BERMULA daripada pengalaman terperangkap ketika banjir besar di Kuantan, Pahang pada akhir 2014, ia menjadi titik tolak seorang jurutera tempatan membina komuniti dalam talian yang kini menghimpunkan lebih 20,000 peminat konsep "Everyday Carry" (EDC) di Malaysia.

Komuniti dikenali sebagai "Everyday Carry Malaysia" itu diasaskan oleh Syahrin Shahir pada 6 Ogos 2015 selepas beliau mendalami konsep "Pembawaan Harian" menerusi pembacaan dan perkongsian di internet.
EDC merujuk kepada amalan membawa barangan praktikal setiap hari sebagai persediaan menghadapi urusan harian, kecemasan kecil, kemalangan atau bencana alam.
Antara barangan popular termasuk dompet, kunci, lampu picit, alat pelbagai guna (multi tool), pisau, pen serta beg galas.

Dalam EDC Malaysia tiada istilah perkauman, ahli bergerak sebagai komuniti yang meminati hobi yang sama, boleh bergurau, lepak atau berbincang secara santai.
"Penubuhan komuniti itu bertujuan menyediakan ruang perbincangan untuk peminat EDC tempatan selain membantu mereka mempromosikan produk berkaitan.
“Kami mahu membudayakan persediaan harian dalam kalangan rakyat Malaysia supaya lebih bersedia dan mampan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui selepas program perjumpaan akhir tahun pada 6 Disember 2025 di ATO - Pusat Komersial Southgate, Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Lebih 150 peminat dan peniaga barangan EDC hadir memeriahkan perjumpaan sehari itu yang diisi dengan aktiviti beramah mesra, pelancaran produk baharu, jualan akhir tahun serta cabutan bertuah.

Syahrin Shahir
Ia adalah acara tahunan yang menghimpunkan ahli-ahli EDC dari Malaysia dan luar negara termasuk Singapura secara fizikal. Program itu diadakan dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
"Kebiasaannya, komuniti EDC Malaysia aktif dalam pelbagai platform media sosial termasuk Facebook, Instagram dan YouTube. Mereka akan memuat naik gambar-gambar dan lain-lain.
"Bagaimanapun, sempena perjumpaan akhir tahun itu, ahli dan peminat EDC daripada pelbagai lapisan masyarakat berkongsi serta mempamerkan koleksi masing-masing termasuk beg galas, lampu suluh, dompet dan alat pelbagai guna yang menjadi keperluan harian mereka," katanya.


Bag dan topi ini nampak "simple" tapi anda tidak boleh mencari atau membeli di pasaran biasa melainkan melalui ahli EDC Malaysia.
Sementara itu, bagi cabutan bertuah, hadiah utama sebilah pisau dapur jenama Wusthof bernilai RM2,000 dimenangi Jessie Brown.
Selain peminat tempatan, komuniti EDC dari Singapura turut hadir menyokong acara berkenaan.
Antara peniaga yang mengambil bahagian ialah Alpaka, Boarding Gate, Kaki Camo, Gearevo, Meniacc, Outdoor Life, Greenroom136, Oribags, Trauma Tech, Polished Edge serta Mestastic / Mesh Core Malaysia FB Group.
Program itu turut mendapat tajaan daripada Thomas Tool, Kansept, Goruck Fan Club Malaysia, Realfit Fan dan Bapaks, sekali gus membuktikan perkembangan positif budaya Everyday Carry di negara ini.

Hadiah utama cabutan bertuah sebilah pisau dapur jenama Wusthof bernilai RM2,000 dimenangi Jessie Brown.
Dalam perkembangan sama, AJK Penyelaras Perjumpaan Akhir Tahun EDC Malaysia 2025, Kelana Putra Muhammad, berkata ahli EDC Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum tapi mereka mempunyai minat dan kecenderungan yang sama iaitu memiliki serta menggunakan pelbagai barangan harian.
"Justeru, dalam EDC Malaysia tiada istilah perkauman, kami bergerak sebagai komuniti yang meminati hobi yang sama, kami boleh bergurau, lepak atau berbincang secara santai apatah lagi jika ia membabitkan produk baru yang jarang ditemui.
"Inilah keseronokan komuniti EDC Malaysia yang jarang ditemui dalam kelompok lain, satu hati satu minat. Kami membantu di antara satu sama lain, tiada istilah dengki atau mementingkan diri sendiri sebaliknya perhubungan seperti adik beradik," katanya. - KitaReporters

Lebih 150 peminat dan peniaga barangan EDC hadir memeriahkan perjumpaan akhir tahun yang padat dengan pelbagai aktiviti termasuk pelancaran produk baharu, jualan akhir tahun dan cabutan bertuah.