
Atas: Sebuah pesawat milik India Airlines. Bawah: Cebisan pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas di Ahmedabad.
ENAM tahun Dr. Pratik Joshi menanti saat bahagia untuk bersama keluarganya di London. Selama tempoh tersebut dia tinggal berseorangan sementara isteri, Dr Komi, dan anak-anak tinggal di India.
Dalam tempoh
itu juga Dr. Pratik, radiologis di Royal Hospital Derby, berusaha keras
mengendalikan urusan visa dan memenuhi keperluan perundangan Britain untuk
membolehkan isteri dan tiga anaknya tinggal bersama di Derby, London.
Akhirnya
semua tersedia. Semua syarat untuk menetap di London dipenuhi. Dr. Pratik
dengan gembira pulang ke India untuk membawa isteri dan anak-anaknya ke London.
Isterinya meletak jawatan di sebuah hospital di Udaipur, Ahmedabab. Anak-anak mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sekolah. Mereka bakal menempuhi persekitaran baharu, jiran dan kawan-kawan baharu.

Keluarga bahagia Dr. Pratik Joshi dan isteri, Dr.Komi serta anak-anak yang terkorban dalam nahas pesawat Air India di Ahmedabad, Gujarat, pada 12 Jun 2025.

Tinggal kenangan...Dr. Pratik dan isteri serta anak-anak ceria merakam gambar selfie sebelum pesawat Air India Penerbangan 171 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad 12 Jun. Selepas beberapa saat berlepas pesawat itu terhempas.
Kegembiraan terpancar pada wajah mereka apabila menaiki pesawat Boeing 787-8 Dreamliner Air India Penerbangan 171 dari Lapangan Terbang Antarabansa Ahmedabad, Gujarat, menuju London pada Khamis 12 Jun 2025, pukul 1.38 petang waktu tempatan.
Pesawat jenis tersebut merupakan paling moden dalam perkhidmatan kini. Penerbangan membawa 230 penumpang, 11 daripadanya kanak-kanak, serta 12 anak kapal. Seramai 169 penumpang adalah warga India, diikuti Britain 53 orang serta rakyat Portugal (tujuh) dan Kanada (satu). Turut dalam pesawat ialah 12 anak kapal, menjadikan jumlahnya 242 orang.
Semasa
dalam perut kapal terbang sebelum berlepas, Dr. Pratik mengambil gambar selfie
anak beranak dari tempat duduk. Senyuman terukir pada wajah mereka.
Gambar itu dihantar kepada grup sembang keluarga dengan satu mesej yang berbunyi “Hentian seterusnya: Rumah”. Maksudnya, selepas Ahmedabad destinasi tujuan ialah rumah di London.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ahmedabad, di negeri Gujarat, India.
Tetapi takdir Allah menentukan sebaliknya. Mereka tidak sampai ke destinasi yang dituju. Penerbangan Air India 171 tidak mencecah Lapangan Terbang Gatwick, London, seperti dijadual.
Pesawat terhempas
hanya beberapa saat selepas berlepas, jatuh di atas bangunan sebuah asrama doktor
pelatih. Api bergulung-gulung marak menyala, asap hitam tebal memenuhi ruang
sebaik sahaja kapal terbang terhempas.
Dr. Pratik,
isteri dan anak-anak terkorban bersama penumpang lain, juga anak-anak kapal. Musnahlah
harapan untuk membina penghidupan baharu di Kota London, bersama leburnya pesawat,
penumpang dan kru.
Dengan kuasa Allah, seorang penumpang rakyat Britain, Vishwashkumar Ramesh, dilapor terselamat dan dirawat di hospital.
Turut dilapor terkorban ialah lima orang awam, termasuk empat pelajar perubatan, yang tinggal di kawasan pesawat itu terhempas. Menjadikan jumlah keseluruhan terkorban, setakat 13 Jun 2025, ialah 246 orang.

Bangkai pesawat Air India Penerbangan 171 tersadai di atas bangunan asrama doktor pelatih, mengorbakan empat pelajar perubatan dan empat orang awam lain.
Juruterbang pesawat malang itu, Kapten Sumeet Sabharwal, sempat membuat panggilan kecemasan ke menara kawalan dan memaklumkan pesawat itu kehilangan kuasa daya angkat, hanya 11 saat selepas berlepas.
Akibatnya
pesawat tidak dapat naik dan bergerak ke hadapan pada ketinggian ketika itu
baharu menceah 625 kaki (208 meter). Dalam keadaan cemas ini, Kapten Sumeet,
dan Pegawai Pertama (First Officer), Clive Kunder, bertungkus lumus cuba
menyelamatkan pesawat. Mereka gagal, pesawat akhirnya terhempas.
Kapten Sumeet ialah seorang juruterbang yang berpengalaman bertahun-tahun dan telah mencatat 8,200 jam penerbangan.

Kapten Sumeet Sabharwal, juruterbang pesawat malang Air India Penerbangan 171 yang terhempas di Ahmedabad.

Pegawai Pertama, Clive Kunder, yang terkorban bersama Kapten Sumeet dalam nahas pesawat Air India Penerbangan 171.
Tragedi Air India Penerbangan 171 adalah antara insiden nahas paling buruk dalam sejarah penerbangan India. Antara nahas besar lain ialah pada Januari 1978 sejumlah 213 penumpang Air India terbunuh apabila pesawat terjunam ke dalam Laut Arab berhampiran pantai Mumbai.
Pada
Oktober 1988, lebih 130 terbunuh apabila pesawat Boeing 737 Air India dari
Mumbai ke Ahmedabad terhempas ketika cuba mendarat.
Pada Mei
2010, sejumlah 158 orang maut apabila penerbangan Air India dari Dubai terbabas
daripada ladasan di Lapangan Terbang Mangaluru negeri Kartanaka, dan terhempas ke dalam gaung.
Ramai di
kalangan penumpang pesawat Air India Penerbangan 171 beragama Islam. Kepada mereka, semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa. - KitaReporters