
Orang ramai menyerbu bagi mendapatkan bekalan ikan, sotong dan kerang di pekarangan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gatang di Kampung Benggali, Taiping
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengadakan program tersebut untuk membantu meringankan beban rakyat yang kini berdepan dengan kos sara hidup tinggi.
“Orang sambut Merdeka semalam (31 Ogos 2025) dan hari ini (1 September 2025) saya membuat keputusan untuk membuat jualan paling termurah bagi membantu rakyat.
“Ini kerana kos sara hidup rakyat belum selesai dan jualan termurah ini membantu rakyat di kawasan Bukit Gantang,” katanya kepada media pada program Jualan Termurah Madani di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di Kampung Benggali dekat Taiping pada 1 September 2025.

Program tersebut menawarkan harga paling rendah dengan penjualan pelbagai barangan keperluan seperti beras putih tempatan dijual pada harga RM20 bagi paket 10 kilogram, manakala ayam segar (RM8 seekor), kerang (RM5 sekilogram), ikan selayang (50 sen seekor), sotong (RM15 sekilo) dan ayam (RM8 seekor).
“Mana ada orang jual beras putih tempatan murah RM20 satu paket, ayam RM8 seekor, kerang RM5 sekilogram dan ikan selayang 50 sen seekor.
"Saya cuba sedaya upaya buat di pusat khidmat saya ini dengan jumlah yang besar supaya rakyat dapat membeli dengan harga berpatutan. Ini bukan subsidi, tetapi penyelesaian sebenar yang boleh saya lakukan setiap minggu di Bukit Gantang,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Syed Abu Hussin berkata, subsidi beras tempatan perlu diteruskan bagi memastikan harga lebih rendah dapat dinikmati rakyat.
Beliau yang juga Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), menegaskan, jika subsidi tidak diteruskan, kaedah lain perlu dilaksanakan supaya rakyat mendapat bekalan dan harga berpatutan.
“Saya bimbang kerana kalau subsidi ditarik baliklah, harga beras menjadi tidak stabil,” katanya mengulas mengenai keputusan kerajaan menamatkan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi. - KitaReporters

Orang ramai beratur sejak jam 7 pagi untuk membeli barangan keperluan pada harga jauh lebih murah di pekarangan Pusat Khidmat ahli Parlimen Bukit Gantang di Kampung Benggali dekat Taiping pada 1 September 2025.