.
Anand Kumar, 53, datang daripada keluarga miskin. Kemiskinan itu menyebabkan dia gagal melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge, England.
Apabila mendapat tawaran memasuki
universiti tersohor itu, Anand Kumar menangis. Bukan tangisan gembira tetapi
tangisan sedih kerana tidak mampu membiayai pengajian. Hatinya remuk.
Bapa Anand seorang posmen. Emaknya suri rumah sepenuh masa. Ketika dapat tawaran, bapanya baru meninggal dunia. Hilang sudah tempat bergantung. Jangankan ke Cambridge, untuk belanja seharian pun sukar.

Anand Kumar pakar matematik yang mencetuskan fenomena di India melalui program 'Super 30'. Walaupun kecewa gagal memasuki Universiti Cambridge, dia melahirkan ramai cerdik pandai memasuki institusi pengajian tinggi di India dan luar negara.
Tawaran ke Universiti Cambridge membuktikan Anand seorang yang pintar. Bukan mudah mengetuk pintu universiti tersebut, melainkan hanya yang benar-benar bijak mampu melakukannya.
Namun bagi Anand, dari Patna, Bihar,
India, sekalipun peluang terhidang di hadapan mata, kemiskinan keluarga tidak
memungkinkan dia menjejakkan kaki ke kampus Cambridge. Hanya rasa sedih dan
kecewa menyelubungi diri.
Namun dia tidak mahu terus bersedih
memendam kecewa kerana itu akan hanya menyeksa diri. Dia tidak mahu menimbukan
rasa bersalah ke atas ibunya yang baru kematian suami kerana tidak mampu memenuhi
cita-cita anaknya ke Cambridge.
Atas kesedaran ini, Anand tekad
bangkit menebus kekecewaan. Dia memasuki Universiti Patna. Kepayahan hidup menyalakan
azam untuk membimbing anak-anak miskin agar jadi cerdik pandai. Dia mahu mereka berjaya dalam hidup dan tidak terus dibelenggu kemiskinan.
Anand, atau popular dikenali ‘Cikgu
Anand’, pintar dalam matematik. Dari kecil dia memang minat subjek tersebut. Kehebatannya
terserlah apabila tulisannya mengenai teori matematik yang dihantar ke jurnal
luar negara diterima dan disiar.
Sebagai langkah awal, Anand mengajar budak-budak kampung dalam bilik sewa kecil. Bermula dari situ dia menubuhkan Ramanujan School of Mathematics. Ramai budak kampung yang datang belajar di sekolahnya.

'Cikgu Anand' beraksi mengajar anak-anak miskin untuk memastikan mereka keluar daripada garis kemiskinan yang membelenggu keluarga.
Semangat untuk membantu anak-anak miskin berjaya sentiasa membara. Simpatinya terhadap mereka tidak bertepi.
Suatu hari seorang pelajar miskin datang minta diajar untuk menduduki peperiksaan memasuki Institut Teknologi India (IIT). Tetapi dia tidak mampu membayar Anand.
Peristiwa ini mendorong Anand bertekad membantu 30 orang pelajar miskin setiap
tahun secara percuma. Dia menamakan program itu ‘Super 30’.
Anand bukan sekadar mengajar tetapi
segala keperluan pelajar disediakan. Mereka diberi tempat tinggal, makanan,
serta segala keperluan belajar. Emaknya jadi ‘tukang masak’ untuk pelajar
sementara adiknya menguruskan keperluan lain.
Usaha Anand
membuahkan hasil sangat menggalakkan. Setiap tahun keputusan program sangat
membanggakan. Hampir semua pelajar di bawah bimbingannya berjaya masuk
IIT. Ini sesuatu yang sangat menggembirakan
Anand. Usahanya tidak sia-sia.
Program ‘Super 30’ jadi
fenomena di India. Biasalah apabila sudah maju berjaya, tentu ada yang ingin
menumpang nama. Banyak syarikat besar menawar tajaan sehingga jutaan ringgit.
Namun Anand tidak gelap mata. Dia tidak mahu program yang dicetuskannya dikomersialkan.
Begitu hebatnya pencapaian Anand sehingga kisahnya difilemkan dengan judul ‘Super 30’, keluaran 2019, dibintangi bintang hebat Bollywood, Hrithik Roshan.
Dia melalui hidup sukar, dipandang rendah tetapi tetap teguh pendirian meneruskan perjuangan. Hari ini dia diktiraf sebagai antara pendidik paling berpengaruh di India.

Anand Kumar (kiri) bersama pelakon popular Bollywood, Hrithik Roshan yang membintangi filem 'Super 30' berdasarkan kehidupan Anand dan kejayaan mendidik anak-anak miskin untuk berjaya.

Filem 'Super 30' keluaran tahun 2019 dibintangi Hrithik Roshan simbol penghargaan kepada Anand Kumar yang banyak berjasa dalam dunia pendidikan India.
Benarlah, guru sering diibaratkan seperti lilin membakar diri demi memberi cahaya kepada orang lain. Siapa kita hari ini, apa juga jawatan yang disandang serta kebahagiaan hidup yang daraih, semua berkat ajaran guru.
Anand Kumar membuktikan hakikat ini.
Dia tidak masuk Cambridge tetapi dia lahirkan pelajar yang masuk ke sana. Hasil
usahaya, ramai budak miskin berjaya memasuki universiti paling susah dimasuki
di India. Dia tidak bekerja di syarikat besar, tetapi ramai anak muridnya
bekerja di sana.
Sebagai penghargaan atas sumbangan dalam pendidikan, Anand menerima beberapa anugerah. Antara yang utama ialah Anugerah Padma Shri daripada kerajaan India pada 2023, disampaikan oleh Presiden India, Droupadi Murmu. Anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi negara diberi kepada orang awam.

Anand menerima Anugerah Padma Shri daripada Presiden India, Droupadi Murmu, pada 2023 sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam dunia pendidikan di India. Anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi kerajaan India diberi kepada orang awam.
Sebelumnya, pada 2010, kerajaan negeri Bihar memberi Anugerah Maulana Abdul Kalam Azad Shiksha Purasakar, anugerah tertinggi negeri dalam pendidikan.
Anand bukan sekadar seorang cikgu. Bukan sekadar insan biasa yang pernah melalui zaman derita. Tetapi dia adalah pencetus harapan, pembakar semangat terutama kepada anak miskin.
Azamnya untuk berbakti tidak pernah pudar. Baginya siapa yang rajin berusaha pasti berjaya. - KitaReporters