Isu tempat letak kereta atau parkir menjadi tumpuan apabila tular sebuah video dalam TikTok mengenai kereta yang sesuka hati parkir di ruang khas (garisan merah).
Lebih mengejutkan, masih ramai netizen yang tidak mengetahui bahawa garisan merah sebenarnya menandakan lot parkir khas yang telah dibeli atau disewa, bukan ruang umum untuk sesiapa sahaja.
Mengikut peraturan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), lot parkir khas ini disediakan untuk premis tertentu dan penggunaannya memerlukan permit serta bayaran khusus.
Garisan merah berfungsi sebagai penanda rasmi bahawa tempat tersebut tidak boleh digunakan orang awam tanpa kebenaran.
Namun, kurangnya kefahaman dan sikap sambil lewa menjadikan isu ini berulang dan sering menimbulkan konflik antara pemilik lot dan pengunjung.
Situasi itulah yang berlaku kepada pengguna TikTok @kakton2009, pemilik parkir khas di sebuah premis kesihatan di Kota Setar, Kedah, apabila lot yang telah disewa secara sah tetap diceroboh berulang kali oleh pengunjung kedai viral berhampiran.

Dalam video yang mencecah 175.7k tontonan, Kak Ton menjelaskan bahawa lot berkenaan telah disewa secara sah dengan kos RM450 untuk tiga bulan atau RM1,800 setahun.
Namun, parkir itu tetap digunakan orang lain seolah-olah ia parkir percuma untuk semua.
“Habis tu nak kata kami salahlah ni. Orang masuk parking line merah yang kami dah sewa RM450 untuk 3 bulan, tak salah,” katanya geram apabila netizen seolah-olah menyalahkannya.

Lebih memeritkan, dia mendakwa dirinya kini dianggap
‘musuh’ oleh pemandu tertentu kerana menegur tindakan mereka.
“Saya dah jadi musuh bagi driver yang parking sini sebab tegur, auto masam muka. Mereka akan jawab ‘sat jaaa’, tapi mereka tak faham ‘sat ja’ mereka itulah buat kami terpaksa cari parking lain pula,” tambahnya.

Lebih mengejutkan, ruangan komen dipenuhi pengakuan netizen
yang benar-benar tidak tahu bahawa garisan merah ialah parkir hak milik
persendirian.
“Serius selama ni tak tahu kalau line merah tu parking hak milik
persendirian.”
“Maaf kak, saya pun baru tahu line merah parking khas. Lepas ni sudah tahulah.”

Namun, ada juga netizen yang tahu dan menjelaskan
kebiasaan dirinya mengelak untuk parking di garisan berwarna.
“Jenis aku kalau nak parking, selain dari garis putih aku tak berani nak parking,” ujarnya.

Walaupun begitu, ada juga yang menyalahkan pemilik
lot kerana tidak meletakkan papan tanda tambahan.
“Biasa kalau reserved lot mesti ada papan tanda. Mana-mana reserved lot pun kalau papan tanda tak ada, tetap orang akan masuk,” tulis salah seorang netizen.

Namun, menurut Kak Ton, papan tanda sememangnya ada
diletakkan, cuma terpaksa dialihkan seketika apabila mereka perlu keluar masuk.
“Ada, di tepi sebab keluar sekejap nak masuk balik.
Ingat semua orang faham line merah tu
sewa khas. Majoritinya tak faham juga,” jelasnya geram.
Kak Ton turut meluahkan bahawa tujuan utama mereka menyewa lot merah tersebut adalah untuk memudahkan pelanggan premis mereka sendiri.
Namun, sejak kedai viral berhampiran menjadi tumpuan, pelanggan kedai viral itu pula yang banyak menggunakan lot berbayar mereka.
“Kami yang tak viral ni nak berniaga sekupang dua pula nak kena beralah bab parking,” jelasnya.
Perkara sama dikongsi seorang netizen lain yang turut pernah menghadapi situasi serupa.
“Pengalaman saya kena maki sebab tegur orang. Dia marah, cakap ingat dia bodoh ke. Kat tempat saya petak kuning, tapi orang masuk juga sebab kononnya ‘sat jaa’. Kita yang bayar ni yang rasa terbeban,” ceritanya.

Insiden sebegini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran masyarakat tentang undang-undang kecil parkir yang berbeza mengikut PBT.
Garisan merah (sesetengah tempat warna kuning) bukan sekadar warna, ia ialah simbol bahawa ruang tersebut telah dibeli atau disewa dan menceroboh parkir khas adalah satu kesalahan.
Malah, sikap sesetengah pengguna yang menganggap ‘sekejap sahaja’ sebagai alasan cukup untuk mengetepikan hak orang lain dan menambah kekusutan.
Walaupun hal ini nampak remeh, ia memberi kesan besar kepada pemilik lot yang membayar ratusan ringgit demi kemudahan pelanggan mereka sendiri.
Edukasi awam tentang maksud garisan merah, papan tanda rasmi dan hak pemilik parkir khas perlu dipertingkat bagi mengelakkan salah faham berulang. - KitaReporters