Insan & Komuniti 17 Nov, 2024

Mudahkan tuntutan! Rayuan pesakit terima rawatan dialisis di Hospital Sultanah Maliha kepada Perkeso!

@mohd hussin che rus
Bekas jurufoto bebas bagi sebuah syarikat swasta yang kini menjadi mojo sambilan serta bergiat aktif dalam NGO. Beliau kini menetap di Langkawi. Emel: [email protected]

Share this

Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.


Pesakit yang menerima rawatan dialisis di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi merayu pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memudahkan tuntutan pihak hospital ke Perkeso.

Pengerusi Kelab Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Pulau Langkawi (KKPBPPL) Saad Salleh berkata, telah tiba masanya pihak hemodialisis hospital mengajukan tuntutan terus ke pihak Perkeso Langkawi bagi mengurangkan beban pesakit.

Mengikut prosedur, pesakit yang membuat rawatan di unit hemodialisis Hospital Sultanah Maliha, Langkawi perlu membuat bayaran terlebih dahulu yang kemudian boleh dibuat tuntutan dengan Perkeso menggunakan resit yang diberikan.


Saad Salleh


Katanya, kebanyakan yang menerima rawatan adalah warga emas dan tidak berkeupayaan, maka seharusnya kedua-dua pihak (hospital dan Perkeso) berusaha mencari kaedah supaya tidak membebankan pesakit-pesakit ini.

"Ada kalangan mereka yang bukan sahaja terpaksa mendapatkan khidmat kereta sewa malah tinggal jauh untuk berurusan dengan Perkeso di Pekan Kuah," ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, Setiausaha KKPBPPL Muhammad Firdaus Mian berharap tindakan dapat dilakukan segera kerana bukan sahaja meringankan pesakit malah memudahkan pihak hospital membuat tuntutan terus melalui pembayaran secara online. 

"Saya melihat sudah tiba masanya kedua-dua pihak bertindak dan mencari kaedah untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.



Sementara itu, bagi Mustakim Latiff, Exco Penerangan dan Informasi Shift 11, yang juga menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha Langkawi pula berkata, pandangan dan cadangan ini diharap bukan sahaja untuk penduduk Langkawi malah boleh diperluas kepada penduduk di luar Pulau Legenda ini juga.

Pesakit buah pinggang yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha atau lebih dikenali dengan kumpulan shift 11 adalah kerana mereka menerima rawatan pada jam 11 pagi, tiga hari seminggu. 

Moga hasrat ini menjadi kenyataan dan membantu para pesakit lebih selesa dan memberi kemudahan yang diperlukan nanti. - KitaReporters

11
14
0
13
0
You will be interested