Seorang wanita dalam TikTok berkongsi detik mencemaskan apabila menemui benda asing dipercayai dawai pencuci pinggan di dalam keropok lekor yang hampir dimakan oleh anaknya berusia dua tahun.
Dalam video yang tular dalam platform tersebut, wanita
itu menceritakan bagaimana anaknya pada mulanya sedang makan dengan berselera,
namun secara tiba-tiba berhenti dan enggan meneruskan. Curiga dengan reaksi
anak kecilnya itu, si ibu mengambil sisa keropok berkenaan dan memeriksanya.
Saat itulah dia terkejut besar apabila mendapati terdapat benda asing seakan
dawai gosok periuk di dalam makanan tersebut.
“Anak saya tengah makan keropok ni, tiba-tiba dia tak nak dah. Apabila saya tengok, ya Allah! Ada benda alah ni dalam keropok.
"Mengucap panjang saya. Alhamdulillah Allah nak lindung anak saya daripada termakan benda tu,” tulisnya dalam kapsyen video.

Video berkenaan menarik perhatian ramai pengguna TikTok yang turut meluahkan rasa terkejut dan bimbang.
Ramai dalam kalangan netizen berkongsi pengalaman hampir sama. Ada yang pernah menjumpai serpihan besi, rambut, malah lidi kecil di dalam makanan yang dibeli.
Beberapa pengguna turut memberi pendapat bahawa kejadian sebegini berkemungkinan berpunca daripada mesin pemprosesan atau pengadun tepung yang tidak dibersihkan dengan sempurna di kilang pembuatan keropok.
“Selalunya masa uli tepung tu, mesin bancuh tak dibersihkan betul-betul. Dawai gosok atau serpihan besi daripada mesin boleh tercampur dalam adunan,” tulis seorang netizen.

Walau bagaimanapun, ramai juga yang menasihatkan orang ramai supaya tidak menuding jari kepada peniaga kecil yang sekadar menggoreng dan menjual keropok lekor siap proses kerana kemungkinan besar punca sebenar datang daripada pihak pengeluar atau pembuat keropok itu sendiri.

Komen lucu turut memenuhi ruangan balas, antaranya ada
yang berseloroh mengatakan:
“Tak ada ke orang tertinggal gelang, rantai emas
dalam keropok tu? Sedap juga kalau jumpa besi emas.”
Walaupun ada yang cuba menceriakan suasana, rata-rata netizen mengakui kejadian seperti ini amat berbahaya terutama jika melibatkan kanak-kanak kecil. Jika tertelan objek seperti ini, ia boleh menyebabkan kecederaan dalaman yang serius atau membawa risiko maut.

Kejadian ini menjadi peringatan kepada semua, sentiasa
periksa makanan terlebih dahulu, terutama jika diberikan kepada anak-anak.
Kadang-kadang Allah selamatkan kita melalui hal-hal
kecil yang tak disangka.
“Nasib baik anak saya berhenti makan. Kalau dia teruskan, saya tak tahu apa jadi,” kata si ibu dalam nada penuh syukur.

Dalam masa yang sama, pengguna media sosial berharap
agar pihak pengilang produk makanan segera memperketatkan prosedur kawalan
kualiti (QC) bagi memastikan tiada bahan asing termasuk serpihan besi, dawai
atau peralatan kilang yang tercampur dalam makanan yang dipasarkan.
Pihak berkuasa juga disaran untuk menjalankan
siasatan dan pemantauan berkala terhadap kilang pemprosesan makanan sejuk beku,
memandangkan produk seperti ini sering dijual secara meluas di pasar raya dan
platform dalam talian.
Kes seperti ini mungkin nampak kecil, tetapi ia mengingatkan kita tentang pentingnya keselamatan makanan dan tanggungjawab setiap pihak daripada pengeluar, peniaga sehingga pengguna. - KitaReporters
