“Kami datang bukan sekadar menziarah, tapi untuk berkongsi kasih.” Itu luahan wakil Pertubuhan Kebajikan Mata Ayer Care selepas menziarahi adik Muhammad Ayyash Affan Rosley, empat tahun, dari Kampung Tebuk, Simpang Empat, Perlis, yang terlantar akibat masalah kesihatan sejak lahir.


Adik Ayyash yang dikategorikan sebagai anak istimewa OKU yang menghidapi penyakit Spastic Quadriplegic Cerebral Palsy atau Palsi Serebrum Kuadriplegia Spastik hanya mampu terbaring dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya untuk makan dan minum.
Setiap hari, ibunya Norriza Abu Bakar, 47, menyuap susu serta bubur nasi yang dihancurkan hingga cair bagi memastikan anak bongsunya itu mendapat nutrisi secukupnya.
Bapanya, Rosley Omar, 46, bekerja sendiri dalam bidang pendawaian elektrik (wiring) untuk menampung kehidupan keluarga. Pasangan ini mempunyai enam orang anak – seorang perempuan dan lima lelaki.


Dalam kunjungan penuh keinsafan itu, pasukan Mata Ayer Care yang diketuai Pengerusinya, Nordin Harun, menghulurkan sumbangan berupa pampers, susu khas dan barangan dapur kepada keluarga kecil berkenaan.
Menurut Nordin, ziarah itu sebahagian daripada program Ziarah Kasih yang dijalankan secara berterusan bagi membantu keluarga kurang bernasib baik di sekitar Perlis.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama menyokong kerja kebajikan seperti ini kerana masih ramai keluarga yang memerlukan perhatian dan kasih sayang masyarakat.

Katanya, usaha kecil yang digerakkan oleh Mata Ayer Care menjadi tanda bahawa masih ramai rakyat prihatin terhadap nasib insan-insan memerlukan di pelosok kampung.
Sumbangan boleh disalurkan melalui:
BANK ISLAM
Pertubuhan Cakna Rakyat DUN Mata Ayer (Mata Ayer Care)
No. Akaun: 0901-001010-3370
(DuitNow QR tersedia seperti dalam infografik)
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh hubungi:
013-4807958 / 011-35390219
