DALAM usaha mengimarahkan institusi penyatuan umat Islam di Negeri Selangor, masjid dan surau di seluruh negeri akan dibuka secara berperingkat-peringkat sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa hingga 31 Ogos 2020. Ia bermula esok Jumaat, 12 Jun 2020. : KitaReporters
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj mahu para jemaah yang terpilih menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid yang diberi kebenaran mematuhi prosedur MKN dan KKM. - Kredit foto: SelangorKini.
Sehubungan itu, bagi 39 buah masjid di seluruh negeri yang telah diberi kebenaran sebelum ini mendirikan solat Jumaat, kehadiran jemaah akan ditambah dari 12 kepada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
Kad kebenaran hadir solat Jumaat akan diedar kepada 40 orang jemaah yang terpilih di masjid-masjid berkenaan.
Bagi yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat hendaklah diganti dengan solat Zohor dan dilakukan di rumah masing-masing.
Perkara ini dinyatakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj dalam kenyataan akhbar baginda lewat petang ini Khamis 11 Jun 2020 berhubung pengubahsuaian kebenaran solat Jumaat dan fardu berjemaah di Selangor yang dikeluarkan oleh Pejabat Diraja Selangor.
Keputusan itu dicapai setelah baginda mendapat nasihat dan pandangan daripada Mufti, Timbalan Mufti Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berikutan taklimat Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor mengenai kedudukan semasa dan data terkini kes wabak COVID-19 di Selangor.
Titah baginda, solat berjemaah bagi fardu subuh, maghrib dan isyak sahaja di 39 masjid seluruh negeri yang telah diberi kebenaran sebelum ini dengan jumlah kehadiran 40 orang jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
"Semua surau termasuk yang diberi kebenaran solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka kepada umum kecuali 3 orang pegawai surau iaitu Imam, Bilal dan Siak seperti yang ditetapkan terdahulu," ujar baginda.
Sultan Selangor menegaskan, penggunaan masjid untuk solat Jumaat dan fardu berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Majlis keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Baginda memberitahu, pihak JAIS telah menyediakan dan menguatkuasakan garis panduan lengkap tatacara pelaksanaan solat Jumaat dan fardu berjemaah untuk dipatuhi semua jemaah yang hadir ke masjid.
Titah baginda, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid diberi tanggungjawab penuh mengendalikan serta menguatkuasakan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JAIS akan memantau secara berterusan semua 39 buah masjid yang diberikan kebenaran solat Jumaat dan fardu berjemaah.
Kenyataan akhbar Sultan Selangor berhubung pengubahsuaian kebenaran solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid yang dibenarkan di seluruh Selangor yang dikeluarkan oleh Pejabat Diraja Selangor pada lewat petang Khamis 11 Jun 2020.
Sehubungan itu, Sultan Selangor meminta para pegawai, ahli jawatankuasa masjid dan ahli jemaah yang hadir serta umat Islam di Selangor mematuhi segala arahan dan mengamalkan sikap disiplin yang tinggi setiap masa.
Setiausaha Sulit baginda Sultan, Dato' Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor akan mengikuti perkembangan semasa dan meneliti keberkesanan garis panduan yang ditetapkan serta pematuhannya.
Katanya, langkah ini sebagai panduan sebelum baginda membuat pertimbangan selanjutnya bagi menentukan pembukaan lebih banyak masjid dan surau di Selangor untuk diimarahkan oleh para jemaah dan umat Islam seluruhnya. - KitaReporters