"Saya tiada masalah menulis tapi cabaran menghasilkan buku ini (P Ramlee: Kisah Tanpa Noktah) ialah mendapatkan fakta yang tepat, ibarat menggali untuk mendapatkan sesuatu berharga, justeru ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Saya memiliki banyak sumber rujukan namun ada ketikanya fakta atau tarikhnya tidak sama malah kadangkala mengelirukan. Jadi, saya "stop" menulis selama beberapa hari untuk menyelidik hingga membawa saya ke Arkib Perpustakaan Negara Singapura," kata bekas Pengarang Hiburan (Edisi Mingguan) Berita Harian, Akmal Abdullah.
Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran bukunya, P Ramlee: Kisah Tanpa Noktah oleh mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Saloma Kuala Lumpur.
Turut hadir, pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam; pelakon dan usahawan Rosyam Nor; seniwati Datuk Rosnani Jamil; penyanti legenda Datuk Khadijah Ibrahim; pelakon A Galak; dan penyanyi Rozita Rohaizad.

Peluncuran buku, P Ramlee: Kisah Tanpa Noktah oleh Abdul Kadir Sheikh Fadzir (lima dari kanan) yang turut diserikan dengan kehadiran primadona filem Melayu, Seniwati Rosnani (empat dari kanan), Yusof Haslam dan Rosyam Nor.
Ini adalah kesinambungan usaha dokumentasi sejarah perfileman negara yang dilakukannya sebelum ini dengan menghasilkan empat karya iaitu biografi Datuk Yusof Haslam, Datuk Mustapha Ma’arof, Di Sebalik Tabir Filem Hikayat Merong Mahawangsa dan buku Majlis Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG).
Mengimbau perjalanannya menghasilkan nashkah seniman agung itu, Akmal mengakui masalah kesihatan juga cabaran besar yang tidak mampu dielakkan apabila hanya dapat menulis pada hari tidak menjalani rawatan dialisis iaitu sekitar tiga atau empat hari seminggu.
"Saya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Setiap kali ke pusat dialisis, ia mengambil masa yang lama dan selepas itu tubuh akan menjadi terlalu letih dan kebiasaanya saya hanya mampu berehat atau tidur sepanjang tempoh itu.
"Adakalanya tahap kesihatan saya terganggu apabila tekanan darah rendah. Apabila BP (tekanan darah) drop (jatuh), saya jadi lalok dan kadangkala pitam.
"Saya tiada pilihan melainkan terpaksa mengatur komitmen kesihatan dan proses penulisan," katanya lagi.

Akmal Abdullah
Dalam perjalanan menulis buku itu juga, Akmal pernah merasa "give up", bukan disebabkan masalah kesihatan saja tapi kekangan kewangan dan tajaan.
Alhamdulillah, berkat kata-kata semangat bekas bekas Pengarang Berita Harian Metro, Adam Salleh dan Rosyam Nor, beliau kembali gagah untuk terus menulis.
"Masa diambil untuk mengkaji mengenai P Ramlee dilakukan secara serius sejak Ogos 2024 hingga Mac 2025.
"Saya mula menulis pada 19 Januari 2025 dengan menghadiahkan surah al-Fatihah untuk arwah dan keluarganya manakala proses mengarang siap sepenuhnya awal Oktober 2025.
"Alhamdulillah selepas kira-kira 10 bulan, usaha keras saya berbaloi dan naskah ini dapat dilancarkan dengan meriah bersama idola, penaja, bekas rakan sekerja dan mereka yang mengenali diri saya," katanya.

Buku P Ramlee: Kisah Tanpa Noktah bukti ketabahan Akmal menyiapkan nashkah itu dalam keadaan kekangan kewangan dan menjalani rawatan buah pinggang.
"Saya bimbang melihat fakta tidak tepat mengenai P Ramlee dikongsi pempengaruh dalam media sosial seperti TikTok dan Instagram (IG).
"Jika saya tidak melakukan sesuatu, masyarakat akan percaya apa yang mereka baca di media sosial itu.
"Banyak fakta songsang yang berlegar dalam media sosial boleh memesong sejarah dan pemahaman masyarakat mengenai Allahyarham P Ramlee, contohnya ada pihak menulis dalam media sosial bahawa seniman agung itu berkahwin dengan Junaidah pada 1947.
"Itu kesalahan fakta yang besar kerana P Ramlee datang ke Singapura pada 1948. Macam mana mereka boleh tulis beliau berkahwin pada 1947?
"Bayangkan kesilapan fakta itu dibiarkan tanpa ada pihak yang membuat pembetulan.
"Sepatutnya, fakta sejarah membabitkan tokoh besar seperti P Ramlee perlu disampaikan dengan tepat dan sahih. Ini bagi mengelak kekeliruan generasi akan datang," katanya.
Selain mahu membetulkan fakta yang salah, idea menghasilkan menghasilkan buku ini tercetus pada 2024 ketika ulang tahun ke-90 filem Melayu pertama yang ditayangkan pada 1934.

Rozita Rohaizad menghiburkan hadirin dengan beberapa popular Allahyarham P Ramlee.
"Saya anggap ini masa yang tepat untuk berkongsi mengenai sejarah filem Melayu yang kebetulan menemukan saya dengan kisah Allahyarham P Ramlee.
"Walaupun ada 62 buku yang ditulis mengenai Allahyarham P Ramlee, saya anggap naskhah ini memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri terutama dari segi fakta dan ketepatan.
Akmal mengakui dalam penulisan buku itu, beliau banyak merujuk kepada pelbagai akhbar lama selain pengalaman berbual dengan bintang filem veteran sejak bergiat sebagai wartawan hiburan pada 1997.
“Saya bukan hasilkan buku ini suka-suka atau mahu mendapat keuntungan semata-mata, sebaliknya adalah kerugian besar jika info daripada pelakon veteran yang saya kenal dulu dan pernah bersama P. Ramlee tidak dibukukan.
"Buku ini adalah wadah untuk saya bongkarkan kisah-kisah yang belum diketahui umum," katanya.

Abdul Kadir (dua dari kanan) membelek buku P Ramlee: Kisah Tanpa Noktah sambil diberi penerangan Akmal (kiri) dan diperhatikan oleh Yusof Haslam dan Rosyam Nor. - Kredit gambar: Halimaton Saadiah Sulaiman.
Mengenai perancangannya seterusnya, katanya selepas penerbitan P. Ramlee: Kisah Tanpa Noktah, beliau merancang menerbitkan buku bertajuk "Epilog 90 Tahun Filem Melayu (1934–2024)" sebagai kesinambungan kepada usaha memperkukuh naratif sejarah filem Melayu.
Sementara itu, Yusof Haslam menganggap usaha Akmal menulis buku ini wajar dipuji kerana mampu memberi manfaat kepada generasi muda mengenali sejarah tepat seniman agung P Ramlee.
"Dalam perjuangannya, P Ramlee menempuh pelbagai cabaran. Kritikan tidak pernah mematahkan semangatnya.
"Buku ini mengupas jatuh bangun arwah dalam industri dan saya menghormati usaha Akmal," katanya.

Dua mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid (kanan) dan Datuk Manja Ismail (kiri) turut hadir pada Peluncuran Buku, P Ramlee: Kisah Tanpa Noktah di Saloma Bistro Kuala Lumpur.
Bagi Rosyam Nor yang mewakili penaja utama ST Rosyam Mart, pihaknya berbesar hati menaja penuh projek buku itu kerana menghargai perjuangan Akmal dalam memartabatkan warisan seni tanah air.
"P Ramlee menggerakkan seni budaya kita. Hari ini, saya berterima kasih kepada beliau dan insan-insan di sekelilingnya. Jasa mereka amat besar, memberi inspirasi kepada insan seni tanah air dalam lakonan, nyanyian dan pelbagai bidang lain.
"P Ramlee ibarat nakhoda yang membimbing generasi seangkatan kami dari dulu hingga kini. Akmal pula sahabat yang banyak membantu perjalanan saya, dan melalui penulisannya, beliau turut mencorakkan siapa saya hari ini," katanya.
Buku "P Ramlee Kisah Tanpa Noktah" dijual pada harga promosi RM69 dan memuatkan 851 gambar berwarna.
Beberapa syarikat produksi seperti Skop Production Sdn Bhd, Metrowealth International Group (MIG), Sheunik Sdn Bhd, FINAS dan Yayasan Budi turut menaja projek ini. - KitaReporters