RAMAI yang mengetahui bahawa, pendakwah terkenal, Ebit Lew telah meninggalkan negara kita bagi menyempurnakan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin melalui media sosial miliknya bersama-sama pasukannya.
Mereka dilaporkan berlepas sejak 25 Mei 2021 lalu dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi di luar jangka di negara yang sedang bergolak tersebut.
Pada kala ramai yang mengatakan misi itu hampir gagal, namun berkat kesabaran, doa dan bantuan pelbagai pihak, Ebit Lew telah memaklumkan dalam laman media sosialnya pada pagi 28 Jun 2021 bahawa mereka telah selamat memasuki Gaza melalui pintu Rafah untuk meneruskan misi kemanusian dan mengagihkan bantuan kepada rakyat negara itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Ebit Lew
Tambah menarik, beliau dan rakan-rakan merupakan kumpulan misi kemanusiaan antarabangsa yang pertama dibenarkan masuk ke Gaza, Palestin selepas perang yang berlaku pada akhir Ramadan sehingga awal Syawal tahun 2021 ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Kedutaan Malaysia dan Unit perisikan Tentera Mesir sendiri.
Atas kejayaan itu, Ebit Lew menzahirkan rasa terima kasih kepada beberapa individu yang banyak menolongnya di sebalik tabir, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beliau turut kongsikan video kompilasi detik-detik pertama kali berjaya masuk ke Gaza dengan diiringgi tentera Mesir dan kereta berperisai sepanjang perjalanan tersebut.
Dalam akaun Instagram milik Ebit, setakat petang 29 Jun 2021, ia menggamit lebih 18,400 komen yang hampir keseluruhannya menyatakan syukur, kagum, gembira dan berdoa kesejahteraan buat pasukan Ebit di sana.
Akaun tersebut juga turut mendapat tontonan video lebih 2 juta kali dan lebih 350 ribu tanda suka diberikan terhadap status video Ebit berkenaan.
Kebanyakan komen yang diberikan adalah tanda kebanggaan rakyat Malaysia atas usaha Ebit, pasukan dan mereka yang membantu dari belakang tabir sehingga menjadi pasukan bantuan antarabangsa yang pertama yang berjaya masuk ke tanah Palestin.
Semoga Ebit dan pasukannya dapat menyelesaikan misi dan visi untuk menyalurkan sumbangan kepada masyarakat di Palestin. - KitaReporters