Insan & Komuniti 04 Oct, 2023

Karnival Amal Turki Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah dapat sambutan! Ada kebab Adana! Banyak makanan rare!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023.

Share this



Karnival Amal Turki yang telah diadakan di pekarangan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Jalan Datuk Kumbar, Kampung Gerigis di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai makanan Turkiye yang dianggap "rare" dan jarang ditemui di negara ini.

Masyarakat Malaysia mungkin kenal kebab Adana tapi makanan seperti Kunafah, Baklava, Seker Pare, Kalbura Basti, Suhac, Yas Pasta, Trilice, Kibris Tatlisi dan  Doner tidak biasa dengan orang kita.

Justeru, siapa yang tidak hadir di Karnival Amal Turki yang diadakan pada 29 September hingga 1 Oktober 2023 lalu pasti rugi dan perlu menunggu tahun depan untuk menikmatinya lagi.

Kebab Turkiye memang popular di Malaysia disebabkan ia makanan yang ringkas dan mengeyangkan.


Jurucakap Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah cawangan Utara, Muhammad Fitri Anas Omar Kumar, berkata karnival itu menggabungkan lima cawangan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah dari seluruh Kedah iaitu Sungai Petani, Jitra, Air Hitam, Alor Setar dan Langkawi.

Beliau berkata, acara tahunan ini sentiasa dinanti-nantikan  penduduk di utara terutama di Kedah kerana mereka mahu menikmati pelbagai makanan dari Turkiye terutama kebab.

Tantuni ialah sejenis makanan jalanan yang popular di Turkiye, kini mendapat sambutan baik daripada masyarakat di Malaysia.


"Semua makanan itu disediakan sendiri warga Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah dengan tunjuk ajar tenaga pendidik dari Turkiye yang tinggal dan mengajar di Kedah. 

"Kebab Turkiye memang terkenal di seluruh dunia kerana ia dihasilkan dari daging yang segar dan diperap menggunakan ramuan rempah asli. Jadi tidak hairan lah rasanya enak. Selain makan kebab Adana, pengunjung dapat membeli daging kebab segar yang dihasilkan sendiri dan memasaknya di rumah," katanya.

Selain makanan dari Turkiye, katanya gerai-gerai di karnival itu turut menjual pelbagai makanan tempatan, antaranya rojak buah, koktail buah dan sambal ikan bilis.

Kebab Adana diambil nama sempena sebuah bandar di Turkiye yang popular dengan makanan itu.


"Kami turut menjual baju-T khas, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, kopiah Turkiye dan beg dari jut yang amat popular di Turkiye. Barangan itu berharga di antara RM15 hingga RM25.

"Semua barangan dan makanan yang dijual itu dijadikan dana bagi pembangunan dan pendidikan Maahad Tahfiz di cawangan utara selain derma orang ramai.

"Jadi, selain datang ke karnival itu untuk membeli belah atau menikmati makanan dari Turkiye, orang ramai dapat berbuat amal dengan menderma atau bersedekah," katanya.

Katanya, ramai juga ibu bapa yang hadir kerana berminat untuk menghantar anak-anak mereka belajar di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah yang ada di seluruh negara dan mereka mahu mendapatkan maklumat lanjut pada karnival itu.


Beg jut yang turut dijual kepada orang ramai sempena Karnival Amal Turki.


Menurutnya, Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah ditubuhkan sebagai institusi pembelajaran berasaskan konsep pendidikan Islam bersepadu di mana kurikulum penghafalan al-Quran sebagai teras utama. Selain rangkaian maahad tahfiz berpusat di Turkiye, terdapat lebih 10,000 cawangan di seluruh dunia.

"Pelajar yang belajar di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah berpeluang melanjutkan pengajian di Turkiye dengan pembiayaan penuh dan apabila pulang ke negara ini, mereka akan berkhidmat di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah seluruh negara.

"Pelajar kami boleh berbahasa Turkiye kerana ada kelas khas untuk bahasa itu dan ini memudahkan mereka melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turkiye nanti," katanya.

Layari laman web, malaysiamts@gmail.com jika anda mahu maklumat lanjut mengenai Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah. - KitaReporters

33
15
0
11
0
You will be interested