Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memulakan tahun baharu 2025 ini dengan menyantuni tiga keluarga di sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan sebagai komitmen berterusan memelihara kebajikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Bagi negeri Kelantan, sebanyak 35 buah keluarga merangkumi 105 penerima merupakan penerima Bantuan Kasih YKM 2024 dan juga penerima bantuan sewaktu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Kelantan.
Keluarga tersebut bukan sahaja terkesan akibat COVID-19 bahkan mereka juga adalah keluarga yang berpendapatan rendah atau B40.
“YKM komited untuk meneruskan pemberian Bantuan Kasih YKM pada tahun ini (2025) kepada keluarga yang layak terutama mereka yang berada di kelompok B40.
"Ini adalah tanggungjawab YKM yang paling mustahak,” kata Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob (kiri) menyantuni sebuah keluarga di Pasir Mas iaitu keluarga Ahmad Hadzumi Nordin (dua dari kiri).
Pada 8 Januari 2025, Ismail Sabri menyantuni sebuah keluarga di Pasir Mas iaitu keluarga Ahmad Hadzumi Nordin, yang sebelum ini menjadi perbualan dan simpati orang ramai yang hidup dalam kedaifan selepas kehilangan isteri akibat COVID-19.
Ahmad Hadzumi yang kehilangan isteri tercinta, Rohani Hassan pada Jun 2021 tidak mempunyai pendapatan tetap, dan hanya mengharapkan duit gaji anak sulung dan menantu untuk meneruskan kehidupan.
“Ziarah kasih hari ini (8 Januari 2025) adalah lanjutan daripada program ziarah kasih pada tahun lepas dan saya berhasrat untuk turun ke Kelantan selepas melihat sendiri keperitan yang dihadapi keluarga Ahmad Hadzumi dalam platform TikTok.
“Justeru, pihak YKM bersetuju untuk memberi Bantuan Kasih YKM pada tahun ini (2025) kepada keluarga beliau.
"Bantuan ini adalah bagi meringankan beban keluarga terutama kepada anak-anak kerana kita mahu memberi semangat untuk mereka terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi," kata bekas Perdana Menteri itu.
Ismail Sabri (belakang, tengah) turut menyantuni keluarga Zasme Armazny Mamat (belakang, kiri).
Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut menyantuni keluarga Zasme Armazny Mamat yang kehilangan suami, Mohd Suhaimi Ab. Majid akibat COVID-19.
Beliau adalah seorang pengasuh dan kini menyara empat orang anak secara bersendirian.
Keluarga ini turut menerima surat kelulusan Bantuan Kasih YKM 2025 daripada Pengerusi YKM.
Turut menerima surat kelulusan Bantuan Kasih YKM 2025 adalah keluarga Mohd Nizam Mat Jusoh yang menetap di Kota Bharu. Bapa tunggal ini yang bekerja di syarikat penghantaran barang kini menyara empat orang
anak.
Ismail Sabri berkata, beliau menyampaikan bantuan wang tunai kepada ketiga-tiga buah keluarga ini sebagai simbolik permulaan pemberian Bantuan Kasih YKM pada tahun ini (2025).
Bantuan ini akan diberikan secara bulanan berbanding tahun lepas yang diberi secara tiga kali setahun.
Beliau berkata, di samping sumbangan perayaan, YKM juga telah menyalurkan Bantuan Kasih secara berfasa-fasa kepada 977 penerima sejak tahun 2022.
Katanya, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima bantuan sebanyak RM2,000 setahun, manakala remaja yang berusia 16 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama menerima bantuan sebanyak RM2,500 setahun.
Pemohon yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat melalui emel dan WhatsApp. - KitaReporters/Kenyataan Media
Turut disantuni ialah keluarga Mohd Nizam Mat Jusoh (kiri).