Pada usia baru 14 tahun, Quan Hongchan membuktikan umur bukan halangan
untuk mencipta kejayaan. - Kredit foto: Media sosial.
Kesusahan hidup kerap kali menjadi motivasi terbaik untuk manusia berusaha keras bagi mencipta kejayaan.
Hakikat
itu tidak boleh dinafikan bila kita memperkatakan mengenai prestasi luar biasa penerjun
China, Quan Hongchan, pemenang pingat emas acara terjun 10m platform Sukan Olimpik
2020, Tokyo, pada Khamis, 5 Ogos, 2021.
Bukan
sahaja Quan mencipta sensasi memenangi emas pada usia 14 tahun malah dia mendapat
perhatian kerana mampu melakukan tiga terjunan sempurna 10 markah atau ‘Perfect
10’ pada terjunan kedua, keempat dan kelima dalam acara yang
berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik
Terjunan sempurna. - Foto: Instagram quanhongchan
Apabila pasukan China mengumumkan 10 penerjun yang bakal mengibar cabaran pada Olimpik kali ini, sembilan daripada mereka adalah juara dunia kecuali Quan.
Malah,
Quan merupakan peserta termuda dalam pasukan itu dan baru setahun menyertai
skuad kebangsaan. Justeru, tidak ramai yang memberi perhatian ke atas dirinya
sebelum ini.
Quan
sendiri tidak meletakkan harapan tinggi pada penyertaan pertamanya di Olimpik sebaliknya
hanya cuba melakukan yang terbaik.
“Saya
mahu mengucapkan terima kasih kepada keluarga kerana menggalakkan saya supaya
bertenang dan melakukan terjunan dengan selesa kerana tidak kisah sama ada saya
menang pingat atau tidak,” kata Quan.
Namun, bila meninjau latar belakang Quan, tidak syak lagi ada ‘kuasa’ yang menolak gadis sunti itu untuk sentiasa melakukan yang terbaik setiap kali berada di atas papan terjun.
Quan
yang lahir pada 2007 di Maihe, sebuah kampung di Daerah Mazhang, Zhanjiang,
Guangdong, menginsafi kesusahan keluarganya yang hanya bertani apatah lagi
dengan keadaan kesihatan ibunya yang tidak menentu selepas mengalami kemalangan.
Kesusahan
itulah menjadikan Quan seorang budak yang gigih. Dia yang menceburi sukan
terjun pada 2014, berlatih bekerja keras. Pada 2018, dia menyertai pasukan
Wilayah Guangdong.
“Kos
rawatan ibu agak tinggi, jadi saya harus berusaha menjana pendapatan untuk membantu
keluarga,” kata Quan mengenai punca pembabitannya dengan sukan berkenaan.
Tidak
dinafikan China memang terkenal sebagai negara yang sentiasa melahirkan penerjun
bertaraf dunia namun agak jarang untuk melihat penerjun seperti Quan yang
menunjukkan peningkatan luar biasa walaupun agak lambat memulakan kariernya.
Pada 4 Oktober, 2020, Quan menewaskan ramai jaguh dalam acara 10m pada pertandingan kelayakan Olimpik di Shijiazhuang Station untuk memenangi pertandingan itu. Kejayaan itu melayakkan dirinya ke dalam skuad kebangsaan.
Kemudian pada 13 Mei, 2021, pada Kejohanan Terjun Kebangsaan dan ujian Olimpik, Quan sekali lagi mempamerkan kehebatannya dengan mengumpul 440.85 mata untuk muncul juara.
Quan memenangi emas dalam penyertaan pertamanya pada Sukan Olimpik.
Dalam laluan ke Olimpik, Quan muncul dua kali juara dan sekali naib juara dalam tiga pertandingan ujian ke Tokyo, mengatasi juara Olimpik 2016 Rio de Janeiro, Ren Qian dan merupakan penerjun pertama melayakkan diri.
Pada ketika
itu, Quan baru tujuh bulan menyertai skuad kebangsaan dan terpilih ke Olimpik adalah
sesuatu yang luar biasa apatah lagi memenangi emas dengan tiga terjunan sempurna 10 markah!
Menggambarkan
kesusahan keluarganya, Quan berkata dia hanya menghabiskan cuti di rumah kerana
tidak mempunyai wang untuk bersiar-siar.
“Saya
tidak pernah ke taman permainan atau pun zoo. Saya harap dapat melakukannya
selepas Olimpik,” katanya.
Kisah
kejayaan Quan di Olimpik memang dikagumi ramai remaja di seluruh dunia. Mungkin
mereka boleh menjadikan dirinya sebagai ikon, contoh terbaik bagaimana usaha
keras sentiasa membuah hasil tidak kira latar belakang anda.
Quan, anak petani miskin mampu menakluki dunia. Bukan sahaja dia mampu melakukan ‘perfect 10’ di gelanggang tapi juga dalam kehidupannya! - KitaReporters