Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia boleh dikatakan rata-ratanya mendapat layanan istimewa atau kemudahan khas. Layanan dan kemudahan khas itu walaupun tidak sepenuhnya boleh didapati di mana-mana, namun sekurang-kurangnya ada usaha daripada pihak kerajaan untuk membantu dan meringankan beban golongan tersebut.
Contoh paling ketara, disediakan tempat duduk khas untuk OKU dalam kenderaan awam seperti bas, LRT dan MRT. Malah, parkir juga diberi percuma untuk kenderaan milik OKU. Kebanyakan golongan ini mempunyai kad dan pelekat OKU.
Namun, lain pula hal yang berlaku ke atas seorang pemuda OKU bernama Fahaizal Zee apabila dia dikenakan saman parkir oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Hal tersebut didedahkan dalam akaun X.
Justeru, dia mempersoal kenapa MPKj bertindak sedemikian terhadapnya kerana dia mempunyai kad dan pelekat OKU.
“MPKj ni kalau bab saman parking laju jer. Tak perasan ke kad OKU aku kat dashboard.
"*Kesalahan meletakkan kenderaan di dalam petak kenderaan tanpa membuat bayaran pada waktu terkawal*. Bukan ke OKU dapat parking percuma,” tulisnya.
Perkongsiannya itu telah mengundang pelbagai komen daripada netizen. Ada yang mempersoalkan kasahihan dakwaan Fahaizal dan ada juga yang mengecam tindakan majlis perbandaran tersebut.
“Kad OKU tu memang letak kat dashboard ke atau baru letak selepas kena saman? Ada bukti kad diletak sebelum disaman. Kenapa tak ada sticker OKU di kereta?,” tanya salah seorang netizen.
Namun menurut Fahaizal, pelekat OKU terselindung di belakang
surat saman yang diletakkan di cermin hadapan kenderaan.
Dalam hantaran berikutnya, Fahaizal menjelaskan dia masih belum buat apa-apa bayaran lagi kepada MPKj kerana ada pihak mendakwa dia sudah membayar saman tersebut.
Hantaran baharu itu dibuat kerana mahu menjelaskan perkara sebenar kerana tidak mahu perkongsiannya itu mengundang fitnah ke atas MPKj. Justeru, dia meminta orang ramai bersabar dan tunggu perkembangan terbaharu kes tersebut.
“Maaf yer. Saya tak ada buat bayaran apa-apa lagi. Esok
(23 Februari 2024) saya baru nak bercadang pergi ke pejabat MPKj. Tunggu saya update. Saya tak nak perkara ni jadi
fitnah saya kepada pihak PBT (MPKj),” jelasnya.
Jadi, kepada para netizen, jangan mudah membuat andaian. Mungkin berlakunya salah faham dan kesilapan yang tidak disengajakan.
Ingat, tujuan saman dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan di tempat salah adalah untuk kesenangan orang ramai juga. Bayangkanlah kalau kenderaan diletakkan sesuka hati, kucar-kacir jawabnya urusan seharian anda semua. - KitaReporters
Fahaizal menafikan dakwaan ini yang mengatakan dia telah membuat pembayaran.