Insan & Komuniti 18 Aug, 2024

Anak istimewa Daniel Hakimi! Autisme bukan penghalang capai kejayaan! Kini cef di hotel 5 bintang!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: ainalmarhaton63@gmail.com

Share this


Suatu ketika dahulu ibu bapa akan 'sorok' anak yang kurang upaya (semua kategori fizikal atau mental) daripada pandangan umum. Stigma masyarakat waktu itu terlalu memandang negatif kehadiran anak-anak ini. Malah ada yang menganggap kehadiran insan istimewa ini sebagai pembawa malang dan memalukan.

Tetapi hari ini bukan lagi seperti dahulu. Anak-anak istimewa ini sudah mendapat tempat dan diterima masyarakat. Kelibat mereka tidak lagi dipandang sepi. Mereka memperoleh pelbagai kemudahan dan keistimewaan bermula pada peringkat kanak-kanak sehingga ke alam pekerjaan. 

Ramai yang telah berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. Minat dipupuk sejak zaman persekolahan. Kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang dicorak sedari awal. Komitmen antara ibu bapa dan guru juga penerimaan masyarakat turut memainkan peranan. 

Tanpa sokongan golongan ini, insan istimewa ini pasti tidak mampu meredah onak dan ranjau kehidupan berseorangan.

Tidak terkecuali dengan seorang remaja yang dikesan dan disahkan menghidap autisme seawal usia empat tahun, Daniel Hakimi Mohd Rostam.


Kredit foto-foto: Norulhuda Mohd Daud


Remaja yang kini berusia 19 tahun itu telah membuktikan bahawa kekurangan yang ada pada dirinya bukan menjadi penghalang untuk menikmati kehidupan yang ceria dan mencipta pelbagai kejayaan sejak berusia lapan tahun lagi. Dia anak istimewa yang sangat cemerlang walaupun berdepan pelbagai ujian.

Baru-baru ini, Daniel Hakimi terpilih menerima Anugerah Ikon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Berwibawa 2024 sempena Karnival Pendidikan Khas Peringkat Negeri Pahang.

Sebelum itu, anak kepada pasangan Mohd Rostam Hassan dan Norulhuda Mohd Daud ini telahpun meraih pelbagai kejayaan sejak berusia lapan tahun lagi. 

Antara kejayaan dan pencapaian cemerlang Daniel Hakimi:

  • Tokoh Murid Autisme 2023
  • Ikon Autistik Pahang 2018
  • Tokoh Murid Pendidikan Khas 2018
  • Ketua bacaan ikrar Hari Kemerdekaan 2018 peringkat negeri Pahang 
  • Pembawa syiling pada pertandingan akhir bola sepak Piala FA 2018
  • Johan Pertandingan Seni Lipatan Tengkolok Yang di-Pertuan Agong (YDPA) 2018
  • Johan pertandingan catur bawah 18 tahun peringkat daerah Kuantan
  • Johan pertandingan Imperial International Hospitality Challenge (Napkin Folding) 2018.
  • Penjaga gol terbaik bawah lapan tahun

Bukan kaleng-kaleng pencapaian anak istimewa ini.


Daniel Hakimi bersama ibunya Norulhuda Mohd Daud yang menjadi tulang belakang atas semua pencapaian cemerlangnya hari ini.  


Daniel Hakimi yang selesa dengan panggilan Abang Mi juga berpeluang menyerahkan Tanjak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kepada Al-Sultan Abdullah ketika Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan Baginda pada 9 September 2019. 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Kuantan ini juga adalah Ikon Autisme berjaya dalam sukan bola sepak dan kini memiliki kerjaya sebagai cef di Kampung Coffee House, Hyatt Regency Kuantan Resort.


Daniel Hakimi diberi tugas sebagai pembawa lentingan syiling pada pertandingan akhir bola sepak Piala FA 2018.


Norulhuda ketika dihubungi di rumahnya di Taman Indera Sempurna, Kuantan berkata, sukan bola sepak telah berjaya mendisiplinkan Daniel Hakimi dan membentuk peribadinya menjadi lebih matang.

"Sukan bola sepak telah membuka ruang dan memberi pendedahan kepada Abang Mi sehingga mampu berkomunikasi dengan lebih baik berbanding lebih suka menyendiri sebelum itu," katanya.


Daniel Hakimi mengetuai bacaan ikrar pada Hari Kemerdekaan 2018 peringkat negeri Pahang.


Minat Daniel Hakimi dalam bidang sukan bola sepak mula dikesan seawal usia lapan tahun dan terpilih bermain di posisi penjaga gol bersama kelab bola sepak Rhino FC. 

Pasukannya pernah muncul juara dalam pertandingan bola sepak bawah 12 tahun (B-12) di Singapura dan tempat ketiga di Bangkok.


Daniel Hakimi membantu pasukannya muncul juara pertandingan bola sepak bawah 12 tahun (B-12), Singa Cup pada 2017.


Menurut Norulhuda yang juga Presiden Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa (PIANIS) Pahang, pelbagai dugaan dan cabaran membesarkan Daniel Hakimi yang juga anak kedua daripada lima beradik.

"Air mata tidak pernah kering. Sentiasa ada proses-proses pembesaran yang saya perlu lalui bersama Abang Mi. Bila dia tantrum, mengamuk dan melakukan perbuatan yang di luar jangkaan, ia sangat menguji kesabaran saya terutama pada zaman kanak-kanaknya.

"Tapi, Alhamdulillah semuanya dapat kami tempohi dan akhirnya kami cukup terharu dan berbangga dengan pencapaian Abang Mi hari ini," katanya lagi.


Daniel Hakimi berpeluang menyerahkan Tanjak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kepada Al-Sultan Abdullah ketika Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan baginda pada 9 September 2019.


Menurutnya, cara mendidik anak autisme yang semakin meningkat remaja tidak sama dengan anak-anak normal. Kesabaran yang tinggi, kekuatan mental dan fizikal serta didikan yang betul perlu dipraktikkan oleh ibu bapa supaya anak autisme tidak rasa terbeban. 

Malah, jika didikan diberikan dengan teknik yang betul, anak autisme ini boleh menunjukkan keputusan pendidikan yang luar biasa daripada anak normal!

"Begitulah cara kami suami isteri mendidiknya. Kami tidak pernah menganggap Abang Mi sebagai beban. Dia anugerah istimewa dan mengajar kami menjadi ibu bapa yang lebih prihatin dengan perkembangan anak-anak. 

"Abang Mi tidak pernah disisihkan dan dia sentiasa berusaha mendapat apa yang diminatinya. Sebab itu, asbab kesabarannya dia berjaya memperoleh pekerjaan sebagai chef di hotel bertaraf lima bintang," katanya.

"Sebagai ibu, saya bersyukur melihat wajah gembira Abang Mi, walaupun mungkin tidak sama seperti orang lain, dia tetap mempunyai kelebihan yang tersendiri," kata Norulhuda lagi.


Muncul sebagai johan pertandingan catur bawah 18 tahun (B-18) peringkat daerah Kuantan 2023.


Daniel Hakimi (kiri) bersama ibu bapa dan adik-adiknya di majlis perkahwinan abangnya, Daniel Imran.


Sementara itu, Daniel Hakimi berkata dia amat terharu dengan pengorbanan kedua-dua ibu bapa dan adik beradik sehingga dia boleh berjaya dan mampu berdikari. 

"Kekurangan yang ada pada diri saya ini tidak melemahkan semangat untuk terus mencipta kejayaan. 

"Saya juga terharu apabila pihak hotel memberi peluang saya bekerja dan saya anggap ini adalah rezeki yang Allah Taala kurniakan kepada insan istimewa seperti saya," katanya yang mempunyai hobi bermain catur. 


Daniel Hakimi muncul johan pertandingan Imperial International Hospitality Challenge (Napkin Folding) 2018


Sesungguhnya golongan istimewa ini juga manusia biasa yang sewajarnya dilayan seperti mana orang lain. Apa yang berlaku kepada mereka adalah dugaan dan ujian yang datang daripada Allah Taala. 

Sebenarnya yang mengharunginya sahaja tahu betapa peritnya cabaran menjaga Orang Kurang Upaya (OKU). Semoga mereka yang mendepani kesukaran ini tabah melaluinya. - KitaReporters 

16
14
0
14
0
You will be interested