Insan & Komuniti 10 Aug, 2020

Tahniah Tengku Hassanal! Putera raja pertama di puncak Tahan

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

PEMIMPIN setempat, penggiat pelancongan dan sukan ekstrem di negeri ini melahirkan penghargaan yang tinggi serta merafak sembah kasih dan kagum dengan kesungguhan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerana berjaya menamatkan pendakian Gunung Tahan sempena Program Kembara Eksesais Makmur pada 1 hingga 4 Ogos baru-baru ini. : KitaReporters

Tengku Hassanal ketika berada di puncak Gunung Tahan. - Kredit foto: FB Azroy Zam



Lagi cerita-cerita mengenai Tengku Hassanal:

https://kitareporters.com/search?search=tengku+hassanal


Tengku Hassanal merupakan putera raja Pahang pertama berjaya sampai di puncak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter dan kembali (turun) dengan selamat sejauh 72 kilometer dalam tempoh empat hari, yang mendapat pujian penduduk tempatan dan penggiat pelancongan di negeri ini.

Laluan pendakian Tengku Hassanal dan pengiringnya bermula dari Kuala Juram sehingga ke puncak Gunung Tahan. - Kredit foto:  Jabatan Bomba dan Penyelamat


Hal ini juga mendapat pengiktirafan serta sembah ucapan tahniah daripada ribuan warganet di seluruh negeri ini menerusi posting laman sosial Facebook masing-masing setelah mengetahui kejayaan Tengku Hassanal.

Kredit foto: Tourism Pahang


Ribuan warganet mengetik 'likes' (suka) kepada Pemangku Raja Pahang, di samping merafak sembah 'daulat tuanku' kerana mengagumi baginda setelah berjaya sampai di puncak Tahan, sekali gus memberikan galakan kepada rakyat negeri ini bergiat dalam aktiviti bercorak ekstrem.

Program Kembara Eksesais Makmur yang dicetuskan oleh baginda sendiri mampu merintis serta menyemarakkan semula sektor pelancongan di Pahang setelah 'lumpuh' selama tiga bulan lebih berikutan ancaman wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

.

Kredit foto: FB Azroy Zam


Dua orang netizen Azroy Zam dan Adros Shah menerusi posting dalam laman sosial FB berbalas ucapan masing-masing sambil menyifatkan aktiviti putera raja itu antara  'pengalaman yang berharga', seterusnya mengagumi dengan penghargaan 'hebat tuanku' serta pantas mengungkapkan kata yang sinonim, iaitu 'raja berjiwa rakyat'.


Bagi Muhammed Tuah menerusi postingnya, juga kagum dengan kejayaan Tengku Hassanal sambil sempat mencabar 'anak-anak Pahang bila lagi' (mendaki Gunung Tahan).

Manakala dalam kalangan pemimpin peringkat negeri juga menyusun sembah kasih dan teruja dengan kejayaan Tengku Hassanal. Ada yang sempat 'berseloroh' atau 'mengusik' anak raja itu menerusi posting dalam FB masing-masing. 

Bagi Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berasa bangga dengan kecekalan Tengku Hassanal, di samping berseloroh dengan bertanya kepada Tengku Mahkota Pahang itu adakah bertemu dengan puteri bunian. Baca posting berkenaan....

Kredit foto: FB Shahaniza Shamsuddin


Manakala, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin juga menyifatkan "putera raja yang pertama menawan puncak Tahan".

Katanya, menerusi ciapan FB Toursm Pahang,  kejayaan Pemangku Raja Pahang ini merupakan sokongan serta menggalakkan semula pelancongan domestik negeri ini dengan menjadikan Gunung Tahan antara destinasi pilihan pengunjung.

Tengku Hassanal (depan) dan pengiring baginda melepaskan penat lelah dan berehat semasa pendakian ke puncak Gunung Tahan. - Kredit foto: FB Azroy Zam



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long pula menerusi laman sosial FB miliknya juga mewakili penduduk Merapoh dan kawasan Padang Tengku menitip rasa kasih dan gembira dengan keberangkatan baginda untuk mengikuti program tersebut selama empat hari.

MUSTAPA LONG


"Saya dan penduduk Lipis amat gembira dengan keberangkatan Tengku Hassanal ke sini untuk merintis pendakian  Gunung Tahan, sekali gus meletakkan Merapoh dan Taman Negara Sungai Relau lebih dikenali di seluruh negara dan antarabangsa apabila tersebarnya Program Kembara Eksesais Makmur ini.

"Program yang disertai Tengku Hasannal ini dan orang kenamaan lain pada masa akan datang juga diharap dapat membuka mata pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta sekiranya dapat melabur khususnya membantu kerajaan negeri membina kemudahan pelancongan dan hospitaliti di Merapoh," katanya selepas menghadiri majlis keberangkatan pulang Tengku Hassanal baru-baru ini. 

Menurut Mustapa, Taman Negara Sungai Relau di Merapoh antara pintu masuk bagi aktiviti mendaki Gunung Tahan sudah tentu menarik ramai penggiat aktiviti ekstrem termasuk penjelajahan gua batu kapur (limestone cave) yang sudah dikenali oleh pelancong Barat sebelum ini. 

Gambar fail.... Tengku Hassanal (dua dari kiri) dan M. Syukri Jali (empat dari kiri) bersama penggiat aktiviti ekstrem ketika menjelajah gua batu kapur, Gua Jinjang Pelamin pada 2018. - Kredit foto: M. Syukri Jali


Sementara itu, pengusaha syarikat pelancongan SGI Merapoh, M. Syukri Jali berkata, keberangkatan Tengku Hassanal menyertai program tersebut dapat menitip semangat kepada penggiat sektor pelancongan di situ supaya mampu 'bernafas semula' selepas wabak COVID-19 pulih sepenuhnya nanti.  

"Keberangkatan Tengku Hassanal ke sini merupakan kali kedua, manakala baginda pernah menyertai aktiviti lasak menjelajah gua batu kapur dua tahun lalu (2018)  dan saya antara pemandu arah (guide) pada masa itu memperoleh pengalaman yang menarik apatah lagi sikap dan peribadi baginda menzahirkan seorang putera raja berjiwa rakyat," katanya.  

Dua orang pemandu arah alam semulajadi (nature guide), Azroy Zam dan rakannya, Zaidi Mamat bersependapat, pengalaman yang mereka peroleh semasa mengiringi Tengku Hassanal menerusi program tersebut cukup signifikan dalam sejarah tugas selama ini dan akan dikenang sepanjang hayat. 

Kredit foto: FB Azroy Zam


"Sikap merendah diri dan berjiwa rakyat baginda (Tengku Hassanal) cukup terserlah apabila setiap kali waktu makan, kami tetap diajak menikmati juadah bersama," ciapan Azroy Zam menerusi laman sosial FB miliknya.

"Foto kami bersama baginda di puncak Tahan akan disimpan sebagai kenangan dan berharap suatu hari nanti diberi peluang mengiringinya menyertai aktiviti ekstrem tersebut," kata Zaidi Mamat yang merupakan anak tempatan, Merapoh, Lipis.

Tengku Hassanal (dua dari kiri) 'bersantap' bersama pengiring baginda, iaitu anggota tentera, Perhilitan, nature guide dan porter di sebuah perhentian pada sebelah malam. - Kredit foto: FB Azroy Zam


Tengku Hassanal memasang papan tanda program Eksesais Kembara Makmur dan meninggalkan kesan tapak kaki (footprints) baginda di puncak Tahan.

3
0
0
0
0
You will be interested