. Tapi penulis percaya, adab, malu dan akhlak adalah tiang kepada masyarakat yang sihat.
Bila kita hilang semua tu, maka hilanglah maruah dan identiti kita sebagai bangsa yang berbudi pekerti dan berakhlak mulia. Jangan kita terlalu ghairah mengejar viewers sehingga kita gadaikan nilai sopan santun yang selama ini jadi tunjang bangsa kita.
Media sosial boleh jadi rahmat. Tapi kalau disalah guna, ia boleh jadi racun yang perlahan-lahan merosakkan jiwa masyarakat dan keharmonian negara.

Ayuh kita kembali kepada adab, menyemai kembali rasa malu dan mempelajari akhlak mulia. Kembalilah kepada malu. Kembalilah kepada akhlak. Buatlah content yang baik yang mendidik dan sentiasa menjadi contoh terbaik kepada masyarakat. Itu baru namanya “content” yang berkat.
Janganlah kita gadaikan maruah kita tanpa rasa malu dengan membuat sesuatu content yang memperbodoh diri dan keluarga. Seperti kata Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah: "Rasa malu itu adalah kehidupan hati. Bila hilang rasa malu, maka hati pun mati."
Saya akhiri penulisan ini dengan kata-kata" "Jangan kejar trending sampai tergadai adab dan maruah sendiri." - KitaReporters