.

Program Zayan Bubur Lambuk bukan setakat inisiatif untuk menyediakan juadah tambahan berbuka puasa yang diagihkan kepada komuniti di kawasan terbabit tetapi ia lebih kepada satu simbol memupuk semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum yang dititikberatkan oleh Kerajaan Madani.
Zayan yang merupakan stesen radio berbahasa Melayu yang
dikendali oleh Astro Radio juga mengambil kesempatan menganjur program berkenaan
bagi meneruskan tradisi pada setiap Ramadan kerana mampu merapatkan hubungan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Program yang mendapat kerjasama Hitz, Mix, Lite, Astro Awani, Astro Kasih ESG, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) itu berlangsung di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, dengan memasak lima periuk bubur lambuk untuk agihan 2,000 bekas pada 21 Mac 2025.

Ahli Jawatankuasa KESUMA'24 Ithnin Jupri (kanan) bersama ahli Skuad Kasih FSSK melihat bubur lambuk yang hampir masak.
Brand Manager Zayan Radio Fm Radio Astro, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, berkata selain untuk mendapat pahala daripada Allah SWT hasil berkongsi rezeki dengan masyarakat, ini juga merupakan program kali pertama diadakan di pusat jagaan warga emas.
Menurutnya, dengan mendapat tajaan pelbagai pihak khususnya
Adabi bersama petugasnya serta dengan pembabitan 40 staf Astro menzahirkan
ukhuwah Ramadan di tempat kerja dibawa ke lapangan menyantuni masyarakat.
Tambahnya, malah beliau berharap program secara bergotong-royong membabitkan juga petugas PJMM, Skuad Kasih Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) itu akan menjadi contoh dan teladan kepada semua pihak untuk dicontohi.

Muhammad Syafiq Mohiadin (kiri) dan Wan Syahrul Amry Wan Mansor (tengah) mengisi bubur lambuk ke dalam mangkuk kertas.
Jelasnya, amalan kerja bergotong-royong itu, tanpa mengenal
usia dan asal usul adalah budaya patuhi dicontohi khusus dalam kalangan
generasi muda yang semakin memandang enteng akan perkara berkenaan sedangkan ia
sudah lama diamalkan
“Malah pembabitan mereka dalam kegiatan kerja seperti ini
akan mendedahkan nilai murni terhadap kerja sosial kebajikan bagi membantu
komuniti masyarakat yang memerlukan sokongan dan bantuan termasuklah warga emas
terdampar di pusat jagaan.
“Melihat nasib dan keadaan warga emas yang menghuni pusat jagaan selepas disisih oleh ahli keluarga disebabkan pelbagai perkara menjadi ikhtibar untuk semua termasuk generasi muda kerana nasib kita sendiri belum ketahuan akhirnya,” ujar beliau ketika ditemui pada program berkenaan.

Wan Syahrul Amry (tiga dari kanan) mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan Muhammad Syafiq bersama staf Astro dan ahli Skuad Kasih FSSK.
Pada program berkenaan beberapa artis popular termasuk pelawak dan pelakon Zizan Razak, Alif Satar serta artis yang membintangi dua drama popular Astro iaitu ‘Seribu Tahun’ dan ‘Honey Minta Maaf’ turut hadir bagi memeriahkan program berkenaan dengan menyantuni warga emas PJMM di samping mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan Kampung Sungai Purun iaitu di jalan Bangi lama.
Wan Syahrul Amry, berkata pada program kali pertama di
Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada 2024 itu agihan bubur lambuk
dibahagikan kepada jemaah masjid berkenaan di samping untuk warga kota kawasan
sekitar.
Menurutnya, namun untuk tahun 2025 kami memilih pusat jagaan warga emas sebagai lokasi pilihan bagi menyantuni penghuni di situ dengan berbuka puasa bersama-sama dan diagihkan juga kepada komuniti penduduk kampung.
“Sebagai stesen radio berkonsepkan “Gaya Hidup Muslim Kontemporari” yang banyak rancangan agama Islam apabila kami turun padang untuk menjayakan program amal kebajikan sudah tentu ia menjadi satu cabang dakwah kepada masyarakat daripada Zayan, Radio,” katanya.

Ahli Jawatankuasa KESUMA'24 merakam kenangan bersama Alif Satar.
Sementara itu, Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata program seperti itu sangat bermakna buat penghuni pusat jagaan apatah lagi saban hari penghuni menantikan kehadiran ahli keluarga yang tidak kunjung tiba menjenguk mereka.
Menurutnya, perasaan sedih dan rindu sedikit terubat dengan
kehadiran orang ramai pada program Zayan Bubur Lambuk itu dan lebih gembira
kepada warga emas apabila selebriti serta penyampai radio turut serta
menyantuni mereka dı sini.
“Kami yang menguruskan pusat jagaan ini pula menganggap program itu merupakan satu kerjasama luar biasa yang memberi impak dan manfaat kepada pusat jagaan serta masyarakat setempat kerana turut hadir mendapat bubur lambuk untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
“Saya juga dapat melihat bagaimana pihak media dan selebriti memainkan peranan mereka dalam membantu pusat kebajikan seperti PJMM dan usaha sebegini seharusnya diperluaskan lagi bagi mendidik dan membuka mata masyarakat terhadap kes pengabaian warga emas serta mengenai kewujudan pusat kebajikan percuma seperti ini,” ujarnya.

Nurul Aiman A Rahman (kanan) bersama rakan Skuad Kasih FSSK dan ahli Jawatankuasa KESUMA'24 menyiapkan bahan rencah untuk juadah berbuka puasa.
Manakala bagi ahli Skuad Kasih FSSK, Nurul Aiman A Rahman, pula berkata sejak menganggotai skuad berkenaan dia sentiasa bersedia menyertai program kebajikan seperti itu kerana dapat mendampingi masyarakat di luar kampus.
Jelasnya, di kampung dia iaitu di Rembau, beliau sering terbabit dengan aktiviti masyarakat kerana memberi peluang melihat serta mendalami permasalahan yang dihadapi orang ramai di samping berpeluang berfikir mencari jalan penyelesaian terbaik.
Rakannya, Mohamad Hanif Mohamad Jani, berkata sebagai pelajar banyak masalah sosial dipelajari secara teori dalam bilik kuliah, apabila terbabit dalam program seperti itu membuka mindanya untuk mempraktikkan ilmu yang diterima kerana dapat bertemu masyarakat termasuk dengan warga emas.
“Program ini juga memupuk budaya keprihatinan serta ingin berbakti kepada masyarakat terutama yang memerlukan pembelaan, seperti warga emas di PJMM walaupun nampak ceria namun mungkin mereka tidak tenang dari segi emosi dan memerlukan perhatian daripada seseorang,” katanya. - KitaReporters

Mohamad Hanif Mohamad Jani.

Brand, Promotion & Corporate Media Manager Adabi, Roshidi Zabidi (kiri) turut mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan oleh Muhammad Syafiq dan Wan Syahrul Amry.