‘Biarlah miskin asalkan bersih.’ Itulah antara teguran yang kedengaran dalam akaun TikTok milik seorang wanita yang sering berkongsi rutin hariannya sebagai suri rumah.
Perkongsian yang menampilkan aktiviti memasak nasi dan mencuci pinggan itu pada awalnya kelihatan biasa, namun reaksi penonton berubah selepas mereka melihat keadaan periuk nasi dan persekitaran dapurnya yang sangat kotor serta dipenuhi kerak lama.
Kebersihan dalam penyediaan makanan merupakan tanggungjawab asas, apatah lagi Islam menekankan bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman.
Justeru, walaupun hidup dalam kekurangan, kebersihan tetap perlu dijaga demi kesihatan keluarga dan keselamatan makanan.
Dalam ruangan komen, ramai netizen menzahirkan rasa terkejut dan kurang senang dengan tahap kebersihan yang dipaparkan.
Ada yang mengulas secara sinis, ada yang menyindir lembut dan tidak kurang juga yang mengambil pendekatan penuh keprihatinan.

Seorang netizen
menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang sukar diterima apabila melihat wanita
berkenaan menggunakan air yang sama untuk memasak nasi dan mencuci pinggan.
“Itulah masak nasi, itulah basuh pinggan. Berjasa benar air dia,” tulis netizen tersebut.

Seorang lagi
netizen tidak dapat menyembunyikan keterkejutan apabila melihat keadaan periuk
nasi yang sangat menjijikkan.
“Allah periuk nasi dia. Tak boleh nak husnuzon (bersangka baik), minta maaf,” tulisnya.

Begitu pun, ada netizen tampil dengan andaian lebih lembut, dengan mengatakan kemungkinan wanita tersebut tidak berkemampuan untuk membeli peralatan baharu.
Namun pengguna lain membalas bahawa kekotoran itu bukanlah soal tidak mampu, tetapi soal tidak mencuci, kerana kerak dan sisa nasi boleh dibersihkan walaupun tanpa membeli periuk baharu.
Ada juga komen yang mendakwa bahawa wanita itu mungkin sengaja memaparkan keadaan tersebut untuk meraih perhatian dan mendapat banyak komen.
Malah, ada video yang mencecah 10 juta lebih tontonan dan ribuan komen.
Beberapa netizen turut menegur peralatan yang digunakan tidak dibilas dengan air bersih, sebelum pencipta video terbabit tampil mempertahan diri dengan menyatakan bahawa baginya ia sudah bersih.


Dalam pada itu,
ada netizen yang faham jika peralatan digunakan dalam jangka masa yang lama,
namun tetap menegur agar wanita tersebut sekurang-kurangnya mengelap bahagian
tepi periuk yang berdaki tebal.
Situasi yang lebih membimbangkan ialah apabila ada netizen menyuarakan rasa tidak selesa apabila melihat wanita itu membasuh beras di dalam bilik air.
Seorang netizen berkata dia tidak dapat membayangkan keadaan tangan selepas mencuci diri digunakan pula untuk mencecah bekas air bagi mencuci beras.

Menutup deretan
komen-komen, seorang netizen menegaskan bahawa kemiskinan bukan alasan untuk
cuai, sambil menyebut dengan nada tegas bahawa “kita miskin tidak mengapa, yang
penting bersih”.
Walaupun perkongsian video itu mengundang kecaman, mesej yang cuba disampaikan oleh warganet jelas, teguran dilakukan atas dasar keprihatinan, bukan penghinaan.
Kebersihan bukan soal kaya atau miskin, tetapi soal disiplin dan kesedaran.

Video seperti
ini harus menjadi pengajaran buat seluruh masyarakat bahawa aspek kebersihan
tidak boleh diabaikan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan makanan harian
keluarga.
Semoga teguran yang diterima menjadi titik perubahan positif dan semoga kita semua mengambil iktibar untuk menjaga kebersihan sebagaimana ia dituntut dalam agama dan penting untuk kesihatan. - KitaReporters