Mantap, syabas dan tahniah kepada kumpulan marhaban senior Mak Mandin yang bergabung dengan kumpulan marhaban junior Balai Pukat, Butterworth mempertahan tradisi lama sempena sambutan Maulidur Rasul pada malam 12 Rabiulawal.


Tanpa usaha bersungguh-sungguh para veteran dan senior kumpulan, amalan bermarhaban ini pastinya sudah lama mati dan pupus.
Belum pasti generasi muda dan junior yang ada kini mampu untuk membawa lagu-lagu dan puji-pujian serta sejarah Nabi Muhammad SAW mengikut tradisi dan amalan yang telah lama dialunkan dalam marhaban, apakala tibanya bulan Maulidur Rasul mahupun majlis keramaian.
Sekiranya tiada inisiatif diambil bagi mempertahannya, maka tidak dapat dinafikan ia akan hilang dan lenyap begitu sahaja seperti ditelan zaman.


Atas kesedaran itu jugalah maka pada 12 Rabiulawal selepas maghrib kedua-dua kumpulan marhaban senior Mak Mandin yang dianggotai veteran dan remaja seusia 16 tahun ke atas telah bergabung dengan kumpulan marhaban junior Balai Pukat seawal usia 12 tahun bagi meraikan Maulidur Rasul.
Terbukti kelas marhaban yang diadakan setiap malam jumaat untuk kumpulan junior selepas solat isyak sejak lima bulan yang lalu telah berjaya membuahkan hasil.
Mereka berani berada di atas pentas tanpa rasa gentar, takut mahupun malu untuk menzahirkan marhaban dan berzanji yang dipelajari.


Setiausaha kumpulan marhaban senior Mak Mandin, Hashim Singah berkata, tradisi ini tetap akan dipertahan kerana ia adalah warisan bangsa yang harus dipupuk dan dikekalkan.
Manakala setiausaha kumpulan marhaban junior Balai Pukat, Najman Ahmad pula berkata, usaha mempertahan marhaban dan berzanji khususnya dalam kalangan anak-anak muda akan terus diaktifkan demi mempertahan warisan bangsa ini. - KitaReporters
