Insan & Komuniti 03 Oct, 2022

Video| Doakan Uzma Nur Iman sembuh! Dapat melihat semula! Hidap penyakit radang saraf optik MOGAD!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Uzma Nur Iman Mohd Sufian, 12, hilang penglihatan secara tiba-tiba pada 17 September 2022 lalu.


PENGLIHATANNYA hilang secara tiba-tiba namun dia reda dan pasrah dengan ketentuan Allah Taala itu. 

Perasaan takut membelenggu hati dan perasaannya namun kehadiran kedua-dua ibu bapa, adik beradik, guru dan rakan sekolah menjadi penguat semangat untuknya terus bangkit daripada kesedihan dan kekecewaan

Ikuti perkongsian Uzma Nur Iman Mohd Sufian bersama KitaReporters.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan isu dan masalah penglihatan


Uzma Nur Iman hilang penglihatan pada 17 September 2022 bersama ibubapanya, Nur Razaihan Abd Halim dan Mohd Sufian Shahidullah ketika menjalani rawatan di Klinik Pakar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Indera Mahkota, Kuantan. - Kredit foto-foto: Ainal Marhaton Abd Ghani 

“Saya reda dan pasrah sekiranya saya tidak boleh melihat buat selama-lamanya.” Demikian kata Uzma Nur Iman Mohd Sufian, 12, yang hilang penglihatan secara tiba-tiba pada 17 September 2022 lalu.

Murid Darjah 6 Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Irsyad, Balok, Kuantan itu berkata keadaan itu dialaminya ketika berada di kampungnya, Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu sempena cuti Hari Malaysia pada bulan September 2022 lalu.

Uzma Nur Iman dilaporkan hilang penglihatan pada 17 September 2022 dan disahkan menghidap MOGAD atau Myelin Oligodendrocyte Glycoprotein Anti Disease selepas sampel darahnya dihantar ke sebuah makmal perubatan di Kuala Lumpur. 

“Pagi itu saya bangun untuk bersarapan tetapi pandangan menjadi gelap gelita walaupun saya tahu hari sudah siang. Sebelum itu, saya boleh melihat secara samar-samar sahaja melalui mata kiri kerana mata kanan sudah tidak boleh melihat langsung.

“Saya ingatkan bilik saya yang gelap lalu saya berusaha mencari suis untuk buka lampu tetapi keadaan tetap sama (tidak nampak apa-apa).

“Saya menjadi sangat takut waktu itu dan hanya menangis sahaja sambil beristghfar supaya saya boleh melihat semula,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Indera Mahkota pada Isnin, 3 Oktober 2022. 

Uzma Nur Iman berkata, dia hanya memaklumkan kepada kedua-dua ibu bapanya, Nur Razaihan Abd Halim, 37, dan Mohd Sufian Shahidullah, 37, selepas kedua-duanya kembali daripada urusan di bandar Kuala Terengganu.

“Saya berehat di bilik ditemani ibu saudara tetapi langsung saya tidak ceritakan kepadanya keadaan saya sehingga ibu bapa saya balik,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penglihatannya kini beransur pulih walaupun hanya 40 peratus sahaja selepas doktor memberikannya steroid dan IVig (intravenous immunoglobulin).

 “Doktor memberi tempoh mata saya berkemungkinan akan sembuh seperti biasa dalam tempoh dua bulan tetapi bergantung pada kekuatan badan saya melawan penyakit ini,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.


Uzma Nur Iman terpaksa merapatkan buku ke matanya untuk melihat walaupun terlalu kabur.



Sementara itu, Nur Rahaizan berkata, dia tergamam dan kehilangan kata-kata sebaik sahaja anaknya memaklumkan mengenai keadaan matanya itu.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh lima hari sahaja. Saya tidak menyangka daripada sakit kepala, mata kanannnya mulai kabur sedikit demi sedikit dan terus tidak dapat melihat sepenuhnya pada Sabtu 17 September itu.

Menurutnya, sebelum Uzma Nur Iman hilang penglihatan sepenuhnya dia mengalami sakit kepala di sebelah pagi selama empat hari berturut-turut bermula 13 September 2022.

“Saya hanya berikan sebiji panadol setiap pagi padanya sebelum ke sekolah dan pada masa sama mengadu mata kanannya semakin kabur.

“Pada Khamis 15 September pula, dia mengadu mata sebelah kanannya sudah tidak boleh melihat sepenuhnya manakala mata kiri mulai kabur dan keadaan semakin serius pada Jumaat.

Saya terkejut apabila Uzma menangis menyatakan kedua-dua belah matanya langsung tidak nampak apa-apa pada Sabtu (17 september) itu.

“Saya dan suami terus membawa Uzma ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu sebelum di rujuk ke Pusat Perubatan KMI Cawangan Kuala Terengganu," katanya.


Pengerusi NGO Sahabat Telekung Kuantan, Che Ku Shaherawati Che Ku Jusoh (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Uzma Nur Iman yang didiognosis menghidap MOGAD. -  Kredit foto-foto: Ainal Marhaton Abd Ghani 


Menurut Nur Razaihan lagi, memandangkan dia sekeluarga menetap di Balok Makmur, Kuantan, dia dan suaminya mengambil keputusan merujuk kes Uzma Nur Iman di Hospital UIAM.

“Beberapa prosidur seperti CT Brain, imbasan MRI, pengambilan sampel darah dan air tulang belakang dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah penglihatan Uzma.

“Doktor pakar mata juga telah mengesahkan saraf mata Uzma bengkak, katanya.

Nur Razaihan bagaimanapun berkata, pakar perubatan mengesahkan Uzma Nur Iman menghidap MOGAD (Myelin Oligodendrocyte Glycoprotein Anti Disease) selepas sampel darahnya di hantar ke sebuah makmal perubatan di Kuala Lumpur. 

Penyakit antibodi MOG (MOGAD) ialah sejenis penyakit berkaitan keradangan saraf optik yang boleh menyebabkan mata menjadi kabur atau hilang penglihatan sepenuhnya.

Uzma Nur Iman seorang murid ceria, lincah dan aktif bersukan termasuk bermain badminton, boling, bola jaring dan memanah namun kini hanya mampu mendengar cerita daripada rakan yang menziarahi mengenai aktivti di sekolah.

Semoga Uzma Nur Iman dapat melihat kembali walaupun terpaksa mengambil masa lama. Bersama kita mendoakan kesembuhan matanya dan kembali aktif seperti sebelumnya. - KitaReporters 

Uzma Nur Iman menerima kunjungan rakan-rakan sekolahnya ketika menjalani rawatan di Klinik Pakar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Indera Mahkota, Kuantan. - Kredit foto-foto: Ainal Marhaton Abd Ghani 

 

18
10
0
9
0
You will be interested