Insan & Komuniti 03 Oct, 2025

Kau ada? Jelajah Orang johor! Santuni DUN Buloh Kasap! Konvoi bawa mesej kemuafakat dan kepedulian!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Jalan di beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap yang biasanya lenggang dan sunyi bertukar menjadi meriah dengan deruman enjin konvoi motosikal pada pagi 27 September 2025 lalu.



Ia bukan sekadar konvoi santai biasa, sebaliknya rombongan program Jelajah Orang Johor (JOJ) itu turut membawa pelbagai inisiatif baharu kerajaan negeri Johor untuk merapatkan kepimpinan dengan rakyat.

Selepas DUN Tenang, Bekok dan Pemanis, giliran Buloh Kasap pula menerima kunjungan program kali ini  yang hadir dengan warna tersendiri, menekankan semangat muafakat, kepedulian sosial serta penglibatan semua lapisan masyarakat.  

ADUN Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip, berkata perlaksanaan JOJ membuka ruang kepada masyarakat untuk merasai sendiri pelbagai inisiatif kerajaan negeri, daripada bantuan ekonomi sehinggalah kepada pengisian sosial. 


Sebahagian penduduk DUN Buloh Kasap yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Penutup Program JOJ DUN Buloh Kasap. - Kredit foto: Facebook Zahari Sarip.


"Konvoi motosikal yang diketuai sendiri Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, turut disertai ketua-ketua jabatan dan ratusan warga Buloh Kasap dari pelbagai usia yang bergerak bersama singgah dari satu lokasi ke satu lokasi membawa mesej kebersamaan.

"Di Kampung Kuala Paya, suasana gotong-royong cukup menghidupkan semangat kekitaan dimana penduduk setempat berganding bahu bersama anggota Kem Tentera Rejimen Ke-4 Artileri Diraja, Batu Anam menceriakan kawasan kampung," katanya melalui satu hantaran yang dimuat naik di laman sosil Facebook miliknya. 

Menurutnya, lebih istimewa turut disampaikan adalah sumbangan khemah baharu daripada Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) kepada peniaga kecil.


Masyarakat Orang Asli tidak dilupakan dan turut menerima manfaat daripada penganjuran Program JOJ.- Kredit foto: Facebook Zahari Sarip.


Perjalanan diteruskan ke Kampung Spang Loi, lokasi yang berubah wajah menjadi gelanggang nostalgia dengan acara sukan rakyat seperti boling buah kelapa, batu seremban dan congkak  yang kembali mengisi halaman  mengimbau kenangan permainan tradisi yang kian terpinggir.

Gelak tawa anak-anak kecil yang baru mengenal permainan warisan itu bertaut dengan senyuman generasi terdahulu. 

Di sinilah JOJ berjaya menghubungkan masa lalu dengan masa kini, menjadikan sukan rakyat bukan sekadar hiburan, tetapi warisan yang dihidupkan kembali. 

Pada masa sama, berlangsung Program Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor yang memberi peluang kepada belia mendekati pelbagai inisiatif kerajaan. 

Generasi muda bukan sahaja diraikan, malah dilibatkan secara langsung dalam agenda pembangunan negeri.

Kemudahan lain turut memeriahkan suasana di Spang Loi termasuklah perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal secara percuma, pemeriksaan kesihatan, pameran keselamatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pengagihan sumbangan ayam segar.


Konvoi bermotosikal yang disertai pemimpim setempat bersama pelbagai lapisan masyarakat membawa mesej perpaduan di setiap lokasi disinggahi.- Kredit foto: Facebook Zahari Sarip.


"Namun, tarikan yang paling mencuri perhatian ialah peluang menaiki belon udara panas yang disediakan secara percuma sekaligus memberi peluang luar biasa kepada orang ramai menikmati panorama desa dari udara. 

"JOJ edisi Buloh Kasap juga tidak lupa memberi fokus kepada komuniti Orang Asli di Kampung Putting, satu-satunya perkampungan Orang Asli dalam kawasan ini dengan lebih 60 keluarga diraikan dalam suasana penuh mesra dan prihatin," ujarnya.  

Menurutnya lagi, kerjasama korporat turut terserlah bila mana QSR Brands bermurah hati tampil menyumbang 500 pek makanan menerusi rangkaian KFC, manakala Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pula memperuntuk RM158,000 untuk membina rumah baharu kepada dua keluarga. 


Zahari Sarip mengambil kesempatan menaiki belon udara panas bagi meninjau kawasan kampung daripada udara- Kredit foto: Facebook Zahari Sarip.


Program Ziarah Kasih pula membawa rombongan ke Kampung Balai Badang di mana tiga keluarga yang memerlukan perhatian termasuk warga emas dan pesakit uzur, disantuni dengan sumbangan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat DUN.

Tidak ketinggalan, Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) turut menyalurkan bantuan melalui Rumah Kasih Johor sebagai bukti bahawa kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

Gabungan aktiviti daripada Semarak Subuh, Jualan Kasih Johor, gotong-royong, sukan rakyat sehingga ziarah kasih menjadikan JOJ bukan sekadar program, tetapi sebuah perjalanan menyulam kemasyarakatan. 


Orang ramai tidak melepaskan peluang menaiki belon udara panas secara percuma semasa Program JOJ DUN Buloh Kasap pada 27 September 2025 lalu,- Kredit foto: Facebook Zahari Sarip.


"Ia memperlihat bagaimana kepimpinan negeri tidak sekadar hadir memberi janji, tetapi turun bersama rakyat, menyelami kehidupan harian mereka sambil mencari ruang menambah baik kesejahteraan.

"Dengan pendekatan menyeluruh, JOJ kini tampil sebagai simbol semangat Johor yang menitikberatkan muafakat, kepedulian sosial dan kesejahteraan rakyat di setiap pelosok negeri. Dari kampung ke bandar dengan mesej sama,  rakyat tidak pernah dibiarkan sendirian," katanya. - KitaReporters


Penduduk sabar beratur menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan dengan harga yang murah semasa jualan Kasih Johor sempena penganjuran Program JOJ DUN Buloh Kasap. - Kredit foto: Facebook Zahari Sarip.

10
23
0
10
0
You will be interested