Dalam majlis perkahwinan sudah menjadi adat para tetamu akan memberi sumbangan termasuk berbentuk wang. Kebiasaannya jumlah wang tidak terlihat kerana diisi dalam sampul wang.
Namun ada tetamu yang tidak jujur. Mereka tidak mengisi duit asli, sebaliknya dengan wang palsu, wang fotostat ataupun hanya kertas kosong.
Ketidakjujuran mereka hanya diketahui ketika sesi mengira hasil sumbangan. Namun sukar untuk mencari siapakah gerangan yang tidak jujur itu.
Masyarakat di Demak, Jawa Tengah, Indonesia mempunyai cara tersendiri dalam memastikan sumbangan yang diberi adalah wang asli.
Sudah menjadi adat sejak sekian lama, masyarakat Demak mengadakan tradisi sangon manten. Melalui tradisi ini, majlis salaman antara pengantin dengan tetamu tetap berjalan.
Namun tiada salaman dengan sampul. Sebaliknya tetamu perlu meletakkan wang sumbangan atas kain dikenali sebagai jarik yang dipegang oleh pasangan pengantin dan dibantu saudara-mara sebelum bersalam dengan pengantin.
Ia bagi mengelak ada tetamu memberi sumbangan wang palsu.
Tradisi sangon manten di Demak diamal sejak sekian lama ini masih diteruskan kerana ia bagi memberi kelainan daripada masyarakat lain di pulau Jawa.
Tradisi ini kembali menarik perhatian masyarakat Indonesia setelah laman X @Pray__93 menyiarkan gambar dan video tradisi sangon manten.
Kebanyakan wang tunai yang diletak bernilai antara Rp20 ribu (kira-kira RM6) hingga Rp100 ribu (RM30). Namun masih ada tetamu yang berkemampuan memberi jumlah lebih.