
Antara mangsa banjir dari beberapa kampung hadir untuk menerima BWI dari pejabat ICU Negeri Kedah.
Penantian seramai 175 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah Kota Setar bagi menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berakhir setelah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, ICU Kedah mengadakan satu majlis mengagihkannya berlangsung di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar, Jalan Aman, Alor Setar, Kedah.
Mereka menerima BWI setelah terkesan dengan bencana banjir yang melanda daerah Kota Setar pada Oktober 2024 lalu.
Sesi penyerahan BWI itu melibatkan mangsa daripada enam mukim di daerah Kota Setar, termasuk 24 orang dari mukim Titi Gajah, 63 orang dari mukim Alor Merah, 27 orang dari mukim Bukit Pinang, 26 orang dari mukim Gunung, 14 orang dari mukim Anak Bukit dan 21 orang dari mukim Derga.
Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah, Datuk Zepri Saad berkata, majlis itu dengan kerjasama kakitangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kota Setar dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Setar diadakan pada 4 Jun 2025 lalu.
"Kesemua 175 KIR ini merupakan senarai yang dilulus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setelah berpindah dan berdaftar tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPBD Kota Setar," katanya.

Zepri Saad (kanan) menyampaikan bantuan kepada seorang penduduk mangsa banjir.
Di samping itu, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah juga dijadual untuk menyampaikan sumbangan BWI kepada tiga (3) daerah lain iaitu di Bandar Baharu yang melibatkan 7 KIR, di Pokok Sena (95 KIR) dan di Sik (50 KIR) yang turut terlibat dengan bencana banjir dalam tempoh yang sama.
Menurutnya, keseluruhan mangsa yang terjejas akibat bencana banjir bagi empat daerah, termasuk Sik, Pokok Sena, Bandar Baharu dan Kota Setar adalah seramai 327 KIR dan jumlah penyaluran BWI pula sebanyak RM327,000.
"Sumbangan BWI ini adalah komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam menyantuni keperluan rakyat terutama mereka yang terkesan akibat bencana dan musibah seperti banjir," katanya lagi.
Tambah Zepri, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah sentiasa komited dalam menyelaras dan bekerjasama dengan semua organisasi bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan. - KitaReporters
Tags:
#Sik
#Kota Setar
#Angkatan Pertahanan Awam (APM)
#Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
#Pokok Sena
#Angensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
#Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD)
#Ketua Isi Rumah (KIR)
#Bandar Baharu
#Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)
#APM Kedah
#Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri
#Zepri Saad
#Bantuan Wang Ihsan (BWI)
#Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah
#ICU Kedah
#JPBD Kota Setar